Siap sedia untuk Meteor Lyrids 2026
Waktu puncak juraian meteor Lyrids untuk tahun 2026
Laporan rasmi daripada IMO.net meletakkan waktu kemuncak juraian meteor Lyrids untuk tahun 2026 ini jatuh pada 22 April 20:00 UT. Ini bersamaan 23 April 2026 4 AM waktu Malaysia.
Asal-usul Meteor Lyrids.
Meteor Lyrids berasal daripada saki baki debu dan batu daripada Komet C/1861 Thatcher. Komet ini merupakan sebuah komet yang mempunyai orbit amat besar. Satu pusingan lengkap mengelilingi Matahari mengambil masa 416 tahun.
Kali terakhir Komet Thatcher ini muncul ialah pada tahun 1861. Menurut beberapa sumber, kemunculan seterusnya akan berlaku sekitar antara tahun 2278 hingga 2283.
Orbit Komet Thatcher dan kawasan laluan debu komet ini. Sumber IMO.net
Dalam erti kata lain, kita tak payah tunggu la :)
Arah radian (muncul) meteor-meteor Lyrids
Meteor Lyrids ini mendapat nama kerana meteor-meteornya kelihatan muncul dari arah sebuah buruj kecil yang terang, bernama Lyra, di langit sebelah utara.
Titik muncul (radian) meteor Lyrids. Sumber Sky Safari
Di dalam buruj ini terletak sebutir bintang terang bernama Vega, dan bintang ini bersama-sama dengan bintang Deneb dan Altair membentuk satu asterim yang digelar The Summer Triangle.
Waktu paling sesuai untuk mencerap meteor Lyrids
Menurut IMO, meteor-meteor Lyrids ini sudah pun mula muncul pada 14 April dan berlanjutan sehingga 30 April.
Kemuncaknya ialah pada 22 April. Tapi kena ingat, ini semua waktu dalam UTC. Kita perlu terjemah waktu ke waktu Malaysia. Dalam kes ini, kemuncak berlaku sekitar 23 April 4 AM di Malaysia.
Walau apa pun, kita tak perlu tunggu tepat-tepat pada tarikh tersebut. Sehari sebelum (22 April) dan sehari selepas (24 April) tarikh puncak pun masih boleh cuba cerap meteor-meteor ini.
Dari segi waktu pula, kita sudah boleh lakukan cerapan bermula sekitar 10 atau 11 malam, 22 April, dan berterusan hingga waktu Subuh, 23 April 2026.
Namun begitu, waktu yang paling sesuai ialah bermula tengah malam 23 April hingga ke Subuh. Dan selalunya sekitar 4-5 pagi adalah waktu paling banyak meteor yang muncul.
Dan waktu tu la paling ramai pencerap meteor dah lena tidur :-D
Bilangan meteor Lyrids yang akan muncul.
Zenithal Hourly Rate atau ZHR untuk meteor Lyrids ini ialah 18 meteor setiap jam.
Harus faham ye, ZHR ini adalah nilai yang dikira JIKA
- titik radian kemunculan meteor ini tepat di atas kepala (zenith) DAN
- cerapan dilakukan dari kawasan langit sempurna gelap di mana kita boleh lihat bintang sekelam magnitud 6.5
Oleh itu, untuk kira bilangan SEBENAR dari langit Malaysia, guna formula ini.
\[HR = \frac{ZHR \cdot \sin(h_R)}{F \cdot r^{(6.5-l_m)}}\]Di mana,
HR = bilangan meteor yang kita dapat lihat setiap jam
Dengan andaian tiada pencemaran cahaya dan tiada awan, jangkaan bilangan meteor yang akan muncul dari langit Malaysia adalah seperti berikut
| Waktu Malaysia (Semenanjung) | Altitud titik radian | Meteor/jam |
|---|---|---|
| 12:00 AM | 10° | 3.1 |
| 1:00 AM | 20° | 6.2 |
| 2:00 AM | 30° | 9.0 |
| 3:00 AM | 40° | 11.6 |
| 4:00 AM | 50° | 13.8 |
| 5:00 AM | 60° | 15.6 |
| 6:00 AM | 65° | 16.3 |
Buruj Lyra dari Malaysia tidak akan sampai tegak di kepala, tetapi masih agak tinggi. Maka bilangan meteornya agak tinggi! Alhamdulillah.
1 AM (12 AM di Sabah)
3 AM (2 AM di Sabah)
5 AM (4 AM di Sabah)
Dari jadual ini, waktu yang terbaik adalah antara 4AM hingga 6AM (3AM - 5AM di Sabah).
Arah langit yang perlu dicerap
Tahun 2026 agak baik kerana tiada gangguan cahaya dari Bulan. Oleh itu, kita boleh fokus ke mana-mana kawasan langit yang gelap.
- Tak perlu pandang arah buruj Lyra. Mana-mana kawasan langit pun boleh.
- Cari kawasan jauh dari cahaya lampu seperti lampu jalan, lampu rumah, lampu handphone
- Lakukan cerapan di kawasan lapang seperti padang atau tepi pantai, luar bandar.
- Jangan mengada-ngada cerap dari dalam rumah duduk tepi tingkap, bila tak nampak complain pulak kata tak nampak. Jangan degil.
- Kira bilangan meteor yang nampak, seeloknya catat sekali waktu muncul, arah mana, kecerahannya dan warna.
- Jika berawan tompok-tompok dan boleh nampak bintang celah-celah awan, masih boleh lakukan cerapan.
- Jika berawan tebal dan hujan, amat digalakkan tidur je.
Untuk mengambil gambar rujuk artikel-artikel meteor yang pernah ditulis di FalakOnline sebelum ini. Guna butang ‘search’ di penjuru atas page FO.
Contoh meteor rawak yang tak sengaja dirakam oleh penulis pada tahun 2023
Selamat mencerap