Komet 24P/Schaumasse, pembuka selera tahun 2026
(Atas: Komet 24P/Schaumasse yang dirakam Subuh, 13 Januari 2026 dari balai cerap ShahGazer Observatory)
Melungsuri kembali laman web COBS setelah lama fokus kepada isu migrasi FO, rupa-rupanya ada sebuah komet yang agak terang sedang menyinari langit Subuh kita!
Komet 24P/Schaumasse ialah sebuah komet yang ‘biasa-biasa’ sahaja, namun kali ini gabungan kedudukan ketika ia perihelion serta sudut elongasi dengan Matahari yang besar, menjadikan kemunculan kali ini satu momen yang ditunggu-tunggu.
Sejarah
Komet 24P/Schaumasse ini (lepas ni kita panggil 24P je la.. jenuh panjang nama dia), telah ditemui pada 1 Disember 1911 oleh ahli astronomi Perancis bernama Alexandre Schaumasse. Ketika ditemui ia bersinar pada magnitud 12, sangat kelam untuk dilihat oleh teleskop kecil.
Pemerhatian selanjutnya mendapati komet ini mengelilingi Matahari setiap 8.2 tahun, dan termasuk di dalam kumpulan komet di dalam keluarga Musytari. Orbit 8.2 tahun ini berubah dari sedikit demi sedikit setiap kali ia bergerak hampir dengan Musytari.
Kemunculan komet ini banyak bergantung kepada faktor geometri kedudukan dengan Bumi dan Matahari, serta kecerahannya. Pernah dalam tahun 1968 dan 1976, tidak ada sesiapa pun berjaya mencerap komet ini. Pada tahun 1952 pula ia melintas hanya 0.29 Astronomical Unit dari Bumi, dan ketika itu berlaku letusan kecil lalu menyebabkan ia menyinar terang ke magnitud 5.
Di manakah kedudukan komet ini sekarang?
Komet ini telah pun melintasi hampir dengan Bumi pada 4 Januari 2026 lepas pada jarak 0.59 AU. Kemudian pada 8 Januari, ia berada pada perihelion (paling hampir dengan Matahari) pada jarak 1.18 AU dari Matahari.
Berdasarkan data cerapan sekarang, ramai pemerhati meletakkan kecerahannya sekitar magnitud 8-9 . Pada tahap ini ia tidak boleh dilihat dengan mata kasar dan memerlukan teleskop yang sederhana besar, serta langit yang betul-betul gelap.
(Atas: Carta lightcurve komet ini. Sumber COBS.si)
Secara kasar, komet ini berada di antar bintang Arcturus di dalam buruj Bootes dan Spica (buruj Virgo). Ia terbit sekitar jam 2 pagi (1 pagi di Sabah) dan menjelang Subuh ia berada agak tinggi sekitar 70 darjah altitud.
Ia akan terbit semakin awal setiap hari dan semakin tinggi. Malangnya, dari sudut orbit ia bergerak semakin jauh dari Bumi dan makin lama makin pudar dan kelam. Rasanya hanya di dalam bulan Januari ini sahajalah peluang yang ada untuk merakamnya dengan mudah menerusi kamera dan teleskop. Bila ia jatuh di bawah magnitud 10, ia akan menjadi kelam dan kurang menarik.
(Atas: Peta kedudukan Komet 24P/Schaumasse dari Kuala Lumpur, 1 jam sebelum Subuh)
Awal pagi tadi sekitar satu jam sebelum Subuh, saya telah lakukan cerapan dan merakam komet ini menggunakan Dwarf 3.
Berdasarkan pengamatan saya, dengan exposure 15 saat, saya masih boleh dapat lihat komet ini walaupun sangat kelam dan nampak seperti comot pada skrin.
(Atas: Satu frame 15 saat. Nampak ke idak komet tu?)
Setelah Dwarf 3 melakukan pertindihan sebanyak 80 frame, barulah jelas kedudukan komet ini, dan dapat lihat ia seperti satu garis.
(Atas: Gabungan 80 x 15s.)
(Atas: Zoom sikit.)
Kenapa seperti satu garisan? Ini adalah kerana komet adalah objek yang bergerak agak laju di sebalik bintang-bintang di dalam frame gambar. Walaupun dalam masa tak sampai setengah jam, kita dah boleh lihat ia berubah kedudukan.
‘Laju’ di sini bukan bermaksud macam meteor. Ramai yang masih keliru pergerakan komet dan meteor. Medan penglihatan (field of view) foto di atas hanya sekitar 2 darjah x 1.5 darjah, lebih kurang besar ibu jari kita.
Masuk bulan Januari dan Februari ni langit mula comel sikit. Boleh ambil peluang yang ada ini.
Selamat mencerap