2 minute read

Pada waktu Maghrib, 14 September 2026 nanti, planet Zuhrah akan hilang dari pandangan buat beberapa ketika oleh Bulan.

Fenomena langit ini dikenali sebagai penghijaban, dan ia akan dapat dilihat dari seluruh Semenanjung Malaysia, dan sebahagian kecil di Sarawak. Malangnya rakan pencerap di Sabah tidak dapat melihatnya. Malah, di Sarawak pun agak mencabar kerana Bulan berada amat rendah di ufuk ketika saat bermulanya penghijaban ini.

Rujuk peta lokasi di bawah.

Penghijaban ialah satu kejadian unik di mana sebuah objek di langit bergerak di hadapan sebuah lagi objek yang lain. Kita boleh umpamakan dengan gerhana matahari, di mana Bulan bergerak menutupi Matahari di belakangnya buat beberapa ketika.

Bulan juga bergerak di hadapan objek-objek lain di langit seperti bintang dan planet. Di dalam kes planet, ia agak jarak berlaku kerana bilangan planet yang terang dan berpotensi untuk dihijab oleh Bulan ada 5 sahaja, iaitu Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal.

Selain itu faktor timing dan lokasi juga memainkan peranan. Disebabkan Bulan hampir dengan Bumi, wujud perbezaan sudut pandangan dari lokasi yang berlainan di permukaan Bumi, hasil daripada fenomena yang dikenali sebagai paralaks.

Lebih mencabar ialah kadang-kadang ia berlaku pada waktu siang, maka susah (tetapi tidak mustahil) untuk dicerap.

Sila rujuk beberapa siri video penghijaban yang saya sempat rakam di channel youtube saya.

14 September 2026.

Pada 14 September nanti, Bulan akan menghijab planet yang paling cerah di langit, iaitu Zuhrah (Venus)!

Pada awal Maghrib, kita masih dapat lihat Zuhrah dan Bulan sabit muda duduk sebelah menyebelah, dengan Bulan berada di bawah sedikit dari kedudukan Zuhrah.

(Atas: Kedudukan Zuhrah dan Bulan yang dicerap pada tahun 2023 yang lepas. Hampir sama dengan apa yang kita akan dapat lihat nanti)

Namun, ketika waktu Isya’ (di Semenanjung), Bulan akan begerak di hadapan Zuhrah, dan planet ini akan tiba-tiba hilang!

Menurut kiraan saya, ia akan berlaku sekitar 8:38 malam di Kuala Lumpur. Waktu ini mungkin ada sedikit perbezaan dari lokasi yang berlainan. Sila guna aplikasi seperti Stellarium atau Sky Safari untuk menentukan waktu yang tepat untuk lokasi anda.

Ketika itu, Bulan sudah pun berada agak rendah, sekitar 14 darjah di atas ufuk barat.

Proses penghijaban ini akan terus berlangsung sehinggalah Bulan dan Zuhrah terbenam. Maknanya kita tidak dapat lihat momen Zuhrah muncul kembali.

Sabit lawan sabit

Fenomena ini ialah ia seperti ulangan penghijaban Zuhrah yang berlaku pada awal Ramadhan, 23 Mac 2023 yang lalu.

Cuma yang uniknya kali ini ialah bentuk Zuhrah kebetulan seperti sabit, hampir sama dengan bentuk Bulan sabit muda ketika itu!

Di bawah ialah simulasi kedudukan Bulan dan Zuhrah apabila dilihat dengan mata kasar.

Di bawah pula ialah simulasi menerusi binokular atau teleskop berkuasa rendah.

Di bawah pula ialah simulasi momen jasad sabit Zuhrah hilang disebalik sisi Bulan.

Fenomena ini menarik untuk dilihat dengan pelbagai cara, samada dengan mata, menerusi teleskop atau binokular atau dirakam.

Di dalam zaman di mana hampir semua orang memiliki smart teleskop seperti Dwarf atau SeeStar, saya galakkan anda merakamnya. Jangan lepaskan peluang!

Berdoalah agar jerebu sempat berkurangan pada tarikh tersebut!

Selamat Mencerap