Gerhana Bulan berlaku apabila Bulan memasuki ke dalam kawasan bayang-bayang Bumi. Jika Bulan hanya masuk ke dalam kawasan bayang-bayang penumbra, maka ia dikenali sebagai Gerhana Bulan Penumbra. Jika sebahagian Bulan masuk ke dalam kawasan bayang-bayang umbra, ia dikenali sebagai Gerhana Bulan Separa. Jika keseluruhan Bulan masuk ke dalam bayang-bayang umbra, ia dikenali sebagai Gerhana Bulan Penuh.
Gerhana Matahari berlaku apabila Bulan bergerak di hadapan Matahari dan menghalang sebahagian cahaya Matahari daripada sampai ke lokasi kita. Jika Bulan menutupi sebahagian sahaja daripada Matahari, ia dikenali sebagai Gerhana Matahari Separa. Jika keseluruhan Bulan menutupi Matahari, ia dikenali sebagai Gerhana Matahari Penuh. Jika Bulan secara keseluruhannya bergerak di hadapan Matahari tetapi Bulan pada waktu itu sedikit kecil daripada Matahari, ia dikenali sebagai Gerhana Matahari Cincin. Jika di sepanjang lintasan Bulan ketika Gerhana Matahari itu berlaku, ada yang akan nampak seperti Gerhana Cincin, dan ada kawasan yang akan nampak Gerhana Penuh, maka fenomena itu dikenali sebagai Gerhana Matahari Hibrid.
__________
20-Apr 11:55 AM Gerhana Matahari Hibrid di Australia dan Indonesia. Di Malaysia hanya akan dapat menyaksikan Gerhana Matahari Separa selama 1 jam 42 minit, bermula 11:05 am, kemuncak pada jam 11:55 am dan tamat pada jam 12:47 pm. (Kuala Lumpur).
6-May 1:22 AM Gerhana Bulan Penumbra. Boleh dilihat dari Malaysia dan Asia Tenggara. Bulan memasuki penumbra pada jam 5 Mei 2023, 11:13 pm, kemuncak pada jam 1:22 am dan keluar dari penumbra jam 3:31 am.
15-Oct 1:59 AM Gerhana Matahari Cincin (Annular) di benua Amerika. Tidak kelihatan di Malaysia dan Asia Tenggara.
29-Oct 4:14 AM Gerhana Bulan Separa. Kelihatan dari Malaysia dan Asia Tenggara. Bulan mula memasuki bayang-bayang umbra pada jam 3:34 am. Kemuncak gerhana pada jam 4:14 am, dan keluar dari umbra pada jam 4:52 am.