25 tahun berlalu, Teleskop Hubble terus gigih!

Berita Misi Angkasa

Samada kita sedar atau tidak, Teleskop Angkasa Hubble telah pun berada di angkasa lepas selama 25 tahun! Ia boleh dikatakan satelit yang paling banyak menyumbang kepada kepopularan bidang astronomi seluruh dunia.

telescope_essentials_introduction1_lg
Teleskop angkasa Hubble ketika dalam orbit

Foto-foto yang mengkagumkan, telah menjadi inspirasi kepada segenap lapisan masyarakat dunia yang cintakan pengetahuan dan mempunyai semangat ekplorasi yang membuak-buak.

Ketika dilancarkan pada 24 April 1990, saya masih berada di sekolah menengah, darah masih muda! Namun ketika itu, internet belum ada lagi. Satu-satunya maklumat ‘terkini’ yang boleh didapati berkenaan dengan Hubble ialah menerusi siaran TV dan juga majalah-majalah Astronomi yang dibawa pulang oleh abang saya yang ketika itu sedang menuntut di luar negara.

Picture 5
Antara beberapa buah foto paling menarik yang telah dirakam oleh Teleskop Hubble

Saya masih ingat lebih kurang 4 bulan selepas perlancaran Hubble, berita yang mengejutkan seluruh dunia mula tersebar. Imej atau foto pertama dari teleskop ini, walaupun jauh lebih terang berbanding mana-mana teleskop di bumi, tetapi ia masih tidak jitu atau sharp.

Rupa-rupanya Hubble mengalami masalah penglihatan!

Cerminnya yang berdiameter 2.4 meternya tidak direka dengan tepat. Kesannya, cahaya yang dikumpulkan oleh Hubble tidak dapat fokus pada satu titik yang tepat!

Hasil kajian yang lebih mendalam mendapati lengkungan cermin dari bahagian tengahnya menuju ke bahagian sisi, didapati terlalu cetek sebanyak 2 mikrons. Walaupun perbezaan ini jauh lebih halus daripada ketebalan rambut manusia, namun ia tetap memberi kesan yang amat serius terhadap cahaya yang masuk. Hanya 10-15 peratus cahaya sahaja yang dapat difokuskan.

041615weiler620
Ed Weiler, ketua saintis untuk program Teleskop Angkasa Hubble ketika mengumukan berita yang mengejutkan pelbagai pihak pada 27 Jun 1990

Saya tak boleh bayangkan betapa malunya jurutera dan saintis yang telah bertahun-tahun merekacipta Hubble sehingga kos yang mencecah $1.5 bilion, terpaksa mengaku bahawa mereka telah membuat kesilapan yang besar.

Panjang sebenarnya cerita ini. Anda boleh baca sendiri menerusi artikel yang bertajuk “How NASA fized Hubble’s flawed vision – and reputation”

_712418_before_after300
Foto kiri menunjukkan sebelum (yang kurang jelas) dan selepas (kanan) Teleskop Hubble dibaikpulih

Apa yang pasti, 25 tahun kemudian, Teleskop Hubble ini terus menerus telah memberi imej-imej yang menakjubkan dari seluruh pelusuk alam semesta.

Imej yang terhasil, telah melalui beberapa siri proses foto yang teliti. Selain itu, warna kebanyakan foto yang dipaparkan, bukanlah warna sebenar (true color) tetapi lebih kepada alat untuk melihat objek yang dirakam dengan lebih terperinci, terutama dari sudut pandangan yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Boleh rujuk artikel “The Meaning of Color in Hubble Images” untuk lebih jelas berkenaan dengan isu warna foto Teleskop Hubble ini.

Foto terbaru di bawah telah dipaparkan untuk tontonan umum pada 24 April lepas , bersempena dengan  ulangtahun 25 tahun Teleskop Hubble ini. Ia merupakan sebuah gugusan bintang-bintang muda bernama Westerlund 2.

1512a-Westerlund2-970x546

Westerlund 2 ialah sebuah gugusan bintang yang terdiri daripada 3000 buah bintang muda yang terletak di tengah-tengah kawasan nebula, yang juga merupakan lokasi bintang-bintang baru sedang terbentuk, yang dikenali sebagai Gum 29.

Imej asal bersaiz 63.5 MB!

Objek ini terletak di dalam buruj Carina, pada jarak 20,000 tahun cahaya.

Selalunya, kawasan-kawasan di mana bintang-bintang baru sedang membentuk, ia amat berhabuk, berdebu dan tidak dapat dilihat dengan cahaya biasa. Namun, salah sebuah kamera di teleskop Hubble, yang dikenali sebagai Wide Field Camera 3, berjaya melihat menerusi habuk dan debu tersebut di dalam cahaya near-infrared.

Umur gugusan bintang ini masih muda, iaitu sekitar 2 juta tahun dan dipercayai mengandungi bintang-bintang yang paling panas, terang dan besar di dalam galaksi Bima Sakti.

Jika kita lihat foto ini dengan lebih teliti, didapati kepulan-kepulan ‘awan’ yang berada di sekeliling gugusan bintang ini, kelihatan seperti berbentuk ‘bukit’ yang mana bahagian ‘puncak bukit’ ini seolah-olah menunjuk ke arah pusat gugusan bintang tersebut.

Screen Shot 2015-04-26 at 10.08.12 PM
Contoh kawasan yang kelihatan seperti ‘bukit’ yang mana ‘puncaknya’ menunjukkan ke arah pusat gugusan bintang Westerlund 2

Kajian ahli astronomi menyatakan, bintang-bintang muda di bahagian tengah gugusan ini mengeluarkan tenaga yang amat kuat seolah-olah ‘angin’ yang bertiup ke semua arah. Istilah englishnya ialah stellar wind. Selain itu, ia juga memancarkan tenaga cahaya ultra-ungu yang amat kuat.

Kesannya, kepulan-kepulan awan di sekitarnya ‘tertiup’ menjauhi pusat gugusan ini. Namun, ada juga beberapa kawasan awan yang amat padat, dan mampu ‘menahan diri’ daripada ‘ditiup’. Itulah bentuk-bentuk ‘bukit’ yang kita dapat lihat menerusi foto ini.

Selain itu, kita boleh lihat titik-titik bewarna merah yang bertaburan sana-sini. Ini sebenarnya ialah bintang yang baru sahaja terbentuk, namun ia masih terlindung di dalam kepompong berupa asap dan awan. Ia masih terlalu muda, berumur sekitar 1 hingga 2 juta tahun, dan masih belum ada lagi proses pertukaran hidrogen ke helium (yang akan menyebabkan ia mula bercahaya). Namun, kamera near-infrared yang dipasang pada Hubble ini dapat menembusi kepompong habuk dan debu ini, dan seterusnya menunjukkan kewujudan bintang-bintang ‘bayi’ ini.

westerlund
Bengt Westerlund (1921-2008)

Gugusan Westerlund 2 ini diberi nama tersebut bersempena dengan ahli astronomi Sweden, Bengt Westerlund, yang menemuinya pada tahun 1960an.

Saya akhiri artikel ringkas berkenaan Hubble ini dengan video simulasi yang menunjukkan seolah-olah kita sedang terbang masuk ke bahagian tengah gugusan Westerlund 2 ini. Cukup menarik!

 

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
rosnita

Fakta yang cukup menarik en shah… saya yang tiada pengetahuan dan pengalaman dalam bidang ini pun cukup tertarik dengan isu yang diperkatakan. terima kasih.