Apa kaitan New Moon, Solstis Musim Sejuk, Spring Tide dengan banjir?

Berita Umum

Merujuk kepada kejadian banjir yang begitu dahsyat berlaku di Malaysia sekarang, begitu banyak berita yang mengaitkan beberapa buah fenomena langit astronomi seperti “New Moon” dan “Soltis” .


 

Tambahan: Laporan Astro Awani dalam ruangan Kini Trending ketika Berita Awani 7:45 pada 25 Disember 2014


 

Semalam (24 Disember) saya terpanggil memberi sedikit komentar berkenaan dengan artikel dari web Kosmo Online di bawah:

1484534_10152435748001512_1348706950772132069_n

Saya ada memberi ulasan sedikit (di FB Page FalakOnline) berkenaan dengan salah faham maksud “New Moon” yang mungkin akan tercetus daripada artikel berkenaan.

(Nota: saya cuba mencari link asal berita ini, tapi dah tak wujud!)

Untuk artikel ini, saya cuba terangkan setakat mana yang termampu, kaitan orbit pusingan Bulan dengan pasang surut air yang boleh menyebabkan banjir.


 

Mengapa fenomena pasang surut air laut berlaku?

 

Ia disebabkan tarikan daya graviti Bulan DAN matahari, yang menarik-narik cecair-cecair yang ada di bumi. Ia berlaku setiap saat, sepanjang masa.

Namun, kita kena faham, kesan tarik-menarik ini berbeza-beza setiap kali pusingan bulan.

Sumber

 

Apa yang dimaksudkan dengan ‘kesan’nya?

 

Orbit Bulan mengelilingi bumi ialah dalam bentuk elips (tak sempurna bulat). Maka, ada ketika bulan berada dekat dengan bumi, ada ketika ia jauh.

Semasa bulan berkedudukan PALING DEKAT, ia dikenali sebagai PERIGEE.

Semasa bulan berada PALING JAUH,  ia dikenali sebagai APOGEE.

Kedudukan Perigee (dan Apogee) ini berlaku setiap 28 hari, iaitu jangka waktu Bulan lengkap mengelilingi Bumi

Sumber

Akibatnya ialah, ketika ia DEKAT dengan Bumi, kesan tarikan gravitinya LEBIH KUAT  berbanding ketika ia jauh.

Maka, air pasang yang berlaku lebih tinggi berbanding waktu air pasang yang lain (yakni ketika Bulan berada di kedudukan SELAIN perigee dan apogee).


 

Apa kaitan kekuatan tarikan graviti dengan air pasang surut?

 

Kesannya, apabila graviti makin kuat, maka tarikannya ke atas air makin kuat, maka air pasang yang berlaku akan menjadi LEBIH TINGGI.

Maka, jika Bulan berada di kedudukan Perigee, paras air pasang yang berlaku TINGGI SEDIKIT berbanding waktu air pasang yang lain.

Sumber

 

Antara Bulan dan Matahari, manakah kesan gravitinya paling kuat?

 

Disebabkan Bulan lebih hampir dengan Bumi, maka kesan gravitinya 2 kali ganda lebih kuat berbanding kesan graviti matahari.


 

Apakah yang berlaku jika Bulan dan Matahari sejajar (segaris)? Ada beza tak kesan tarikannya?

 

Ada 2 senario yang mana Bulan dan Matahari sejajar:

  1. Ketika Bulan Penuh (Full Moon) – yang mana Bumi berada di antara Bulan dan Matahari
  2. Ketika Bulan Baru (New Moon) – yang mana Bulan pula berada di antara Bumi dan Matahari.

Maka, jika dalam susunan begitu, GABUNGAN tarikan graviti Bulan DAN Matahari akan menyebabkan paras air laut naik TINGGI SEDIKIT DARI BIASA.

Kejadian ini dikenali dengan nama SPRING TIDE.

Sumber

 

Ok, maknanya ada 3 keadaan yang berlaku yang boleh menyebabkan air pasang naik tinggi sikit dari biasa?

 

Ya betul! Berdasarkan apa yang dibincangkan di atas, kita boleh simpulkan bahawa 3 keadaan itu ialah ketika:

  1. Bulan berada di posisi PERIGEE
  2. Bulan Penuh (Full Moon)
  3. Bulan Baru (New Moon)

 

Ada kemungkinan tak Perigee itu berlaku ketika Bulan Penuh atau Bulan Baru?

 

Yes, ia boleh berlaku.

Secara puratanya, 3 atau 4 kali setahun, ketika Bulan berada dalam fasa Bulan Baru (New Moon) atau Bulan Penuh (Full Moon), ia berada pada tarikh dan saat yang sama ketika ia dalam kedudukan Perigee.

Apabila ini berlaku, ia dikenali sebagai PERIGEAN SPRING TIDE.

Bulan Baru atau Bulan Penuh + Perigee = Perigean Spring Tide.

perigean
Sumber

 

Sejauh mana kesan perbezaan air pasang ketika Perigean Spring Tide?

 

NOAA melaporkan, perbezaan air pasangnya adalah sedikit sahaja, iaitu sekitar 2 inci sahaja, berbanding air pasang biasa.


 

Adakah sekarang kita sedang mengalami fenomena Perigean Spring Tide?

 

Berdasarkan kiraan yang boleh dibuat di sini:

Lunar_Perigee_and_Apogee_Calculator

 

Kita dapati pada 25 Disember 2014, jam 12:44 PAGI waktu Malaysia (jadual di atas ialah waktu Universal Time, maka kita kena tambah 8 jam), Bulan akan berada dalam kedudukan PERIGEE (iaitu pada jarak 364790km dari Bumi.

Ia agak hampir dengan fasa Bulan Baru (New Moon), yang berlaku pada 22 Disember 2014, 9:36 AM Waktu Malaysia.

Selang antara kedua-duanya kejadian ini ialah  2 hari 15 jam antara kedua-duanya

Lunar_Perigee_and_Apogee_Calculator

Maka, kita boleh simpulkan kejadian air pasang sekarang hampir bertepatan memenuhi syarat-syarat Perigean Spring Tide iaitu,

Bulan Baru atau Bulan Penuh + Perigee = Perigean Spring Tide.


 

Jadi, kenapa yang berlaku banjir di Malaysia begitu ekstrem sekali?

 

Berdasarkan penerangan oleh NOAA, banjir tidak selalunya berlaku ketika Perigean Spring Tide, TETAPI jika ia ada onshore winds yang kuat, ia BOLEH mengakibat banjir

Onshore winds ialah angin dari laut menuju ke darat. Dalam kes kita sekarang ni, ialah Angin Monsun Timur Laut yang sedang bertiup kuat dari arah Laut China Selatan.

Sumber

Kemudian NOAA juga menerangkan, jika berlaku HUJAN di tempat yang sama, sememangnya itu RESIPI UNTUK BANJIR BESAR!

Maka, apa yang berlaku sekarang ialah

  1. Bulan berada hampir dengan Perigee
  2. Bulan hampir dengan fasa Bulan Baru (New Moon) – sejajar dengan Matahari
  3. Perigean Spring Tide sedang berlaku
  4. Angin Monsun Timur Laut
  5. Hujan lebat di kawasan pendalaman.

…dan juga bedasarkan penerangan NOAA, saya rasakan ia memanglah penyebab utama banjir yang begitu teruk berlaku sekarang.

Oleh itu, saya berpendirian bahawa gabungan faktor-faktor alam di atas merupakan antara punca utama berlakunya banjir yang amat teruk sekarang (selain faktor manusia).

Rain_Alarm
Maklumat dari perisian Rain Alarm

 

Habis tu, apa kaitan dengan Soltis Musim Sejuk?

IMG_20141224_084825
Keratan akhbar Harian Metro hari ini, 24 Dis 2014

 

Saya pun hairan, kenapa Soltis Musim Sejuk dikaitkan dengan banjir di Malaysia.

Walhal Soltis Musim Sejuk hanya menandakan puncak kedudukan matahari di garisan sartan (23.4 darjah Utara).

Rajah kedudukan kecondongan paksi bumi ketika Soltis Musim Sejuk. Sumber

Setahu saya, dan berdasarkan carian, tiada ada rekod yang menunjukkan kaitan keduanya.

Malaysia adalah negara Khatulistiwa, panas dan lembab. Kesan paling besar ialah angin monsun timur laut dan barat daya, itu sahaja. Kita tidak mengalami sebarang kesan 4 musim seperti negara di hemisfera utara dan selatan.

Maka, kenyataan ini agak mengelirukan.


Kesimpulannya.

 

Diharapkan penerangan ini dapat memberi sedikit pencerahan dan ilmu baru bagi kita semua. Saya sendiri pun telah belajar banyak perkara hasil dari tulisan ini.

Mudah-mudahan ia memberi manfaat.

Sama-sama kita doakan agar saudara kita yang teruk ditimpa bencana, selamat dan dipermudahkan segala urusan.

Wallahu a’lam. Yang baik datang dari Allah SWT, yang buruk adalah kelemahan diri ini jua.

 

1 1 vote
Article Rating

Leave a Reply

8 Comments
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
Quest

boleh terangkan dgn lebih detail tentang soltis musim sejuk, dan kaitannya dngan malaysia..

nzard

lol, dh tulis dlm bm pun ada yg tak faham juga. Malaysia bukannya ada musim sejuk (winter)

salsabila al mardiah

saya kini berada d negara 4 musim (kini winter)sekiranya tiada perkaitan soltis musim sejuk dan malaysia,,soalan saya ialah mengapa setiap kali negara 4 musim mula beralih k winter,, musim tengkujuh akan melanda malaysia? sepanjang 3 tahun di luar negara,, taburan hujan akan meningkat sekitar okt-disember di malaysia mnjelang musim sejuk di sini.

mohon penjelasan krn saya kurang arif.terima kasih,

Farid

Pd pndapat saya, jika benar fenomena ini berlaku serentak. Maka banjir di pantai timur hanya akn berlaku selama paling lama 3-4 hari. Dan jika lebih lama dan teruk drpd itu, ia mungkin disebabkan solar maximum effect. Logik kah?

Izwan Zain

macam mana jangkaan banjir musim ni tuan?