2 minute read

Foto keadaan planet Zuhal pada bulan Oktober 2025 lepas yang dirakam oleh pencerap muda Muhammad Ashraf. Rujuk FB beliau untuk foto-foto menarik.

Tahun 2025 ini memberi kita peluang melihat gelang planet Zuhal di dalam keadaan paling nipis. Kita sedang melihatnya dari sudut sisi tepi. Fenomena ini berlaku setiap 13 tahun dan amat rugi jika tak ambil peluang merakamnya kali ini.

Kalau masih ingat, pada 23 Mac 2025 lepas, gelang planet Zuhal pun telah melalui ‘fasa’ yang sama, iaitu kelihatan paling nipis dari sudut pandangan kita di Bumi. Malangnya pada waktu itu, planet ini berada amat hampir dengan Matahari dan tak dapat diteropong. Hanya selepas Zuhal kembali tinggi di langit Subuh, barulah kita dapat lihat sudut pandangan unik ini, walaupun pada ketika itu ia dah kelihatan ‘terbuka’ dan senget sedikit pada 1.1 darjah. (kalau 0 darjah maknanya kita memang lihat tepat sesatah, satu line dengan gelang tu)

Gabungan sudut geometri orbit Bumi dan Zuhal menyebabkan gelang Zuhal ini seperti nak ‘terbuka’ kembali, kemudian ia ‘tutup’ dan ‘buka’ sikit.. berulang-ulang, seperti main acah-acah dengan kita. Sehinggalah pada 23 November 2025 nanti, ia akan berada pada sudut paling nipis, iaitu 0.37 darjah. Barulah selepas itu ia akan ‘mengembang’ dan ‘terbuka’ dalam keadaan sebenar.

Simulasi di bawah menunjukkan evolusi rupa bentuk gelang Zuhal yang dilihat dari Bumi, bermula 2025 hingga 2033. SkySafari

Gelang Zuhal ini kemudiannya akan mula terbuka sehinggalah pada sudut paling maksimum iaitu 27 darjah , pada tahun 2032 nanti.

Kebanyakan benda-benda yang membentuk gelang Zuhal ini ialah ketulan objek ber-ais, dari sekecil-kecil seperti habuk, hinggalah sebesar rumah. Namun ia amat nipis, tak sampai 10 meter tebalnya!

Disebabkan planet ini jauh dari Bumi, kita tak dapat melihat ketulan-ketulan ais ini secara individu. Gambar paling jelas yang kita perolehi ialah menerusi prob angkasa NASA, Cassini, yang berjaya merakam pelbagai rupa bentuk di dalam dan sekitar gelang-gelang Zuhal ini.

Saturn's outer B ring Gelang-B planet Zuhal yang dirakam oleh prob Cassini pada 18 Disember 2016. Foto kredit NASA/JPL-Caltech/Space Science Institution

Beberapa minggu yang mendatang ini bakal memberi kita peluang cuba menjejaki bulan-bulan kecil planet Zuhal. Gelang planet ini apabila ‘terbuka’, ia memantul cahaya Matahari dengan terang dan menenggelamkan cahaya-cahaya pudar dan kelam dari bulan-bulan kecil ini. Hanya apabila gelang Zuhal ini ‘hilang’ seketika seperti apa yang akan berlaku dalam masa beberapa minggu ini, barulah cahayanya tak silau sangat dan membolehkan kita ‘mencari-cari’ bulan-bulan Zuhal yang eksotik seperti Hyperion, Mimas dan Enceladus.

Foto di bawah ialah koleksi saya rakam dari tahun 2018 hingga 2024. Boleh lihat jelas perbezaan sudut pandangan gelang yang berubah dari tahun ke tahun.

Di manakah planet Zuhal sekarang? Planet ini berada tinggi di langit hampir di ufuk, jika kita mencarinya selepas waktu Isya’. Ia satu-satunya ‘bintang’ yang ‘agak terang’ di kawasan langit sebelah timur. Tidak ada banyak bintang terang disekitarnya.

Guna aplikasi seperti Stellarium, Sky Safari atau Sky Portal untuk mencari planet ini.

Selamat mencerap!