Istiqbal / Oposisi planet Zuhal – 8 September 2024

Fenomena Istiqbal

Sekali lagi planet Zuhal akan berada pada kedudukan bersetentang dengan Matahari pada hari Ahad ini, 8 September 2024. Kejadian ini dikenali sebagai istiqbal atau opposition (juga diterjemahkah kepada oposisi).

Apabila kejadian ini berlaku, secara amnya, planet Zuhal akan terbit sebaik sahaja Matahari terbenam pada waktu Maghrib. Terbit di sebelah timur, Matahari terbenam di sebelah barat.

Pada tarikh ini, secara matematiknya, kita boleh lihat Zuhal berada di atas ufuk sepanjang malam. Secara hakikatnya tak ada la sampai macam tu sekali, sebab nak tunggu langit gelap sikit supaya nampak Zuhal pun dah ambil masa nak dekat sejam, bila waktu Subuh bermula, langit dah mula terang, ketika itu pun Zuhal dan mula hilang.

Apa keistimewaan fenomena istiqbal ini?

Ia memberi peluang kepada peminat astronomi untuk mencerap planet Zuhal sepuas-puasnya sepanjang malam. Ini adalah kerana ada waktu-waktu tertentu, planet ini akan terbit lewat, atau terbit menjelang subuh, atau pun ketika maghrib dah nak turun dah. Maka ketika itu jangka waktu nak nampak planet ini agak terhad.

Sekerap manakah fenomena ini berlaku?

Zuhal mengorbit Matahari setiap 29.4 tahun. Oleh itu pergerakannnya di langit amat perlahan. Kesannya, Bumi akan sentiasa dapat mengejar planet ini kembali ke posisi ini hampir setahun sekali. Nak lebih tepat setiap 378 hari.

Kedudukan Matahari, Bumi dan Zuhal segaris ketika saat fenomena istiqbal.

Jika terlepas tarikh istiqbal ini, adakah kena tunggu setahun lagi baru dapat lihat planet Zuhal?

Tidak! Jangan terpengaruh dengan statement video-video viral yang mengelirukan. Sekarang pun dah boleh nampak Zuhal di langit timur selepas Maghrib. Menjelang Isya’ dah boleh nampak lebih senang. Kalau terlepas tarikh ini, mungkin disebabkan hujan ke, atau ada majlis kahwin ke, jangan risau sebab selepas tarikh ini, masih boleh nampak planet ini dilangit.

Tidak ada bezanya apa yang kita lihat pada tarikh istiqbal dengan tarikh-tarikh lain. Kita hanya sekadar meraikan kedudukan bersetentang planet ini je.

No worries.

Arah manakah kita boleh nampak planet Zuhal?

Zuhal dan bintang Fomalhaut adalah 2 objek yang tercerah di sebelah langit timur ketika waktu Isya’.

Zuhal akan berada di kawasan langit yang tidak mempunyai bintang-bintang yang terang (kecuali satu). Maka itu, senang sikit nak kenal pasti yang mana satu planet Zuhal.

Secara amnya, Zuhal akan berada hampir tepat di arah timur selepas Maghrib dan warnanya sedikit kekuningan. Di sebelah kanannya kelihatan sebuti bintang yang hampir sama terang, Fomalhaut. Bintang ini berwarna putih.

Ketika tengah malam, Zuhal akan berada pada kedudukan paling tinggi di langit, dan menjelang Subuh, Zuhal akan berada rendah di ufuk sebelah barat pula.

Berdasarkan pemerhatian saya, memang mudah nak kenalpasti Zuhal, walaupun dari kawasan bandar yang banyak cahaya.

Apa yang boleh dilihat menerusi teleskop?

Zuhal terkenal dengan sistem gelangnya. Ada yang panggil cincin, ikut la yang mana rasa sesuai ikut jiwa. Tetapi apa yang pasti, tidak ada planet lain yang menpunyai gelang secerah planet Zuhal.

Namun begitu, anda perlu menggunakan teleskop untuk dapat lihat gelang ini. Binokular tak boleh nampak sebab ia terlalu kecil.

Salah sebuah bulannya, iaitu Titan, juga boleh dilihat menerusi teleskop. Ia akan kelihatan seperti bintang kecil bersebelahan dengan Zuhal. Selain Titan, bulan-bulan lain agak kelam dan mencabar sikit untuk dilihat secara visual. Namun jika anda menggunakan kamera planetari, ia akan jadi lebih mudah. Bulan Rhea dan Tethys adalah antara yang boleh dilihat.

Bulan-bulan Zuhal akan berada segaris dengan Titan paling cerah.

Jika anda menggunakan teleskop lebih besar, gelang Zuhal itu sendiri akan kelihatan seperti ada kawasan ‘lompong’ atau kosong di celah-celahnya. Ini adalah kerana sistem gelang Zuhal ini terdiri daripada ratusan gelang-gelang halus. Menerusi teleskop kecil dari Bumi, kita boleh lihat 3. Ia dikenali sebagai gelang A,B dan C. Ada gelang ke-4, gelang D, tetapi ia agak halus dan susah sikit nak nampak.

Nama-nama gelang utama planet Zuhal, serta kawasan ‘gelap’ di celah-celah gelang tersebut.

Kenapa gelang planet Zuhal untuk tahun 2024 ini nipis sangat?

Setiap lebih kurang 15 tahun sekali, kita akan dapat lihat gelang Zuhal dari sudut tepi. Ia akan kelihatan paling nipis dan seperti satu garis sahaja! Fenomena ini dikenali sebagai Saturn’s ring crossing event, di mana pada awalnya kita dapat lihat bahagian ‘atas’ gelang, kemudian gabungan kedudukan orbit Bumi dan Zuhal, kita akan dapat lihat bahagian ‘bawah’ gelangnya pula!

Menurut kiraan falak, fenomena ring-crossing ini akan berlaku pada 23 Mac 2025 nanti. Malangnya, ketika momen ini berlaku, Zuhal berada hanya 9.5 darjah sahaja daripada Matahari. Terlalu rendah di ufuk dan menyukarkan kita melihat saat ini berlaku.

Kedudukan Zuhal dan Matahari pada 23 Mac 2025. Terlalu hampir dengan Matahari dan sangat rendah diufuk timur pada ketika itu.

Foto di di bawah menunjukkan perubahan sudut pandangan planet Zuhal yang telah saya rakam sejak tahun 2018 hingga tahun ini. Boleh nampak dengan jelas, gelangnya paling terbuka pada tahun 2018. Kini ia kelihatan amat nipis!

Selamat mencerap semua!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments