Uh Oh! Oh mamma mia!.. Oumuamua yang pelik! Oh mak kau!

Berita Penemuan Terkini
Ilustrasi artis terhadap objek pelik Oumuamua, asteroid antara-bintang yang pertama ditemui. (Credit: ESO/M. Kornmesser)

Masih ingatkah mengenai ‘pelancong’ antara-bintang (interstellar) yang pertama ditemui melintasi kawasan sistem suria kita? Ketika itu nama yang diberi ialah A/2017 U1, dan FalakOnline ada membuat sedikit liputan berita menerusi artikel INI. 

Rupa-rupanya ceritanya tak tamat di situ!

Namanya sekarang sudah ditukar menjadi 1I/2017 U1. Okay, mungkin pening jugak nak baca ni, ia sebenarnya nombor ‘1’ dan huruf ‘I’ di hadapan tu. ‘I’ merujuk kepada interstellar. Tandaan ‘I’ ini pertama kali diperkenalkan kerana sebelum ini objek-objek yang ditemui melayang sana-sini dalam kawasan sistem suria ini semuanya berasal daripada keluarga matahari. Contoh huruf ‘C’ merujuk kepada komet, dan ‘A’ merujuk kepada asteroid.

Tapi cerita mengenai nama ini pun belum tamat di sini. Baru-baru ini, International Astronomical Union (IAU) telah memberi nama rasmi kepada objek ini, iaitu ‘Oumuamua. Ia berasal daripada bahasa Hawaii yang membawa maksud ‘messenger from the distant past’ atau ‘utusan dari zaman dahulu’ (lebih kurang gitu kot terjemahannya).

‘Oumuamua kini sudah semakin jauh setiap hari, dan semakin kelam dan sukar untuk dicerap dengan mudah oleh teleskop-teleskop sedia ada. Apabila ia ditemui, ‘Oumuamua sudahpun dalam perjalanan ‘keluar’, maka saintis hanya mempunyai masa yang singkat untuk cuba mempelajari sebanyak mungkin mengenainya. Pasukan pengkaji daripada Hawaii’s Institue for Astronomy (IfA) telah berkerjasama dan menggunakan data-data yang dirakam oleh teleskop-teleskop seluruh dunia, termasuklah Canada-France-Hawaii Telescope (CFHT), United Kingdom Infra Red Telescope (UKIRT), Keck Telescope di Maunakea, Gemini South telescope, dan Very Large Telescope (VLT) milik European Space Agency yang terletak di Chile.

… Dan apa mereka temui amat-amat menakjubkan!

‘Oumuamua didapati berputar di atas paksinya pada kadar yang laju, iaitu hanya 7.3 jam sahaja! Ketika ia berputar, data cerapan yang dibuat menerusi teleskop-teleskop di atas mendapati sesuatu yang agak ganjil. Kecerahannya berubah-ubah dengan drastik sekali.

Plot graf ini menunjukkan perbezaan kecerahan Oumuamua sebanyak 2.5 magnitud sepanjang 3 hari cerapan, yang dibuat pada Oktober 2017 lalu.

Karen Meech dari IfA merumuskan bahawa perubahan drastik ini menunjukkan ‘Oumuamua mempunyai bentuk yang sangat bujur. Malah, ia dipercayai mempunyai sisi panjang mencecah 400 meter tetapi lebarnya hanya satu persepuluh daripadanya, iaitu 40 meter!

Bentuk yang pelik dan telah menimbulkan banyak reaksi menarik (dan kebanyakkannya sungguh kelakar) di kalangan saintis dan peminat astronomi dunia.  Video di bawah merupakan lakaran artis dan bukannya gambar sebenar. Malangnya, disebabkan objek ini sudah terlalu jauh, adalah mustahil untuk kita dapat tahu keadaan bentuk sebenarnya. Namun ia tidak menghalang daripada dunia media sosial membuat perbandingan yang pelik-pelik dan melucukan.

https://www.youtube.com/watch?v=O6PpbO7vIjU&feature=youtu.be

Selain bentuknya yang ganjil, warna permukaannya sungguh merah. Ini menunjukkan ia mempunyai ciri-ciri sama dengan objek-objek yang berada nun jauh di dalam kawasan Gelang Kuiper (di belakang orbit Pluto). Warna merah ini juga menunjukkan ia mungkin terdiri daripada bahan-bahan campuran besi dan batu.

Video di atas juga menunjukkan orbit Oumuamua yang berbentuk hiperbola, yang membawa maksud objek ini bukan berada di dalam orbit matahari dan ianya muncul dari kawasan luar sistem suria.

Saya agak tertarik dengan apa yang dikatakan oleh saintis di IfA. Berdasarkan model pergerakan objek-objek planetari yang dibuat, besar kemungkin objek seperti ‘Oumuamua ini memang ‘selalu dan kerap’ melewati kawasan orbit Bumi, malah dipercayai ada 1 hingga 10 buah objek seumpama ini setiap tahun! Cuma masalahnya ialah sebelum ini teknologi teleskop pemantauan (survey telescopes) tidak mampu menjejakinya. Hanya sejak kebelakangan ini, projek teleskop-teleskop pemantau seperti Pan-STARRS, sudah berkeupayaan untuk menjejaki objek-objek kecil ini. Dipercayai, apabila projek teleskop pemantau gergasi seperti Large Synoptic Survey Telescopes (LSST) yang akan beroperasi pada tahun 2022 nanti, akan menambahkan peluang untuk kita menemui lebih banyak objek interstellar ini.

Selain itu, peminat-peminat cerita sains fiksyen tidak melepaskan peluang mengemukakan teori sendiri. Ada yang mengatakan Oumuamua ini merupakan sebuah kapal angkasa peninjau yang dihantar oleh makhluk asing untuk mengintai penduduk Bumi. Ada yang kata ia sama dengan novel sains fiksyen yang ditulis oleh penulis tersohor Arthur C. Clarke pada tahun 1973 yang bertajuk Rendezvous with Rama.

Memang seronok untuk kita bermain dengan spekulasi dan andaian yang pelik-pelik. Sekadar untuk hiburan, saya sendiri menganggap Oumuamua seperti kapal angkasa Mon Calamari yang muncul dalam peperangan angkasa terakhir dalam cerita Star Wars: Return of the Jedi !  (yes… saya mengaku saya ni star wars freak!)

Apa pun, dalam intonasi yang lebih serius, jom kita baca kajian rasmi mengenai ‘Oumuamua ada dalam jurnal Nature, 20 Nov 2017 bertajuk “A brief visit from a red and extremerly elongated interstellar asteroid”, oleh K. Meech et al.


Rujukan

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments