Log Cerapan 3 Jan 2015: Komet Lovejoy berlawan dengan Bulan

Fenomena Log Cerapan

Pada menjelang tengah malam semalam, 3 Jan 2015, langit kelihatan agak OK, berbanding hari-hari sebelum ini. Hajatnya nak cuba sekali lagi merakam Komet Lovejoy, namun kehadiran Bulan yang agak hampir dengan lokasi komet tersebut menyebabkan pada awalnya saya teragak-agak untuk meneruskan cerapan ini.

Namun, hati nurani saya terus memanggil untuk ‘rajinlah sikit’, dan ‘cubalah jenguk’ komet tu. Esok lusa kita pun bukannya tahu bagaimana cuaca di KL ni nanti.

Maka, sekitar jam 11 malam, selepas menjamah nasi beriyani lauk kambing di Masjid Al Mukarramah Sri Damansara, sempena Forum Perdana Maulidur Rasul, bumbung balaicerap SGO pun kembali terbuka.

Pandangan awal terus tertumpu pada Bulan. Ia begitu terang dan menyilau. Umurnya, kalau ikut kiraan ialah 13.3 hari. Malam itu pun dah masuk 13 Rabiul Awal.

Walaupun Bulan begitu terang menyinar, masih kelihatan lapisan awan nipis di sana sini. Awan nipis ini telah menyebabkan langit menjadi lebih ‘terang’ daripada biasa, kerana ia membalik dan melantunkan cahaya bulan ke sana sini.

Bintang-bintang di buruj Orion pun, hanya Rigel dan Betelgeuse sahaja kelihatan.

Perisian Cartes du Ciel atau CdC, yang saya gunakan untuk mengawal teleskop, menunjukkan kedudukan Komet Lovejoy pada malam ini agak tinggi dan sudah melintasi bintang Rigel (menuju ke kawasan barat buruj Orion)

Comet_Lovejoy_3_Jan_2015

Setelah berkira-kira, saya ambil keputusan untuk menggunakan teleskop TS65Q bersama-sama dengan kamera Canon 1100D untuk rakaman ini.

Cubaan saya yang pertama ialah Bulan. Tujuannya, selain daripada merakam fasanya kali ini, saya sentiasa gunakan Bulan sebagai objek utama untuk melaraskan jarak fokus paling tepat bagi kamera yang digunakan ini.

More_Info_and_IMG_1033_CR2_and_SGO_3_Jan_2015

Paparan di atas merupakan dari fail RAW, yang belum diproses. Warna kehijauannya mungkin disebabkan saya menggunakan penapis Light Pollution IDAS, untuk membanteras kehadiran gangguan cahaya di langit.

moon-13.3days 3jan2015-1500UT

Di atas merupakan hasil akhir, setelah diproses menggunakan PixInsight. Sila klik untuk pautan terus ke foto asal.

Target seterusnya ialah Komet Lovejoy.

Disebabkan kehadiran cahaya yang kuat daripada Bulan, saya dapati contrast komet ini dengan langit, agak kurang menarik dan susah untuk diproses.

More_Info_and_Untitled__IMG_1041_copy_

Di atas ialah paparan dari fail RAW, waktu dedahan 30 saat, ISO 1600. Jelas kelihatan bentuk Komet Lovejoy yang jauh berbeza daripada titik-titik bintang yang lain.

Itulah apa yang sebelum ini saya maksudkan, objek komet mudah dicam kerana ia akan kelihatan seperti tompok awan yang seakan-akan mengembang. 

C2014Q2Lovejoy 3jan2015

Setelah puas diproses dengan PixInsight, dan dah nampak tak boleh buat apa-apa lagi untuk ‘menaikkan’ lagi foto ini, maka di atas ialah hasil akhir Komet Lovejoy, untuk tarikh 3 Jan 2015,  11.30 malam Waktu Malaysia.

Ia merupakan gabungan (stacking) 14 frame, setiap satu waktu dedahannya 30 saat. Total exposure = 7 minit

Sila klik untuk imej asal.

Ekornya tidak kelihatan, mungkin disebabkan waktu dedahan 30 saat saya belum cukup lama untuk merakamnya. Dan juga faktor kehadiran cahaya bulan yang mengganggu. Nampak gaya kena tunggu seminggu dua lagi, apabila bulan tiada di langit, barulah ada peluang nak cuba rakam ekornya pula!

Warna kehijauan itu, memang warna jasad komet. Foto di atas, warnanya telah dikalibrasi sebaik mungkin.

Alhamdulillah, berjaya juga merakamnya setelah beberapa bulan cuaca berawan dan tidak menentu. Mudah-mudahan selepas ini, cuaca semakin ok dan memudahkan kita menjejaki komet yang sungguh cerah ini!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments