Saya pernah pos beberapa bulan lalu di facebook mengenai sebuah sistem teleskop unik bernama ASAS-SN, yang mempunyai rekabentuk yang lain daripada yang lain. Ia dibina bertujuan untuk memantau kemunculan bintang yang meletup, atau dikenali sebagai supernova. Kawasan langit yang luas menyukarkan penggunaan teleskop bersaiz besar menunggu dan mencari supernova, tetapi dengan rekabentuk yang menggunakan lens kamera yang titik fokusnya agak pendek, membolehkan ia mempunyai medan pandangan yang luas dan dapat melihat kawasan langit yang banyak dalam satu-satu waktu.
Walaupun tugasan sebenar ASAS-SN mencari supernova, ia juga mampu mencari objek-objek lain seperti komet atau asteroid.. dan belum sempat kita nak bercerita panjang, baru-baru ini ASAS-SN telah berjaya menemui komet pertamanya!
Diberi nama C/2017 O1 ASASSN1, ia ditemui pada 21 Julai 2017 lepas.
https://twitter.com/SuperASASSN/status/888224757488812033
Ia merupakan sebuah komet jenis long period atau mempunyai orbit yang berbentuk parabolik. Pada ketika perihelion (titik paling hampir dengan matahari) ia akan berada 1.5 A.U. daripada matahari.
https://twitter.com/RonBaalke/status/889597340239118336
Laporan kecerahan yang dibuat oleh pencerap astronomi amatur menerusi laman web COBS menunjukkan pada ketika artikel ini ditulis, ia berlegar di dalam level magnitud 10.5, di bawah keupayaan mata manusia dan binokular, tetapi mudah dirakam menggunakan kamera.
Peningkatan mendadak kecerahan komet ini mungkin disebabkan berlaku letusan atau outburst . Gambar yang dirakam (bawah) ini jelas menunjukkan perbezaan yang amat ketara dalam selang beberapa hari sahaja.
Lokasi di langit
Komet C/2017 O1 ASASSN1 ini memberi nafas baru kepada penjejak komet yang dahagakan komet yang terang dan cantik di langit. Ketika ini ia muncul pada waktu lewat malam, sekitar jam 2 pagi. ( 1 pagi di Sabah). Menjelang Subuh, ia sudah pun tinggi ‘melangit’ menghampiri titik zenith.
Menarik juga kerana posisinya yang tinggi memungkinkan kita dapat merakamnya dengan lebih jelas, terutama ketika langit Subuh yang lebih stabil dan tenang.
Ketika ini (hujung Julai), ia berada di kawasan antara buruj Eridanus dan Cetus.
Ia sedang menuju ke arah kawasan buruj Taurus menjelang hujung bulan Ogos 2017 nanti. Ketika itu, ia terbit sekitar jam 12 tengah malam (Semenanjung)
Pada pertengahan September 2017, ia akan melintasi di antara kluster Seven Sisters dan Hyades! Ini merupakan satu peluang photoshoot yang menarik!
Pada bulan Oktober, ia semakin rendah ke ufuk utara, bergerak di antara bintang Capella dan buruj Perseus.
Tarikh perihelion ialah 14 Oktober 2017. Selepas itu ia mula bergerak makin jauh daripada matahari.
Nampak gayanya, selepas Komet Johnson, kini Komet C/2017 O1 ASASSN1 pula datang menjenguk.
#jomteropong
Rujukan
ASASSN1: Bright Comet Discovered by the All Sky Automated Survey for SuperNovae
Comet C/2017 O1: The British Astronomical Association
All-Sky Automated Survey for Supernovae” (ASAS-SN) project