Ramai di antara anda yang mungkin tertanya-tanya bagaimana cara saya dapat tahu sunspot apa yang muncul pada matahari sekarang.
Boleh lihat koleksi foto matahari saya di SINI.
Caranya amat mudah. Saya merujuk ke laman web Spaceweather.com, yang merupakan sumber rujukan utama fenomena-fenomena matahari dan atmosferik. Laman web ini ditulis oleh Dr. Tony Philips, yang juga merupakan pakar matahari.
Di sudut kiri laman web tersebut terdapat satu ruangan kecil yang bertajuk “Current Conditions” (Rujuk screenshot di sebelah).
Di bawahnya terdapat foto matahari terkini dari satelit Solar Dynamics Observatory (SDO).
Jika ada sunspot yang kelihatan di permukaan matahari, ia akan ditandakan dengan nombor-nombor. Nombor itu, boleh saya katakan sebagai nombor kad pengenalan bagi setiap sunspot yang kelihatan dari Bumi.
Ia juga dikenali sebagai sunspot number.
Sunspot atau tompok matahari itu akan kelihatan seperti bintik-bintik hitam pada gambar tersebut. Jika anda perhatikannya setiap hari, ia akan kelihatan ‘bergerak’ dari kiri ke kanan.
Pergerakan ini disebabkan putaran matahari di atas paksinya.
Selalunya sunspot ini tidak dapat bertahan lama, ia akan hilang dalam masa beberapa hari. Cuma kadang-kadang ada yang agak besar hingga ia boleh bertahan selama beberapa minggu.
Untuk melihat sunspot ini, anda perlu menggunakan penapis matahari seperti Baader, untuk menapis segala bentuk cahaya berbahaya dan silau yang ekstrem dari matahari. JANGAN SEKALI-KALI MELIHAT MATAHARI SECARA TERUS TANPA PENAPIS.
Anda boleh BUTA serta merta.
Saya secara peribadi amat gemarkan pemerhatian sunspot kerana ia amat dinamik dan tidak sama dari hari ke hari.
Tunggu artikel selanjutnya, yang mana saya akan terangkan cara saya mencerap sunspot dari Balai Cerap SGO ini.
Wallahualam