Penghijaban berganda! Bulan menghijab bintang Antares and Al-Niyat – 26-27 April 2024

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

Pada 26 dan 27 April 2024 nanti, kita akan dapat menyaksikan penghijaban berganda! Bintang Antares dan jirannya, Al-Niyat (sigma Scorpii), akan dihijab oleh Bulan! Amat jarang kita berpeluang menyaksikan 2 buah bintang terang terhijab pada malam yang sama!

Fenomena penghijaban bermaksud sesebuah objek bergerak di hadapan sebuah objek lain dan menyebabkan objek kedua itu hilang buat beberapa ketika.

Bulan merupakan objek tunggal yang paling hampir dengan Bumi. Maka tidak hairanlah Bulan ini sentiasa akan bergerak di hadapan objek yang lebih jauh ke belakang daripadanya, seperti Matahari, planet, bintang dan lain-lain.

Bagi bintang Antares dan Al-Niyat ini, ia terletak hampir dengan garisan ekliptik. Ini bermakna ia juga berada di dalam laluan pergerakan Bulan di langit. Maka, akan ada waktu tertentu dan di lokasi tertentu yang mana Bulan akan menghijab bintang-bintang ini.

Untuk tahun 2024 sahaja sebanyak 14 kali bintang Antares dan Al-Niyat akan dihijab oleh Bulan, dan ia akan berlaku pada masa yang sama, iaitu Al-Niyat hijab dahulu baru diikuti oleh Antares. Namun hanya kejadian pada 27 April 2024 sahaja yang akan dapat dilihat dari Malaysia pada waktu malam (Rajah 1).

Rajah 1 – Penghijaban Antares
Rajah 2 – Penghijaban Antares
Kawasan yang berpeluang menyaksikan penghijaban Antares pada awal pagi 27 April 2024.

Waktu kejadian.

Secara ringkasnya, bintang Al Niyat akan dihijab sekitar jam 11:03 malam, 26 April 2024 (dari koordinat Kuala Lumpur), dan mula muncul balik jam 11:40 malam.

Kemudian pada pukul 5:01 pagi, 27 April 2024, Antares pula akan terhijab dan muncul kembali 6:04 pagi.

Nota: Kiraan dan rajah dibuat menggunakan perisian Occult 4.0

Sebagaimana saya pernah ingatkan sebelum ini, waktu sebenar hilang dan muncul bintang-bintang yang dihijab oleh Bulan akan berbeza sedikit dari tempat ke tempat. Anda perlu lakukan kiraan dan simulasi sendiri dengan menggunakan aplikasi seperti Stellarium, Sky Safari atau Sky Portal untuk dapatkan waktu yang sesuai dengan tempat anda.

Seeloknya gunalah teleskop atau binokular untuk melihat hilang dan muncul bintang-bintang ini. Saya rasa dengan menggunakan mata agak mencabar kerana Bulan berada di dalam fasa yang agak besar dan cahayanya terang dan menyilaukan.

Di bawah ialah contoh momen bintang yang akan muncul semula selepas terhijab. Di dalam video ini, bintang Regulus telah terhijab oleh Bulan pada tahun 2017. Cerapan dilakukan di balaicerap saya, SGO sekitar waktu Maghrib.

Cara rakaman

Fenomena penghijaban ialah satu kejadian yang dinamik. Bintang-bintang ini akan kelihatan hilang secara tiba-tiba dan muncul dengan tiba-tiba. Pemerhatian yang teliti perlu dibuat pada ketika saat-saatr kritikal hilang dan muncul itu.

Kaedah yang disarankan ialah menggunakan rakaman berformatkan video. Tidak digalakkan mengambil gambar melainkan anda nak cantumkan kesemua gambar itu menjadi seperti timelapse.

Untuk fenomena ini, waktu yang tepat amat penting. Oleh itu, perisian yang anda gunakan ketika merakam kejadian ini perlukan mempunyai masa atau timestamp yang diletakkan sekali di dalam video yang dirakam.

Walaupun begitu, bagi pencerap umum tidak perlukan risaukan sangat mengenai isu-isu teknikal ini. Gunakan apa sahaja alat yang ada, samada teleskop, binokular, kamera DSLR dan sebagainya. Janji anda dapat menyaksikan sendiri kekuasaan Allah SWT di dalam menyusun atur pergerakan objek-objek samawi ini.

Selamat mencerap.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments