Maklumat lengkap fenomena Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban
Gerhana Bulan Penuh yang dirakam oleh penulis pada tahun 2011.

Kajian Citizen Science Gerhana Bulan Penuh di SINI.

 

Pada 31 Januari 2018 nanti,  kita berpeluang menyaksikan sekali lagi Gerhana Bulan Penuh. Kali terakhir kita menyaksikan gerhana seperti ini ialah pada tahun 2015 dahulu.

  • 31 Jan – ★★ Gerhana Bulan Penuh. Fasa gerhana bermula dari 7:48 malam hingga 11:11 malam. Fasa Gerhana Penuh bermula dari 8:51 malam, kemuncak gerhana pada jam 9:29 malam dan tamat pada jam 10.07 malam. Boleh dilihat dari seluruh Malaysia. [m][b][t][afk][aft]
Sumber Fred Espenak

Berdasarkan kiraan di atas, Bulan akan melintasi agak hampir dengan pusat bayang-bayang umbra Bumi. Skala umbral magnitude (U.Mag) kali ini ialah 1.3155. Ini bermakna Bulan akan memasuki ke dalam bahagian umbra sebanyak 1.3 kali diameternya.

Gerhana kali ini dapat dilihat di kawasan Asia tengah dan Asia Timur pada awal dan lewat malam, serta Amerika Syarikat, Kanada menjelang Subuh di sana. Afrika, sebahagian Eropah dan Amerika Selatan tidak dapat melihatnya kali ini.


Gerhana Bulan Penuh 31 Januari 2018

Di Malaysia dan Asia Tenggara, Gerhana Bulan Penuh kali ini akan berlaku pada awal malam, iaitu bermula selepas Maghrib dan tamat menjelang tengah malam. Waktu kejadian ini boleh dikatakan agak ideal kerana ia berlaku pada waktu puncak ketika semua orang sudah pun berada dalam keadaan rehat dan tenang di kediaman masing-masing, serta tidak berlaku terlalu lewat selepas tengah malam.

Berikut merupakan waktu fasa-fasa gerhana utama yang akan berlaku (berdasarkan maklumat dari timeanddate.com)

Fasa Penerangan Waktu Malaysia Kenampakan
Fasa Gerhana Penumbra bermula Bulan mula memasuki kawasan bayang-bayang penumbra. Tidak banyak perbezaan warna Bulan yang akan dapat dilihat. 31 Jan, 6:51 PM Semenanjung-Tidak kelihatan (masih di bawah ufuk)

Sabah & Sarawak – Boleh lihat

Fasa Gerhana Separa bermula Bulan mula memasuki sempadan bayang-bayang umbra. Rupa bentuk Bulan akan kelihatan gelap di salah satu sisinya 31 Jan, 7:48 PM Boleh dilihat dari seluruh Malaysia
Gerhana Penuh bermula Keseluruhan Bulan berada di dalam bayang-bayang umbra. Warna Bulan akan kelihatan merah pekat. 31 Jan, 8:51 PM Boleh dilihat dari seluruh Malaysia
Kemuncak Gerhana Penuh Bulan berada pada bahagian paling dalam di dalam kawasan bayang-bayang umbra. 31 Jan, 9:29 PM Boleh dilihat dari seluruh Malaysia
Gerhana Penuh tamat Bulan mula keluar daripada sempadan bayang-bayang umbra. Salah satu sisi Bulan akan kembali cerah berwarna putih seperti biasa. 31 Jan, 10:07 PM Boleh dilihat dari seluruh Malaysia
Fasa Gerhana Separa tamat Keseluruhan Bulan sudah keluar daripada sempadan umbra, tetapi masih berada di dalam bayang-bayang penumbra. Secara amnya, Bulan sudah kelihatan seperti sedia kala. 31 Jan, 11:11 PM Boleh dilihat dari seluruh Malaysia
Fasa Gerhana Penumbra tamat Keseluruhan Bulan keluar daripada sempadan bayang-bayang penumbra. 1 Feb, 12:08 AM Boleh dilihat dari seluruh Malaysia

 

 

Secara amnya:

  1. Keseluruhan fasa gerhana bulan (dari penumbra ke penumbra) ini berlaku selama 5 jam 17 minit.
  2. Keseluruhan fasa gerhana separa (apabila sebahagian atau keseluruhan Bulan berada dalam bayang-bayang umbra) berlaku selama 2 jam 7 minit.
  3. Keseluruhan fasa gerhana penuh (apabila keseluruhan bulan berada di dalam kawasan bayang-bayang umbra) berlaku selama 1 jam 16 minit.
7:48 PM
8:51 PM

 

9:29 PM
10:07 PM

 

11:11 PM

Rajah-rajah di atas menunjukkan posisi Bulan apabila ia bergerak masuk ke dalam kawasan sempadan bayang-bayang Bumi nanti. Simulasi menerusi Sky Safari 5 Pro.


