4 minute read

Istiqbal 10 Januari 2026

Raja segala planet, Musytari, sudah pun menyinari langit malam kita sejak beberapa bulan lepas. Istimewanya pada 10 Januari 2026 nanti ialah, ia akan kembali ke posisi istiqbal iaitu bersetentang dengan kedudukan Matahari.

Dalam erti kata lain, ia akan terbit di langit timur sebaik sahaja azan Maghrib berkumandang dan Matahari terbenam di ufuk barat.

Planet Musytari ini sangat besar, hampir 11-12 kali ganda saiz Bumi. Ia mempunyai ciri-ciri permukaan yang sentiasa berubah-ubah, dengan garisan belang-belang awannya, serta gumpalan ribut taufan yang banyak. Antara yang terbesar ialah The Great Red Spot.

Bulan-bulannya juga banyak. Setakat hari ini ada 95 buah bulan yang berjaya ditemui. Paling popular ialah 4 buah bulan gergasinya, Ganymede, Callisto, Io, Europa. 4 bulan ini yang paling senang untuk dilihat menerusi teleskop, walaupun teleskop yang kita gunakan itu kecil.

Disebabkan Musytari secara fizikalnya ialah planet bergas, ia berputar laju di atas paksinya. Satu hari (satu pusingan siang dan malam) di planet ini hanya mengambil masa lebih kurang 9.5 - 10 jam sahaja!

Nak bercerita mengenai sifat-sifat Musytari ini memerlukan sebuah siri artikel khas yang lain.

Untuk kali ini jom kita fokus kepada fenomena istiqbalnya.

Momen istiqbal ini sentiasa menarik perhatian pencinta langit malam, kerana inilah peluang untuk kita melihat sesuatu objek itu sepanjang malam. Kalau kita di Malaysia, hampir 12 jam. Kalau di negara yang berada dalam musim sejuk, langit beruntung dapat tengok lebih lama.

Semua objek yang berada di dalam orbit lebih jauh (atau ke belakang) dari Bumi, akan melalui kedudukan istiqbal ini, selalunya setahun sekali.

Ketika istiqbal (atau juga dikenali sebagai Oposisi), kedudukan Bumi berada di antara Matahari dan objek tersebut.

Namun ia tidaklah betul-betul tepat setahun, kerana selain Bumi bergerak di dalam orbit, planet atau objek itupun sedang bergerak. Jadi, kita (Bumi) terpaksa mengejar sikit planet itu, untuk ia kembali betul-betul tepat segaris dengan Matahari dan Bumi.

Di dalam kes Musytari, istiqbal atau oposisi berlaku setiap 399 hari, atau lebih kurang 13 bulan sekali.

Kalau kita terlepas saat istiqbal ni, camne ye?

Satu perkara penting suka saya kongsikan di sini, fenomena istiqbal ini walaupun popular tetapi ia bukannya sesuatu luar biasa. Ia berlaku tiap-tiap tahun.

Dan kalau kita terlepas satu dua hari dari tarikh istiqbal itupun, ia tidak membawa apa-apa kesan, sebab apa yang kita nampak di langit tu nanti sama je!

Cuma momen itu sahajalah yang nak diabadikan.

Oleh itu, kalau kita terdengar video-video AI atau influencer yang kata benda pelik lah, berlaku 1000 tahun sekali la.. abaikan sahaja. Tak perlu nak mensensasikan sesuatu tak tentu arah.

Alat apa yang perlu di gunakan?

Musytari ini amat terang di langit. Malah ia adalah objek ke-4 paling cerah, selepas Matahari, Bulan dan Zuhrah.

Jadi, dengan guna mata pun dah cukup untuk kita lihat planet ini.

Menerusi teleskop lagi menarik. Seperti yang disebut pada awal tadi, kita boleh lihat

  • 4 buah bulan planet Musytari yang kelihatan bergerak di dalam satu garisan lurus di kiri dan kanannya.
  • Belang-belang awan di atas permukaan planet Musytari
  • The Great Red Spot, satu tompokan kemerahan yang besar dan bergerak laju.

Tumpuan utama, The Great Red Spot.

Tompokan ribut taufan ini (GRS) sentiasa menjadi tumpuan utama. Selain daripada mudah nak dilihat dengan teleskop, faktor putaran planet ini yang laju membolehkan kita lihat GRS ini bergerak dengan pantas, dari satu sisi ke sisi berlawanan planet Musytari.

Berapa lama kita boleh lihat ia bergerak? Disebabkan Mustari berputar lebih kurang 10 jam, maknannya dalam masa 5 jam sahaja kita dah boleh lihat ia muncul dari satu sisi, bergerak merentas di hadapan Musytari dan hilang di sisi berlawanan.

Bulan-bulan Galileans.

Bulan-bulan yang 4 tadi, Io, Europa, Ganymede dan Callisto (juga dikenali sebagai bulan-bulan Galileans) pun bergerak laju juga!

Dalam masa kadang-kadang tak sampai 10 minit, kita dah boleh lihat perubahan kedudukan bulan-bulan ini.

Lebih unik, kita dapat lihat ia merentas di hadapan cakera Musytari, fenomena dikenali sebagai transit. Dan ia juga boleh hilang di dalam bayang-bayang Musytari, sama seperti gerhana bulan kita.

Di atas ialah fenomena ‘gerhana Ganymede’ yang saya berjaya rakam pada 29 Julai 2021

Kedudukan Musytari di langit

Musytari tahun ini berada di dalam buruj Gemini, berdekatan dengan 2 buah bintang terang buruj ini, iaitu Castor dan Pollux.

Malah disekitar planet ini ada banyak buruj-buruj utama yang terang seperti Orion, Taurus dan Canis Major. Bintang tercerah di langit, Sirius, pun berada di sebelah kanan (ke arah selatan) Musytari.

Jangan confuse pulak Musytari dengan Sirius. Planet ini jauh lebih terang, malah objek tercerah di langit timur selepas Isya’

Sampai bila kita boleh lihat planet Musytari?

Tahun 2026 ini agak menarik untuk peminat planet, sebab hampir kesemua planet-planet yang terang (Musytari, Zuhrah dan Zuhal) dapat dilihat selepas waktu Isya’.

Untuk Musytari, ia akan terbit lebih kurang 4-5 minit lewat awal setiap hari. Sekarang ia terbit pada waktu Maghrib dan berada di atas kepala (zenith) sekitar tengah malam.

Menjelang bulan April, ketika Maghrib ia sudah pun tegak di atas kepala.

Menjelang bulan Julai, ia berada rendah diufuk barat ketika Maghrib.

Maknanya, kita ada banyak masa nak meneroka dan mencerap planet terbesar ini.

Ada fenomena menarik sekitar awal Jun nanti, di mana Musytari dan melintas hampir dengan planet Zuhrah! Tapi yang ni kita cerita time lain.

Selamat mencerap!

*Video di bawah ialah animasi 3D flyby menggunakan data rakaman sebenar.