69 – Inilah jumlah terkini bulan-bulan planet Musytari

Pandangan dari atas planet Musytari, menandakan orbit kesemua bulan-bulannya. Sumber

Zaman sekolah saya dulu (tahun 80an), masih ingat lagi buku-buku teks sekolah menyatakan Musytari mempunyai 15 buah bulan atau satelit semulajadi. Ketika itu, bila dengar je ’15’, memang terasa kagum dengan ‘kehebatan’ planet ini yang mempunyai jumlah ahli keluarga yang ramai. Bumi pun ada satu je bulan!

Melompat ke tahun 2017, nombor ’15’ sudah menjadi sejarah.

Dalam pengumuman oleh Minor Planet Cicular bertarikh 2 Jun dan 5 Jun baru-baru ini, penyelidik dari Carnegie Institution for Science, Scott Sheppard, telah mengumumkan 2 buah lagi satelit baru Musytari, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 69!

Enam puluh sembilan!

Jenuh nak buat kalendar kat sana tu!

(Foto-foto di atas menunjukkan frame gambar penemuan satelit S/2016 J1 (kiri) dan S/2017 J1 (kanan). Sumber.

 

Satelit yang diberi nama S/2016 J1 dan S/2017 J1 ditemui apabila Sheppard dan pasukannya sedang membuat pencarian rutin objek-objek di hujung sempadan sistem suria kita dengan menggunakan 2 buah teleskop, iaitu teleskop bersaiz 6.5 meter di Las Campanas Observatory dan teleskop 4 meter di Cerro Tololo. Kedua-duanya di Chile.

 

Sebahagian daripada teleskop Cerro Tololo Inter-American Observatory (CTIO) di Chile.

 

Kebetulan Musytari berada  di kawasan langit yang sama di mana mereka sedang lakukan pemerhatian, mereka pun ‘melencong’ daripada rutin harian, dan merakam gambar planet gergasi ini, dengan harapan manalah tahu dapat jumpa benda baru.

Dan memang rezeki mereka, 2 buah satelit ini berjaya dirakam. Dipercayai saiz kedua-duanya hanya lebih kurang 1 batu sahaja, dan bersinar pada tahap magnitud +24. Dalam erti kata lain ia terlalu kelam untuk dirakam oleh teleskop yang digunakan oleh pencerap amatur!

aiseyman..ruginya!

Bulan S/2016 J1 terletak di dalam orbit yang amat jauh dari Musytari, iaitu pada purata 20.6 juta km, dan mengambil masa 1.65 TAHUN untuk lengkap satu pusingan orbit! Manakala bulan S/2017 J1 berada pada jarak 23.5 juta km dan mengambil masa 2 TAHUN untuk lengkap satu pusingan.

 

(Simulasi dari perisian Celestia, yang menunjukkan hampir kesemua orbit bulan-bulan planet Musytari)

 

Jika anda pernah melihat menerusi teleskop, bulan Muystari yang paling jelas kelihatan ada 4 buah sahaja, iaitu Io, Callisto, Ganymede, Europa. Bulan-bulan gergasi ini mengorbit pada arah yang ‘standard’ iaitu sama arah dengan putaran paksi planet Musytari (prograde). Tetapi, sebahagian daripada bulan-bulan yang lebih kecil dan lebih jauh dari planet ini mempunyai orbit yang berpusing pada arah berlawanan (retograde).

Satelit-satelit luaran di sekitar planet Musytari.

Pergerakan berlawanan arah ini selalunya merupakan bukti bulan-bulan kecil ini tidak terbentuk bersama-sama dengan Musytari, tetapi ia telah ‘ditangkap’ oleh graviti Musytari pada suatu masa dahulu.

Bulan import!

Kedua-dua bulan baru Musytari ini mempunyai orbit sedemikian, menunjukkan ia juga mungkin bulan yang ‘terperangkap’!

Begitulah hebatnya alam ciptaan Allah SWT, lagi diteroka, lagi banyak benda baru yang nak dibelajar atau dijumpai!

shahgazer

Shahrin Ahmad ialah pemilik portal Falak Online. Beliau meminati Astronomi sejak tahun 1984 dan masih bertahan minatnya sehingga hari ini. Beliau gemar berkongsi pengalaman, cerita dan informasi terkini berkenaan dunia Astronomi. Beliau juga sering dijemput memberi ceramah dan kursus yang berkaitan. Beliau mempunyai sebuah balai cerap persendirian, dipanggil sebagai ShahGazer Observatory (SGO).

You may also like...