Apakah sebenarnya Gerhana Bulan?

Gerhana Bulan berlaku apabila jasad Bulan memasuki kawasan bayang-bayang bumi yang berada di angkasa lepas. Ia hanya boleh berlaku ketika Bulan berada di dalam Fasa Purnama (Bulan Penuh) sahaja. Ketika ini, Matahari, Bumi dan Bulan berada di dalam satu garisan lurus yang sempurna.

Pasti ada yang bertanya, mengapa gerhana tidak berlaku tiap-tiap bulan, padahal bulan sentiasa mengalami fasa purnama?

Ini adalah kerana satah orbit bulan ketika ia mengelilingi bumi, senget sedikit berbanding dengan satah bumi ketika mengelilingi matahari. Ia senget sekitar 5 darjah. Bayang-bayang bumi yang mengunjur jauh di angkasa lepas berada tepat di atas satah orbit Bumi ini.

Oleh sebab itu, walaupun bulan dalam fasa purnama dan berada bertentangan arah dengan matahari, jika kedudukan satahnya tidak sama dengan bumi, ia akan berada di luar kawasan bayang-bayang Bumi ini, dan gerhana tidak akan berlaku.

Video di bawah boleh memberi gambaran lebih jelas.


Ada berapa jenis Gerhana Bulan?

Ada 2 kawasan bayang-bayang Bumi yang terhasil. Bayang-bayang umbra, iaitu kawasan bayang-bayang paling gelap, dan bayang-bayang penumbra iaitu kawasan bayang-bayang di luar umbra dan tidak begitu gelap.

Jika Bulan memasuki kawasan bayang-bayang penumbra sahaja, ia dikenali sebagai Gerhana Bulan Penumbra. Walaupun ia dipanggil gerhana, tetapi secara zahirnya kita susah untuk lihat sebarang perubahan kecerahan cahaya pada permukaan Bulan ketika gerhana jenis ini.

Gerhana Bulan Penumbra yang dirakam oleh Mohd Redzuan Tahar.

Jika sebahagian Bulan memasuki kawasan bayang-bayang umbra, ia dikenali sebagai Gerhana Bulan Separa. Maksud ‘separa’ di sini tidak semestinya ‘separuh’ atau 50% tertutup. Ia mungkin tutup sedikit sahaja, atau mungkin hampir-hampir keseluruhan Bulan.

Bentuk rupa gerhana bulan separa yang berlaku tahun lepas. Foto oleh shahgazer.

Jika keseluruhan jasad Bulan memasuki kawasan bayang-bayang gelap, umbra, ia dikenali sebagai Gerhana Bulan Penuh. Ini merupakan gerhana yang paling cantik dan menakjubkan. Bulan tidak akan hilang, tetapi akan berubah warna menjadi merah pekat… ada yang memanggilnya ‘bulan berdarah’ atau ‘blood moon’. Nama-nama itu hanya gelaran sahaja dan bergantung kepada budaya masyarakat setempat. Di dalam ilmu Astronomi, ia dipanggil sebagai Gerhana Bulan Penuh.

 

Satu-satunya foto gerhana bulan penuh yang hampir lengkap yang dapat dirakam oleh saya pada tahun 2011. Foto oleh shahgazer

Apakah fasa-fasa penting semasa Gerhana Bulan Penuh?

Semasa berlakunya Gerhana Bulan Penuh, Bulan sebenarnya sedang bergerak secara perlahan-lahan memasuki kawasan bayang-bayang Bumi. Menarik untuk kita fikirkan di sini ialah, bayang-bayang Bumi ini sentiasa wujud di langit dan berada bertentangan arah dari matahari. Namun, disebabkan ia gelap, maka ia tidak kelihatan malah kita pun tak boleh nak agak kawasan mana di langit yang terletaknya bayang-bayang itu.

Tetapi jika ada jasad lain yang bergerak merentasi kawasan ini, barulah kita akan perasan bahawa di kawasan langit ‘itu’ rupanya terlindung daripada cahaya matahari. Di dalam kes ini, Bulan bergerak masuk ke dalam bayang-bayang ini dan kelihatan terlindung sedikit demi sedikit, lalu menzahirkan kewujudan bayang-bayang Bumi ini.

