Meteor Quadrantids - 3 Jan 2013
Meteor Quadrantids ini sebenarnya merupakan juraian meteor yang agak bagus. Ia boleh mencecah sehingga 100 meter sejam. Namun waktu ia memuncak hanya dalam masa beberapa jam sahaja. Photo Credit:Mike Hankey Untuk tahun 2013 ini, ia akan berada pada waktu puncak menjelang Subuh, 3 Jan 2013. Malangnya untuk tahun ini, Bulan sedang bersinar terang di langit ketika itu. Kiraan SkySafari menunjukkan Bulan akan terbit sekitar tengah malam (memasuki tarikh 3 Jan), dan berada tegak di kepala pada jam 5 pagi. Jika anda di Sabah, sila TOLAK 1 jam. Kehadiran Bulan ini akan mengganggu penglihatan meteor-meteor yang lebih kelam. Oleh itu, jumlahnya mungkin jauh lebih sedikit. Disebabkan radiant (kawasan munculnya meteor-meteor di langit) agak rendah di ufuk utara, meteor Quadrantids ini sebenarnya lebih sesuai dilihat di negara-negara latitud tinggi. Namun, tak salah mencuba untuk melihatnya…. walaupun esoknya hari bekerja! Tak nampak pada Subuh 3 Jan tu? Boleh cuba juga pada keesokan harinya, iaitu menjelang Subuh 4 Jan 2013.