Dimanakah Komet ISON sekarang?
(Rajah atas untuk langit Malaysia) Laporan terkini menyatakan Komet ISON kini sudah mencecah kecerahan yang boleh dilihat dengan mata. Namun, disebabkan ia amat rendah di ufuk Timur ketika menjelang Subuh, menyebabkan agak sukar dikesan. Cuba guna Binokular, dan “scan” kawasan arah Timur. Jangan harap nak nampak seperti dalam foto-foto sebelum ini. Dengan mata akan nampak lain berbanding menerusi kamera. Semakin dekat Komet ISON menghampiri matahari, ia akan menjadi lebih terang. Malangnya ia semakin hari semakin rendah di ufuk Timur. Peluang kita di Malaysia, dengan musim hujan sekarang ni, menyukarkan lagi. Tetapi jika ada peluang dan langit cerah di waktu Subuh, rebutlah! Saya galakkan guna Binokular, lebih mudah nak bezakan Komet ISON ini dengan bintang. Selalu sesebuah komet akan kelihatan seperti benda ‘comot’ dan ‘agak besar’. Ia tak akan nampak seperti satu titik (sepertimana bintang). Beberapa foto terbaru pun dah mula menunjukkan Komet ISON sudah boleh dirakam menerusi DSLR menggunakan lens seperti 100mm ke atas. Maka, boleh la mencuba snap kawasan langit timur tu.
(Sumber foto) Ketinggian Komet ISON dari kaki langit (ufuk) begitu rendah, lebih kurang 20 darjah sahaja (2 tapak tangan). Dan ia akan semakin rendah esok, lusa dan seterusnya. Menyukarkan lagi, langit pun semakin terang selepas Subuh. Walau apa pun, selamat mencuba!