Fasa-fasa penting yang berlaku sepanjang Gerhana Bulan Penuh ialah:

  1. Fasa Gerhana Penumbra – iaitu ketika Bulan baru sahaja memasuki kawasan bayang-bayang penumbra. Ketika ini agak susah untuk mata kita melihat sebarang perbezaan cahaya pada Bulan.
  2. Fasa Gerhana Separa – Ketika ini Bulan sudah mula mencecah masuk ke kawasan sempadan bayang-bayang umbra. Kawasan umbra ini sebenarnya ialah sempadan permukaan Bumi itu sendiri, yang telah melindungi sebahagian daripada cahaya matahari. Secara kiraannya, kita boleh mengagak waktu Bulan mula masuk ke dalam umbra ini ialah pada jam 7:28 petang, tetapi hakikatnya ia tidak semudah itu. Ada rekod yang menunjukkan bayang-bayang umbra ini sedikit besar daripada biasa lalu menyebabkan ia kelihatan lebih awal berbanding waktu yang dikira. Perbezaan ini banyak bergantung kepada kecekapan pencerap itu sendiri, atau peralatan yang digunakan.
  3. Fasa Gerhana Penuh – Pada waktu ini keseluruhan Bulan sudah mula masuk ke dalam kawasan bayang-bayang umbra, tetapi ia tidak hilang sepenuhnya! Bulan akan kelihatan berubah warna menjadi merah pekat. Kesan cahaya merah ini disebabkan masih ada sebahagian daripada spektrum cahaya merah matahari yang terlepas dan dibiaskan oleh atmosfera Bumi lalu jatuh ke permukaan Bulan. Ia umpama waktu senja, jika kita perasan apabila selepas waktu Maghrib, walaupun Matahari sudah tidak kelihatan, masih ada saki-baki cahaya kemerahan matahari yang menyinari langit. Ia tidak gelap serta-merta. Inilah kesan biasan cahaya merah oleh atmosfera Bumi.

Video di bawah cukup jelas menunjukkan fasa-fasa gerhana bulan tersebut

 


Adakah kita perlu berada pada kedudukan spesifik untuk melihat Gerhana Bulan Penuh?

Gerhana Bulan tidak sama seperti Gerhana Matahari. Di dalam kes Gerhana Matahari, lokasi cerapan kita perlu tepat . Waktu berlakunya gerhana matahari pun tidak sama antara satu bandar dengan bandar yang lain. Boleh rujuk coretan pengalaman gerhana matahari 2017 saya di Amerika Syarikat.

Bagi kes Gerhana Bulan ini, ia tidaklah begitu rigid.

Mana-mana bahagian DUNIA yang sedang mengalami waktu malam, dan pada waktu yang sama gerhana sedang berlaku, maka penduduknya di situ boleh menyaksikannya di langit.

Kawasan gelap menunjukkan negara-negara yang akan dapat lihat Gerhana Bulan Penuh kali ini. Sumber timeanddate.com

Gerhana yang berlaku ini nanti, seluruh Malaysia dan Asia Tenggara sempat menyaksikan puncak gerhana itu, iaitu ketika ia dalam fasa Gerhana Bulan Penuh. Yang ada bezanya ialah dari sudut ketinggian Bulan di atas ufuk.

Sebagai contoh, ketika puncak gerhana itu nanti, bagi anda di Semenanjung, Bulan masih rendah sekitar 30 darjah, tetapi jika anda berada di Sabah, Bulan lebih tinggi iaitu berada sekitar 45 darjah.

Walaupun apa pun, jangan risau dengan perbezaan ini. Selagi anda dapat lihat Bulan tu, bersyukurlah! 😉

Kedudukan Bulan ketika kemuncak gerhana, berdasarkan lokasi di Semenanjung dan di Sabah.

 


Perlukan kita menggunakan sebarang alat untuk melihat Gerhana Bulan?

Tidak perlu. Gerhana Bulan amat senang dan boleh dilihat dengan mata kasar sahaja. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai binokular atau teleskop, pemandangan akan lebih jelas dan menarik.

Saya galakkan anda mengambil peluang menyaksikan pergerakan bayang-bayang umbra apabila ia merentasi permukaan Bulan. Berbekalkan peta bulan yang lengkap, cuba kenalpasti waktu dan ketika kawah-kawah tertentu di permukaan Bulan itu lenyap ditelan kegelapan umbra!


Adakah Gerhana Bulan ini berbahaya untuk dilihat dengan mata?

Tidak berbahaya langsung sebab cahaya kemerahan yang kelihatan itu hanyalah biasan sebahagian kecil cahaya matahari yang jatuh ke permukaan Bulan. Sama sumbernya seperti cahaya  bulan purnama yang terang benderang tu, tetapi kali ini ianya beratus kali ganda lebih malap.


Kalau hujan atau berawan boleh nampak kah?

“Boleh” –> kita boleh nampak gerhana berganda = bayang bumi tutup bulan, awan tutup bulan = tak nampak apa-apa

😉


Apakah cara terbaik untuk merakam Gerhana Bulan?

Kamera DSLR dengan lens berfokal panjang atau dipasang pada teleskop, merupakan gabungan alat yang paling baik untuk merakam gerhana bulan. Sila rujuk artikel Persoalan penting berkenaan Gerhana Bulan Penuh 4 April 2015 dan scroll ke bawah untuk lihat tajuk berkaitan rakaman gerhana bulan.

Sedikit istimewanya gerhana kali ini ialah, disebabkan kedudukan Bulan yang masih rendah, anda boleh cuba merakamnya bersama-sama dengan foreground yang menarik. Sebagai contoh, anda mungkin boleh merakam gerhana bersama-sama dengan Menara Kembar KLCC!

Gerhana Bulan yang sedang terbit bersama-sama dengan landskap malam, memang cukup cantik untuk dirakam. Foto di atas dirakam di San Francisco. Sumber.

Betul ke Gerhana Bulan Penuh kali ini berlaku serentak dengan supermoon?

Ada banyak laman web yang mempromosikan gerhana kali ini sebagai Gerhana Bulan Penuh Supermoon, iaitu gerhana kali ini berlaku ketika fenomena supermoon, atau ketika bulan penuh yang paling besar dan dekat dengan Bumi,

Saya agak kurang setuju dalam bab ini.

Jika dilihat, gerhana bulan kali ini berlaku 1.2 hari SELEPAS bulan berada pada kedudukan perigee (paling dekat dengan bumi). Maknanya, ia tidak berlaku pada waktu yang sama dengan supermoon atau Bulan Penuh Perigee.

Maka, tak perlulah menyusahkan diri dengan memberi gelaran fenomena yang tidak kena pada tempatnya!


Apa lagi fenomena yang boleh dilihat ketika Gerhana Bulan Penuh kali ini?

Selain daripada gerhana bulan itu sendiri, saya dapati ada beberapa lagi fenomena sampingan yang boleh dijadikan aktiviti kita nanti. Di bawah merupakan ringkasannya. InsyaAllah artikel lebih lengkap akan menyusul. Watch this space!

Pengiraan waktu pergerakan bayang-bayang umbra merentasi permukaan Bulan

Kita boleh lakukan aktiviti mengira saat dan ketika sesebuah kawah di permukaan Bulan itu hilang apabila ditutupi bayang-bayang umbra. Aktiviti ini memerlukan peta bulan yang terperinci dan digalakkan menggunakan teleskop atau binokular

Video di bawah dirakam oleh saya ketika gerhana bulan separa yang berlaku tahun lepas. Perhatikan bagaimana bayang-bayang umbra merentasi kawasan permukaan Bulan.

Penghijaban bintang HR 3558

Sebuah bintang bermagnitud 6.2, bernama HR 3558 akan dihijab oleh Bulan. Fenomena ini dapat dilihat dari kawasan sekitar Kuala Lumpur. Kita boleh merakam saat bintang ini ‘hilang’ dan ‘muncul’ kembali menerusi teleskop berkuasa sederhana tinggi.

Hilangnya bintang HR 3558 pada jam 8:26 pm di Kuala Lumpur. Simulasi Sky Safari 5 Pro.
Kemunculan bintang HR 3558 pada jam 9:36pm di Kuala Lumpur. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Kluster Beehive dan planet kerdil Ceres.

Sebuah kluster bintang bernama Beehive akan berada hampir dengan Bulan. Pada waktu yang sama, planet kerdil Ceres turut berada berdekatan. Jika anda mempunyai kamera dan lens sekitar 50mm, ini merupakan satu peluang menarik untuk merakam ketiga-tiga objek ini serentak.

Medan pandangan kamera full-frame dan lens 50mm, boleh memuatkan Bulan, kluster Beehive dan planet kerdil Ceres. Simulasi Sky Safari 5 Pro.

Apakah ibadat yang boleh dibuat ketika Gerhana Bulan?

Solat Sunat Gerhana boleh dibuat ketika fenomena gerhana bulan. Panduan lengkap boleh didapati menerusi bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri-negeri ataupun boleh juga lihat panduan INI.


Ada lagi maklumat mengenai Gerhana Bulan?

Fenomena Gerhana Bulan Penuh ini sentiasa berulang-ulang dari tahun ke tahun. Yang membezakan antara satu sama lain ialah samada kita boleh nampak dari Malaysia, ataupun waktu kejadiannya berbeza-beza. Apa yang masih sama ialah penerangan mengenai fenomena ini tetap sama, cara ia berlaku tetap sama, dan apa yang kita akan nampak sama sahaja.

Oleh itu silalah rujuk artikel-artikel FalakOnline yang pernah diterbitkan sebelum ini mengenai Gerhana Bulan sebagai rujukan tambahan.

Membaca amalan mulia! 😉


Bilakah  Gerhana Bulan Penuh ini akan berlaku lagi?

Selepas ini, kita di Malaysia dan Asia Tenggara akan SEKALI LAGI dapat menyaksikan Gerhana Bulan Penuh. Ia akan berlaku menjelang Subuh, 28 Julai 2018.


Wallahua’lam

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments