Hijrah ke platform baru
Berhijrah lagi

Beberapa bulan lepas, saya mengambil keputusan untuk memindahkan content web FalakOnline ke platform baru iaitu substack, di bawah nama falakonline.substack.com
Ini semua gara-gara masalah loading time yang begitu lembap di web hosting saya. Puas cari masalahnya, dan semuanya menunjuk kepada isu wordpress.
Proses pemindahan itu amat perit. Tidak ada tools yang memudahkan saya transfer content dari wordpress ke substack secara automatic. Ada 500 lebih artikel yang telah ditulis menerusi wordpress. Jadi, saya pun terpaksalah copy paste satu per satu!!!
Menerusi substack, masalah loading hampir tiada. Lega kepala tak perlu rasa sakit hati apabila buka dan nak manage website sendiri!
Namun begitu, setelah beberapa bulan menggunakan substack, saya dapati walaupun ia laju, tetapi kita akan terikat dengan cara substack menyusun platformnya. Hilang sudah keupayaan untuk menyusun artikel ikut kategori. Tag hampir tiada langsung. Belum lagi masalah nak memudahkan pembaca navigate dan mencari maklumat secara tersusun, seperti almanak dan lain-lain.
Dan saya tak habis-habis lagi nak copy paste 500 artikel tu!! :-(
Pada bulan Disember 2025 lepas, saya cuba usaha kembali melihat option yang ada di dalam web hosting asal. Tiba-tiba saya dapati web falakonline.net tak boleh d-akses kerana bandwidth dah habis!!
Aikk.. tak kan habis bandwidth sebulan tu kot? Yang masuk laman web ni pun berapa kerat je pun, itu pun ikut musim atau isu. Tak ada lah sampai habis bandwidth.
Setelah bersilat dengan customer service, rupanya didapati ada bot-bot crawler internet terutama dari negara China yang dah ‘makan’ bandwidth saya ni. Pelik bin ajaib betul.
Saya pun beli tambahan bandwidth untuk dapat masuk kembali ke web host. Tak sampai 2 hari … habis lagi bandwidth aku!!!
Rambut pun dah makin kurang, hati makin panas. Solusi yang diberi oleh web host provider tidak meyakinkan. Paling panas hati ialah dia suruh upgrade pakej kepada unlimited bandwidth. Habis tu yang aku banyar lebih RM300 setahun ni mende nya? Yang tu lagi la mahal.
Nak dipendekkan cerita, saya pun mengambil keputusan untuk pindah ke web hosting lain. Pakej lebih berbaloi. Cuma tinggal satu lagi isu… nak cari pengganti kepada wordpress.
Setelah beberapa penyelidikan dibuat, dan beberapa percubaan, akhirnya saya mengambil keputusan untuk kembali cara asal mula-mula website diperkenalkan ketika zaman internet baru nak mula… iaitu menggunakan fail HTML statik biasa! Tanpa pangkalan data (seperti yang digunakan oleh wordpress). Apabila dilihat trend di kalangan pembangun laman web sekarang pun ramai dah kembali ke konfigurasi asal ini yang mudah dan ringkas.
Fail-fail artikel ditulis menggunakan format markdown, dan kemudian saya gunakan Jekyll, sebuah penjana laman statik yang akan menukarkan fail markdown ini ke html. Learning curve untuk faham cara ini akan tinggi, nasib baik saya gunakan Perplexity AI untuk membantu proses migrasi ini. Bagus jugak ada AI kalau guna untuk belajar, bukan guna untuk buat video merapu-rapu.
Kenapa guna Perplexity dan bukan ChatGPT? haaa yang ni mungkin kita sembang lain pulak.
Kenapa menulis menggunakan markdown? Ia merupakan satu format dokumen yang future-proof. Boleh digunapakai oleh pelbagai aplikasi baru dan lama.
Dan paling penting ialah niat saya apabila saya meninggal dunia kelak, saya nak pastikan fail-fail artikel FalakOnline masih boleh diakses dan dimuat-turun oleh sesiapa pun, untuk disebarkan. Saya khuatir kalau guna aplikasi web yang menggunakan pangkalan data seperti wordpress, manalah tahu tiba-tiba pangkalan data tu korup, terus tak boleh bukak (seperti kes forum FalakOnline yang lama, yang sampai hari ini saya tak boleh nak akses content-nya)
Kenapa tak fokus sebar content ikut cara sekarang menerusi tiktok, IG ? Yang ni saya tetap berdegil. Media sosial hanya sekadar hebahan ringkas. Penerangan tetap kena bertulis. Isu malas nak baca, itu bukan di bawah keupayaan saya nak paksa orang. Janji maklumat informasi dan ditulis dan dimuat naik ke laman web. Terpulanglah kepada sesiapa yang rasa berminat, untuk melawat ke sini mencarinya.
Pakcik sebenarnya dah tak mampu nak ikut trend masa kini. Sekadar menyumbang mengikut cara yang kita mampu. Selebihnya kita serah kepada Allah SWT.
Sehingga hari ini, saya telah pun memindahkan hampir 99% artikel lama wordpress ke versi Jekyll ini. Sekali imbas rasanya semua link berjalan lancar. Mungkin formatting ada yang lari sikit, dan ada gambar yang tak muncul. Yang itu saya akan periksa satu per satu perlahan-lahan.
Kepada subscriber dari laman falakonline.substack.com , saya menyusun sepuluh jari minta maaf kerana terpaksa berpindah keluar dari substack. Saya amat berbesar hati dengan sokongan yang diberi. Buat masa ini saya akan berhenti dahulu update sebarang artikel di falakonline.substack.com , tetapi kalau perasan ada link lagi satu shahrinahmad.substack.com , yang itu saya akan kekalkan dan mungkin yang itu saya akan fokus kepada pengunjung dari luar negara. Saya ada juga follower dari luar negara (terutama dari twitter dan bluesky) tetapi saya tidak ada platform yang sesuai untuk mereka.
Ok lah, semoga laman web format baru ini lebih lancar dan memudahkan anda menggeledah mencari maklumat di dalam nya. Tak ada la fancy-fancy sangat dengan design web. Nak fokus kepada penulisan je.
Harap tak perlulah nak pindah lagi lepas ni! Nak masuk bulan puasa ni banyak benda lain kena fokus.
Apa pun, jika terjumpa link yang putus, ada error 404 ke, boleh lah beritahu saya ye.
Terima kasih atas segala sokongan yang diberikan.
Wallahua’lam.