Destinasi baru New Horizons – 2014 MU69

Berita Misi Angkasa
NH_KBO_480_274
Lakaran artis menunjukkan New Horizons sedang melintasi 2014 MU69 nanti. Kredit: NASA/JHUAPL/SwRI/Alex Parker

Setelah berjaya sampai ke Pluto, kapal angkasa New Horizons kini mempunyai destinasi terbaru. Sebuah objek kecil bernama 2014 MU69.

Tidak banyak yang diketahui mengenai objek ini melainkan ia terletak 6.49 bilion km daripada matahari, atau 43.3 kali ganda lebih jauh daripada bumi! Ia bersinar pada kecerahan yang amat-amat kelam, iaitu pada skala magnitud 25.6. Terlampau kelam hingga perlukan Teleskop Angkasa Hubble untuk menjejakinya.

Faktor utama pemillihan 2014 MU69 ini bukanlah saiz atau mana-mana sifat fizikal yang menarik. Ia lebih menjurus kepada faktor kedudukannya di angkasa lepas. Pada ketika ini, New Horizons sedang meluncur laju keluar daripada kawasan planet-planet berhampiran matahari, dan mula memasuki zon yang digelar Gelang Kuiper.

Walaupun ada beberapa calon yang lebih sesuai, lebih besar dan menarik untuk New Horizons ini singgah, namun kesemua tidak berada di dalam laluannya.

Kena ingat, New Horizons ini meluncur lebih laju daripada peluru, dan jika kita hendak mengubah laluannya, banyak tenaga yang diperlukan, dan para jurutera kapal angkasa ini tahu, New Horizons hanya mempunyai tenaga yang sedikit sahaja ketika ini.

Oleh itu, setelah kesemua faktor diambil kira, 2014 MU69 merupakan calon yang paling sesuai.

Ia dijangka akan sampai pada 1 Januari 2019, lebih kurang 4 tahun sahaja daripada sekarang. Apabila sampai di sana, New Horizons masih mampu menggunakan saki baki tenaga yang ada untuk melakukan cerapan dan kajian yang berguna.

New-Horizons-trajectory-into-the-Kuiper-Belt-545x360
Kedudukan 2014 MU14 yang kebetulan berada pada laluan New Horizons, membolehkan ia dilawati pada tahun 2019 nanti. Kredit Alex Parker

2014 MU69 ini mempunyai orbit yang hampir sempurna bulat, dan satah orbitnya senget sedikit sahaja iaitu 2 1/2 darjah. Ini bermaksud objek ini masih tidak terganggu oleh mana-mana objek lain sejak sistem suria ini terbentuk 4.5 bilion tahun dahulu! Ia bolehlah dikatakan fosil yang menyimpan rahsia danĀ  suasana persekitaran awal sistem suria ini. Saiznya kecil iaitu 48km sahaja, atau antara 0.5% hingga 1% saiz Pluto sahaja.

Kawasan Gelang Kuiper ini pun masih banyak rahsia yang tidak diketahui. Walaupun sebelum ini, 2 buah kapal angkasa, Voyager 1 dan Voyager 2 telah pun melalui kawasan ini, kedua-duanya tidak melintasi sebarang objek (termasuk juga Pluto).

Destinasi terbaru ini pun sebenarnya bergantung kepada bajet NASA. Jika agensi angkasa ini masih ada duit lebihan, ia mungkin akan meluluskan kertas cadangan ini. Kita hanya akan tahu pada tahun 2016 nanti.

Apa pun, kita ucapkan selamat jalan kepada New Horizons. Walaupun ia mempunyai destinasi baru, tugasan utamanya sekarang ialah menghantar kembali data-data ketika ia melintasi Pluto pada Julai 2015 lepas.

Tak sabar nak menunggunya!

Rujukan

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments