Meteor Perseids di Hari Raya

perseids-1

Pada awal pagi 11, 12 dan 13 Ogos 2013 nanti, Bumi akan dihujani sekali lagi dengan juraian Meteor Perseids.

Juraian Perseids ini merupakan antara juraian meteor yang agak aktif, yang mana ia boleh menghasilkan sehingga 50 meteor sejam.

(Foto di atas merupakan contoh meteor yang berjaya dirakam oleh saya ketika berada di Coonabarabran, Australia pada Nov 2012 lepas)

TARIKH YANG SESUAI

Anda tidak perlu menunggu sehingga tarikh 11,12 dan 13 Ogos untuk mencuba memerhatikan kemunculan meteor Perseids ini. Anda sebenarnya sudah boleh mula mencerapnya seminggu lebih awal.

Rekod menunjukkan jumlah meteor yang akan muncul ini, bertambah secara perlahan-lahan menuju ke tarikh puncak 11,12,13 Ogos itu, dan selepas itu jumlahnya akan jatuh dengan mendadak.

WAKTU YANG SESUAI

Secara amnya, cuba mulakan cerapan anda selepas tengah malam. Jumlah meteor yang muncul pada waktu sebelum tengah malam selalunya sedikit. Ia akan mula bertambah dan semakin rancak apabila menjelang ke waktu Subuh.

RADIANT

Radiant atau titik asal munculnya meteor-meteor Perseids ini ialah daripada sebuah buruj bernama Perseus, yang terletak di langit sebelah utara.

Buruj Perseus akan terbit di ufuk sebelah Timur Laut, sekitar jam 2 pagi. Menjelang Subuh ia semakin tinggi dan mudah kelihatan.

(Rajah di bawah menunjukkan kedudukan dan rupabentuk buruj Perseus pada sekitar jam 5 pagi)
screen 2013-07-29 at 8.27.54 AM

CARA

Anda hanya perlu gunakan MATA sahaja untuk melihat meteor-meteor ini, kerana anda perlukan ruang atau medan penglihatan yang luas.

Simpanlah teleskop atau binokular di dalam rumah!

ARAH

Anda tidak perlu tumpukan pandangan ke arah buruj Perseus, kerana meteor-meteor ini akan muncul secara tiba-tiba dan di merata kawasan langit. Anda boleh tahu jika ia adalah sebenarnya asal daripada juraian Meteor Perseids, dengan mengunjurkan kembali laluan meteor yang dilihat itu ke ‘belakang’. Jika ia menunjukkan ke arah kawasan buruj Perseus, maka sahlah ia termasuk dalam kumpulan meteor tersebut.

Seeloknya, cuba fokus kepada satu kawasan langit sahaja. Anda tidak perlu kelam kabut mencari-cari meteor ini di seluruh langit, kerana ia cukup memenatkan! Tumpukan perhatian, contoh di kawasan langit barat, dan jangan hiraukan kawasan lain.

LOKASI MENCERAP

Mana-mana pun di Malaysia masih OK.

Anda perlu mencari kawasan yang lapang, seperti padang bola, untuk melihat meteor-meteor ini. Peluang untuk anda berjaya menjejak lintasan Perseids lebih tinggi di kawasan lapang, berbanding di beranda rumah!

Cuba cari kawasan yang tidak ada gangguan cahaya. Silauan lampu jalan atau dari rumah-rumah jiran akan mengganggu penglihatan meteor ini. Pastikan juga anda berada berjauhan dari kawasan bandar-bandar besar. Anda perlukan langit yang kelihatan gelap atau hitam kerana meteor-meteor yang akan muncul ini majoritinya agak kelam.

(Foto di bawah merupakan contoh langit yang terlampau cerah dan tidak sesuai untuk mencerap meteor. Sumber)

DCF 1.0

BEZA

Ramai yang mungkin keliru bagaimana rupa bentuk meteor berbanding dengan objek lain di langit.

  1. Meteor akan muncul sekelip mata, kadang-kadang 1/2 saat sahaja. Namun, ada juga yang bernasib baik dan dapat dilihat selama 2-3 saat. 
  2. Kapal terbang akan kelihatan bergerak perlahan-lahan dengan kerlipan lampu berwarna merah.
  3. Kunang-kunang atau kelip-kelip paling kerap dikatakan meteor. Selalunya ia akan berwarna kuning kehijauan, dan laluannya di langit tidak akan lurus (pasti akan bengkok ke sana sini).
Foto dibawah penuh dengan kunang-kunang, dan bukannya meteor! Perhatikan ‘laluannya’ di langit tidak lurus! Sumber

fireflies_1_hour_watching_meteor_upper_left_Jack_Fusco_Photogrpahy

ASTROFOTO

Jika anda berazam untuk merakam foto meteor Perseids ini, saya cadangkan gunalah lensa yang paling ‘wide’ yang anda miliki. Halakan ke kawasan langit yang paling gelap (tiada gangguan cahaya). Kemudian set waktu dedahan selama yang mungkin (contoh 30 saat). Gunalah intervalometer untuk merakamnya secara berulang-ulang kali.

Tidak ada jaminan anda akan dapat merakam kesemua meteor yang dapat dilihat dengan mata.  Merakam meteor menerusi kamera agak mencabar. Namun, anda patut bersyukur jika di antara beribu-ribu keping foto yang dirakam sepanjang malam itu, adalah sekeping dua yang mempunyai meteor di dalamnya!

Doa lebih sikit! 🙂

Boleh rujuk artikel-artikel di bawah untuk cara merakam juraian meteor

(Foto di bawah merupakan contoh sebuah jurai meteor yang berjaya dirakam)

leonid-meteor-shower-mike-hankey-1

ASAL

Asal juraian meteor Perseids ini adalah dari saki baki habuk laluan sebuah komet yang bernama Komet Swift-Tuttle.

Apabila komet ini bergerak di angkasa lepas, ia akan meninggalkan banyak habuk dan debu di sepanjang laluannya. Setiap tahun bermula 17 Julai hingga 24 Ogos, Bumi akan bergerak melintasi kawasan yang berhabuk ini. Apabila habuk-habuk ini berlanggar dengan atmosfera bumi pada kelajuan 210,000 km sejam, ia akan terbakar dan menyala terang. Nyalaan inilah yang kita kenali sebagai meteor atau tahi bintang.

HARI RAYA

Ditakdirkan tarikh munculnya meteor Perseids ini selang beberapa hari sahaja selepas AidilFitri. Dijangkakan ramai yang berada di kampung halaman jauh dari bandar-bandar. Maka, gunalah peluang ini untuk berkongsi dan mencerap bersama-sama dengan keluarga dan sahabat handai.

Namun, apa yang pasti, jangan keliru meteor asli dengan meteor tiruan (mercun) !!

😉

 

Share this:

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...