2 minute read

Banyak pula komet-komet unik tahun 2025 ni.

Komet C/2025 K1 (ATLAS) telah ditemui pada 24 Mei 2025 lepas oleh sistem survei Asteroid Terrestrial-impact Last Alert System (ATLAS) di Chile. Pada awal penemuan komet ini, ia bersinar kelam pada magnitud 19.

Namun, pemerhatian lanjut mengenai orbit komet ini menunjukkan ia adalah sebuah komet ‘baru’. Maknanya ia baru kali pertama masuk ke dalam kawasan pendalaman sistem suria kita dari kawasan asalnya iaitu Awan Oort.

Kiraan falak seterusnya menunjukkan ia akan berada di dalam posisi perihelion (paling dekat dengan Matahari) pada 8 Oktober 2025 lepas, pada jarak 0.33 AU sahaja daripada Matahari (jauh lebih dekat berbanding Utarid!)

Selepas itu, pada 24 November 2025 nanti, ketika ia dalam perjalanan ‘keluar’, ia akan melintas hampir dengan Bumi, pada jarak 0.4 AU atau 60 JUTA km dari Bumi.

TAK AKAN BERLANGGAR DENGAN BUMI!!!

Nilai parameter eccentricity komet ini, e = 1.00027, menunjukkan orbitnya akan menghumban komet ini keluar dan tak akan kembali lagi sampai kiamat.

Maknanya, ia bukanlah jenis komet yang ada orbit tetap mengelilingi Matahari.

Namun poin di atas adalah biasa sahaja. Ada lagi menarik yang sedang berlaku pada komet ini.

Berdasarkan laporan paling awal yang dibuat oleh Balai Cerap Teide (Kepulauan Canary, Sepanyol) yang dibuat pada 10-11 November lepas, nuklues komet ini nampak ada dua, seperti pecah kepada dua ketul.

Kemudian, rakan pencerap dari Virtual Telescop Project, Gianluca Masi, telah mengesahkan ini dan berjaya merakam lebih banyak ketulan dan juga dapat melihat pergerakan ketulan-ketulan nuklues ini.

Comet C/2025 K1 ATLAS: 12 vs 13 Nov. 2025 images, showing the evolution in 24 hours.Rakaman selang 2 hari, pada 12 dan 13 Nov 2025 menunjukkan pergerakan yang berbeza di antara 2 ketulan nukleus komet ini. Credit: G.Masi - Virtual Telescope Project

Komet ini ada nama gelaran, ‘Komet Keemasan’ atau Golden Comet. Ini adalah kerana warnanya kelihatan lebih keemasan atau perang-keemesan ketika ia menuju ke perihelion tempoh hari. Selalunya bagi komet yang biasa, warnanya lebih kehijauan. Foto yang dirakam oleh Dan Bartlett jelas menunjukkan warna emas ini dan mempopularkan gelaran ini.

Foto yang dirakam oleh Dan Bartlett pada 29 Oktober 2025 lepas jelas menunjukkan warna keemesan komet ini. Credit: Dan Bartlett

Perbincangan yang dibuat menerusi forum comet-ml dalam masa sehari dua ini menunjukkan beberapa poin menarik.

  1. Perpecahan nuklues komet C/2025 K1 (ATLAS) ini sah berlaku. Ada 3 buah komponen/ketulan besar, yang diberi nama A,B,C telah dirakam pada 16 November 2025. Rakaman lanjut dari Virtual Telescope Project menunjukkan ketulan-ketulan ini sedang semakin berjauhan antara satu sama lain.

  2. Setiap ketulan A,B dan C ini dilihat menghasilkan ekor masing-masing. Sesuatu yang jarang yang dapat kita lihat.

  3. Komet ini agak kelam. Berdasarkan laporan pencerap di COBS, ramai meletakkannya kecerahannya sekitar magnitud 9.8 ke 10.7. Kecerahan ini memerlukan binokular atau teleskop, serta langit yang gelap untuk melihat secara visual. Kalau ambil gambar menerusi teleskop tiada masalah.

  1. Kedudukan komet C/2025 K1 (ATLAS) kini berada tinggi di sekitar buruj Ursa Major (atau Biduk) di langit sebelah utara sekitar waktu Subuh. Ia sudahpun terbit sekitar 4 pagi. Lama kelamaan ia akan semakin rendah ke ufuk utara menjelang lintasan dengan Bumi nanti. Peta di bawah adalah untuk langit kita di Malaysia dan Asia Tenggara.

Saya masih menunggu cuaca baik untuk mencuba merakam komet ini. Masih belum ada rezeki.

Kalau ada berita terbaru, nanti saya roger…

Selamat mencerap semua!

Sumber: