Pada petang ini, 15 Julai 2024, 5:27 PM, Matahari akan berada tegak di atas Kaabah.
Fenomena ini popular dikenali sebagai Istiwa’ A’dzam dan ia merupakan fenomena yang ditunggu-tunggu oleh majoriti umat Islam di dunia. Ini adalah kerana ketika saat tersebut, Matahari berada tegak di atas Kaabah. Oleh itu, mana-mana kawasan dunia yang dapat melihat Matahari pada saat itu, boleh menggunakan kedudukan Matahari sebagai panduan arah kiblat.
Peta di atas janaan timeanddate.com menunjukkan kawasan di dunia yang berpeluang menggunakan momen Istiwa’ A’dzam ini untuk periksa arah kiblat.
Di mana Matahari berada di langit, disitulah Kaabah = Arah Kiblat.
Waktu tempatan di Mekah ketika Istiwa ini berlaku ialah 15 Julai 2024, 12:27 PM. Jika anda berada di luar negara (selain Malaysia), boleh convert waktu Mekah itu ke waktu tempatan di negara mana anda berada.
Kaedahnya amat mudah:
- Cari objek yang tegak 90 darjah.
- Pastika objek itu berada di bawah pancaran sinar Matahari.
- Pada pukul 5:27 PM, perhatikan bayang-bayang yang terhasil oleh objek tergak tersebut.
- Arah kiblat adalah berlawanan arah dari bayang-bayang, yakni kiblat adalah di mana arah Matahari berada.
- Antara kelebihan menggunakan objek tegak ialah kita tidak perlu melihat tepat ke arah Matahari. Memang mustahil dan berbahaya pun! Hanya perlu tengok bayang-bayang yang terhasil sahaja.
Keistimewaan tarikh Istiwa’ A’dzam ini ialah ia berlaku 2 kali setahun, 27 Mei 5:17 PM dan 15 Julai 5:27 PM. Pada 2 tarikh ini, anda tidak perlu menggunakan kompas atau apps untuk cari arah kiblat. Hanya berpandukan Matahari.
Seperti mana selalu saya sebut, kena sentiasa hati-hati menggunakan apps dalam telefon pintar. Sebab, kiraan bearing arah kiblat itu memang betul, sebab ada formulanya. TETAPI jarum kompas dalam apps tetap menggunakan internal compass dalam telefon yang tetap akan terpengaruh dengan gangguan magnetik yang ada di sekeliling.
Jangan terlalu obses dengan kecanggihan apps, nak dapat kepastian gunalah peluang Istiwa’ A’dzam ini.
Menurut panduan oleh Jabatan Mufti Selangor, julat waktu yang kita boleh gunakan Matahari sebagai panduan kiblat bermula jam 5:05 PM hingga 5:27 PM.
Selamat mencerap!
#tabarakallah