Pada awal pagi hari Jumaat 26 April 2013 nanti, Bulan akan memasuki kawasan bayang-bayang bumi, lalu berlakulah gerhana bulan separa.
Namun kali ini, ia akan bergerak di sempadan kawasan antara bayang-bayang umbra (gelap) dan penumbra (kurang gelap). Maka saya jangkakan efeknya akan kurang menarik sikit.
Secara rasminya, Bulan akan masuk ke kawasan penumbra bermula pada jam 2.03 AM. Tetapi berdasarkan pengalaman sebelum ini, memang sukar untuk dilihat perbezaan dengan mata pada ketika ini.
Apa yang perlu ditumpukan ialah ketika Bulan memasuki kawasan umbra, yang bermula pada jam 3.54 AM. Di sinilah kita akan dapati ia kelihatan ‘sompek’ sedikit.
Kesompekan Bulan ini akan berterusan sehinggalah ia keluar dari kawasan umbra, pada jam 4.07 AM.
Jika rajin, tunggulah sehingga 6.11 AM, yang masa pada saat itu, Bulan secara rasminya sudah keluar terus dari kawasan bayang-bayang penumbra.
Jom saksikan!