Pengenalan Almanak Astronomi FalakOnline

📝 Pengenalan

Almanak Astronomi ini merupakan himpunan fenomena Astronomi yang menarik untuk dicerap atau diamati untuk sepanjang tahun . Almanak ini merupakan kalendar astronomi pertama di Malaysia yang fokus kepada fenomena langit yang telah dikaji dan disesuaikan dengan posisi di langit serta waktu Malaysia dan sekitar Asia Tenggara. Majoriti daripada fenomena-fenomena pilihan ini  mudah untuk dicerap dengan mata kasar dan tidak memerlukan sebarang alat.

🕑 Waktu.

Kebanyakan fenomena di dalam almanak ini menggunakan waktu solat sebagai titik rujukan. Ini bertujuan memudah penggunaan bagi anda yang berada di bandar yang berlainan daripada Kuala Lumpur.

Namun, ada juga beberapa fenomena yang telah diletakkan secara spesifik waktunya, sebagai contoh 2 am atau 10 pm. Waktu ini merujuk kepada waktu di Semenanjung Malaysia. Bagi rakan pencerap di Sarawak perlu tolak 1/2 jam, dan di Sabah tolak 1 jam ke belakang.

Untuk rakan-rakan pengguna lain yang tidak begitu memahami waktu solat yang dirujukkan tadi, secara ringkasnya adalah  seperti di bawah:

  • Subuh – Ketika kita sudah dapat lihat cahaya matahari secara samar-samar buat kali pertama. Secara puratanya ia berlaku 1 jam 10 minit SEBELUM matahari terbit. Dalam perisian astronomi ia dikenali sebagai Astronomical Dawn
  • Maghrib – Ketika waktu matahari terbenam.
  • Isya‘ – Ketika hilang sepenuhnya cahaya samar-samar matahari yang masih kelihatan selepas Maghrib tadi. Secara amnya ia berlaku 1 jam 10 minit SELEPAS matahari terbenam. Dalam perisian astronomi ia dikenali sebagai Astronomical Dusk.

♲ Cara Pengiraan

Kiraan asas almanak astronomio dibuat menggunakan beberapa aplikasi dan laman web. Di antaranya International Meteor Organization, Sky Safari 6 Pro , Stellarium, Cartes du CielTimeanddate.com, Eclipsewise.com . Fenomena yang dimasukkan di sini mengikut kesesuaian dan kebolehnampakkan dari langit Malaysia dan Asia Tenggara. Data mentah daripada aplikasi-aplikasi tersebut telah diselaraskan formatnya menggunakan Python menerusi aplikasi yang saya bina sendiri iaitu Efemerium.

Star rating

Sistem rating bintang menunjukkan fenomena pilihan yang mungkin menarik perhatian anda semua. 

⭐️ – Fenomena cukup menarik untuk dilihat. Jika terlepas tidak menjadi masalah. Jangan meroyan.

⭐️⭐️-Fenomena amat menarik. Jika terlepas mungkin akan rasa rugi sikit, tetapi tak akan membawa kepada kemurungan

⭐️⭐️⭐️-Fenomena penting dan sungguh menarik. Unik dan jarang berulang. Jika anda terlepas, sila masuk gua dan bertapa 2-3 minggu. 😉

Google Calendar

NEW* – Almanak Astronomi 2023 sudah dimuat naik ke Google Calendar.

Maklumat-maklumat di dalam Astronomi Almanak boleh dikongsi dengan sesiapa sahaja, menerusi medium elektronik (sama ada laman web, media sosial atau aplikasi mesej telefon), dengan syarat:

  • Tiada perubahan dibuat dari maklumat asal (melainkan mendapat keizinan penulis)
  • Disertakan sekali pautan asal ke page ini atau guna pautan tahunan, sebagai contoh jika tahun 2022, sila taip falakonline.net/aa2022 .
  • Nyatakan sumber rujukan

Anda dibenarkan mencetak almanak ini untuk kegunaan sendiri. Saya amat GALAKKAN kelab-kelab Falak atau Astronomi sekolah untuk mencetak dan menjadikannya sebagai panduan aktiviti masing-masing.

Anda tidak dibenarkan memindah dan mencetaknya ke dalam bentuk percetakan hard copy dan soft copy (seperti buku, poster dan ebook) bagi tujuan komersial. (melainkan mendapat kebenaran penulis)

Edaran percuma kepada umum dibolehkan dengan syarat mendapat KEBENARAN terlebih dahulu daripada penulis.

Penulis berhak menambah/meminda/membuang maklumat di dalam Almanak Astronomi ini dari semasa ke semasa mengikut keperluan. Ini merupakan sebuah Living Document.

Penghasilan Almanak Astronomi ini agak rumit dan perlukan kiraan dan penelitian yang terperinci. Oleh itu, saya harap dapat kerjasama di dalam menjaga hak intelektual penghasilan almanak yang dijana khas untuk langit kita di Malaysia dan sekitar Asia Tenggara ini. 

Saya doakan agar anda dapat sedikit sebanyak manfaat daripadanya. Jika ada sebarang kesilapan atau mungkin pertambahan fenomena yang menarik yang saya terlepas pandang, saya amat mengalu-alukan feedback anda.