Kembali ke asal
Sejak beberapa tahun yang lepas, aku tiba-tiba rajin pulak untuk mengguna kembali teleskop Dobsonian 12” Explore Scientific yang dibeli sekitar tahun 2015. Bagi yang yang kenal lama dengan aku, sejak dari dulu lagi aku memang gilakan teleskop yang mempunyai design Dobsonian sebegini. Walaupun guna secara manual, ia mempunyai aperture yang besar (dapat kumpul lebih banyak cahaya) dan agak mudah nak pasang (tak remeh). Selalunya kalau yang jenis truss-tube, boleh siap pasang sekitar 10-15 minit, kalau yang jenis full tube (seperti teleskop Dobsonian 10” Meade aku yang lagi lama, beli tahun 1995) , itu tak sampai 2 minit dah siap boleh guna.

Bila dah jarang guna, sekali sekala bila jenguk dalam eyepiece tu, tiba-tiba rasa kagum dan teruja seperti mana yang pernah terasa ketika awal-awal guna teleskop masa kecik-kecik dulu.
Memang lain betul perasaan melihat sendiri dengan mata menerusi teleskop, berbanding dengan gambar pada skrin. Segala pancaindera yang ada tiba-tiba meningkat tahap keupayaan berkali ganda. Mata aku secara automatik adjust dengan terang kelam objek yang dicerap, dan mula peka dengan sebarang ‘benda’ yang muncul.
Bila tengok Bulan, mata mula meliar melihat benda-benda kecil di celah-celah kawah. Ketika Bulan Penuh, silau ya amat sampaikan terpaksa guna penapis! Waktu paling seronok ialah ketika waktu fasa sabit atau separuh, waktu di mana kita dapat lihat sempadan siang malam.
Apabila meninjau planet pula, senarai paling atas ialah planet Zuhal! Planet ini unik sebab bentuknya tak sama seperti planet-planet lain, asbab adanya gelang di kelilingnya. Walaupun kita guna kuasa pembesaran yang rendah, ia masih menarik. Musytari ialah sebuah lagi planet yang menarik. Saiznya yang besar, 2 garisan belang yang jelas, serta 4 buah bulan utamanya yang terang dan begerak cepat. Zuhrah pula lagi pelik. Bentuknya boleh berubah-ubah seperti fasa bulan, sekejap sabit, kemudian jadi separuh.
Bila tengok bintang pula, terutama di kawasan sekitar bintang yang banyak seperti gugusan kluster bintang dan dalam kawasan Bima Sakti. Bilangan titik-titik halus yang begitu banyak menimbulkan rasa kerdil dan lemahnya kita. Nebula dan galaksi pula memberi satu cabaran lain. Ia memang susah sebab nebula atau galaksi yang terang-terang tak banyak. Dan apabila kita lihat dalam eyepiece teropong, ia nampak seperti comot-comot putih seperti awan yang kelam. Bagi aku la, cebisan cahaya yang sikit ini pun dah cukup puas hati sebab dapat tengok dengan mata kepala sendiri.
Aku masih ingat sekitar lewat tahun 90an, aku berpeluang pergi mencerap dari kawasan gelap berhampiran dengan “The Gap”, jalan yang nak naik ke Bukit Fraser. Ketika itu ada sebuah jalan baru yang naik ke atas tapi belum dibuka. Aku bersama-sama dengan Mr.Looi (owner asal Infinity Infocus) dan beberapa orang lain bawa beberapa teleskop ke sana. Aku bawa Dobsonian 10” Meade Stafinder yang besar gedabak tu! Apa yang dilihat dalam eyepiece memang menakjubkan. Mana-mana aku halakan teleskop, aku nampak galaksi. Pusing kiri nampak galaksi, pusing atas nampak galaksi lain. Jelas nampak bentuk pusar-pusar galaksi tu. Ada yang leper, ada yang macam piring. Menggila-gila masa tu!
Masuk awal tahun 2000, mula dah berjinak dengan astrofotografi. Belajar guna CCD dari Dr.Rowi, beli Mallincam dari Kanada harga ribu-riban. Beli DSLR pula. Masa tu seksa betul nak setup teleskop ikut keperluan untuk ambil gambar secara long exposure. Tapi bila berjaya, rasa bersyukur ya amat! Seronok masa tu dapat tengok beratus beribu bintang muncul pada skrin.
“Masa tengok dalam teleskop tak nampak, sekarang boleh nampak! Best tu!”
Kemudian seksa lain pula, nak proses gambar. Kena belajar guna perisian yang ada. Pergi lowyat cari CD tak jumpa.. hihi. Terpaksa pinjam dari kawan-kawan yang ada.. ehemm. Proses nak belajar cara betul memproses gambar astrofoto ni mengambil masa bertahun-tahun. Kena belajar sendiri atau dengan kawan-kawan seperjuangan dalam forum FalakOnline. Tak jumpa jawapan, join forum luar negara sepeti CloudyNights. Baca website orang (zaman sebelum orang panggil blog) Masing-masing belajar dan kongsi idea.
Kemudian masuk tahun 2010.. perkakasan astrofoto makin murah dan mudah nak beli. Cara ambil gambar pun makin senang. Satu malam tu, senang-senang je tekan enter pada star chart dan teleskop pun pergi ‘cari sendiri’ dan automatik ambil gambar. Nak proses gambar pun makin senang apabila makin banyak pilihan aplikasi.
Teleskop manual Dobsonian pun makin ditinggalkan berhabuk. Mata aku dah tak dilatih mengamati apa yang diteropong menerusi teleskop. Jadi malas dan bak kata omputeh, ‘take things for granted’.
4-5 tahun kebelakangan ni, muncul pulak smart telescope! Ambik ko! Lagi senang kerja nak ambik gambar. Tak perlu pening-pening susah nak setup teleskop, biarkah apps saja cari dan buat kerja. Aku akui bilangan objek yang berjaya dicerap jauh lebih banyak berbanding cerapan manual.
Lagi dahsyat, gambar yang dirakam tak perlu nak masuk dalam aplikasi untuk diproses secara manual. Tekan saja, terus hilang noise. Tekan je bintang boleh hilang, tinggal nebula je.. haha.
Kerja-kerja astrofoto sekarang, makcik cleaner pun dah boleh buat!
Gambar-gambar astrofoto yang sungguh cantik, sehinggakan berlapis-lapis nebula boleh nampak, makin banyak. Detail yang dilihat dalam astrofoto itu confirm hanya nampak dalam kamera dan bukan dengan mata.
Semua orang rasa kagum, “cantiknya” “lawanya”.
Kemudian muncul pula image generation guna AI. Yang ni lagi haru. Kelambakan ‘astrofoto’ (konon) yang mengguna AI makin banyak, sampaikan kadang-kadang kita sendiri pun boleh jadi confuse. Ramai astrophotographer mengeluh, orang awam lebih suka dan percaya dengan gambar AI, berbanding yang apa yang dirakam dan diproses sendiri oleh manusia. Bila astrophotographer cuba jelaskan mana yang betul mana yang salah, habis kena humban netizen yang serba pandai.
Masa inilah aku mula tertanya-tanya kembali kepada soalan paling basic ketika awal-awal mula meneropong langit. Aku nak tengok langit ni sebenarnya untuk apa? Apa tujuannya? Apa yang aku dapat belajar ketika meropong satu-satu objek? Apa yang aku belajar ketika nak cari objek-objek tu?
Masa inilah aku rasa aku telah meninggalkan perkara paling asas dalam astronomi, iaitu MEMERHATI dan MENGAMATI. Dalam bahasa omputeh OBSERVE.
Bila aku ambik gambar, tekan enter download dan upload. Itu aje. Boleh kira berapa kali je aku benar-benar MEMERHATI apa yang dirakam. Mungkin disebabkan proses rakaman itu mudah sangat, dalam hati pun kata ” alaa.. tak pe.. download dulu, upload. Lain kali boleh tengok balik gambar tu”… hmmm.. bertuahlah! Rasanya dalam setiap 10 gambar yang aku ambik, 1 kali je yang betul-betul tengok apa yang diambil.
Kita telah kehilangan satu skil, iaitu skil OBSERVATION. Memerhati dengan teliti apa yang rakam. Kita sudah terlalu obses MENG-EDIT foto yang dirakam sehingga hilang originality dalam objek yang dirakam.
Dan selalunya kita terlalu OVER-EDIT hinggakan gambar yang dikongsi tu tak masuk akal jadinya.
Aku rasa kita telah salah faham mengenai hakikat aktiviti teropong secara visual, ia sebenarnya satu adventure yang sangat personal dan peribadi. Susah nak terangkan kepada orang mengenai apa yang dilihat menerusi teleskop itu, sebab masing-masing ada perspektif masing-masing. Perspektif itulah yang paling berharga untuk diri kita.
Allah SWT dalam Quran berulang kali suruh pandang kejadian langit bumi. Nabi SAW diriwayatkan dalam riwayat Muslim, Nabi Muhammad bangun pada akhir malam lalu keluar rumah dan menatap langit kemudian membaca ayat
إِنَّ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَآيَاتٍ لِأُولِي الْأَلْبَابِ
Artinya: Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. (QS. Ali Imran: 190)
Aku rasa ramai di antara kita yang bila melihat langit menerusi mata atau teropong, akan mula rasa kagum dengan penciptaan alam semesta ini. Segala rasa egoistik dalam diri boleh terburai dengan sendiri bila melihat dengan mata kepala sendiri.
Dan apa yang kita lihat tu sebenarnya tak bergantung kepada sejauh mana ‘cantik’nya benda yang dilihat. Kadang-kadang sebutir titik asteroid yang halus di kalangan beratus bintang-bintang di dalam teleskop yang kita sedang teropong itu pun dah cukup menimbulkan perasaan kerdil dan lemahnya kita di hadapan ciptaan Allah SWT.
Aku rasa kegilaan untuk ‘share’ dengan orang ramai mengenai apa yang kita ‘rakam’ telah menghilangkan tujuan asal memerhati langit. Ya, memang lah zaman sekarang ada kamera untuk dirakam dan disimpan sebagai kenang-kenangan, tetapi intipati atau pengajaran cerapan/observation itu sendiri dah hilang dari dalam diri kita. Kita sekarang sekadar click, point, shoot, dowload, share. Rasa macam ada kekosongan di dalamnya.
Ini semua adalah pendapat aku secara peribadi. Aku telah lalui zaman cerapan secara manual, sebelum internet. Kemudian muncul zaman cerapan dan internet. Kemudian zaman cerapan dan media sosial. Sekarang pula cerapan dengan smart telescope. Masing-masing ada kebaikan dan kelemahan. Setiap generasi ada pengalaman sendiri.
Bagi aku ni, golongan Gen-X, umur yang dalam zon 50-an, aku mula rasa nak menghidupkan kembali zaman mencerap secara visual dalam rutin aku. Saki baki umur aku ni, aku nak tengok puas-puas segala yang bertaburan di langit malam dengan mata kepala sendiri. Smart teleskop tetap guna untuk ambik gambar tapi itu adalah misi sekunder. Mencerap dengan mata sendiri mempunyai satu keistimewaan yang susah hendak dijelaskan.
Aku nak rasa kembali kepuasan memasang teropong besar-besar. Aku nak rasa kembali keseronokan memilih objek yang nak dicerap, dan kemudian susah-payah mencari objek itu menerusi peta bintang secara manual, gerak dari satu bintang ke satu bintang, dan ‘ziarah’ kembali kawasan langit yang pernah satu ketika dulu aku ‘lalu’. Aku nak rasa kembali debaran sama ada kita boleh nampak atau jumpa apa yang dicari. Aku nak rasa kembali perasaan perlahan-lahan menggelintar dalam view eyepiece, memerhati setiap butir bintang yang ada dalam pandangan teleskop itu. Aku nak rasa kembali keterujaan melihat warna bintang dengan mata sendiri. Aku nak rasa sendiri dapat melihat comot-comot awan kelam nebula atau galaksi. Aku nak rasa kembali perasaan tertendang teleskop dan terpaksa cari semual objek tadi. Aku nak rasa kembali apa bezanya malam ini aku yang tengok berbanding malam semalam. Aku nak rasa keterujaan memilih objek lain, meneliti panduan di dalam buku peta bintang dan cuba cari objek yang sesuai dengan teropong atau suasana langit ketika itu.
Aku nak cuba rasa apa yang dirasa oleh pengkaji langit ilmuwan Islam dan juga tamadun dunia terdahulu, apabila mereka tiap-tiap malam tanpa jemu memerhati, mencatat dan cuba memahami segala yang berpusing-pusing di atas kepala mereka. Attention span mereka sangat lama sehingga hasil yang didapati amat teliti. Jauh berbeza dengan kita sekarang.
Dan paling penting, aku nak buat apa yang Allah SWT suruh. Lihat, Fikir dan Zikir. Pasti ada hikmahnya.
Wallahua’lam. tabarakallah