Tutorial Stellarium 1 – Pengenalan sebuah aplikasi serba guna

Rujukan, Peralatan & Perisian

Stellarium merupakan sebuah aplikasi komputer yang berupaya melakukan kiraan pergerakan objek langit dan menjanakan satu simulasi yang sungguh realisitik. Ia berupaya memberi satu bentuk visual yang akan memudahkan kita menggambarkan suasana pergerakan objek di langit, seperti kedudukan matahari, bulan, planet dan bintang-bintang.

Ketika pada awal penglibatan saya di dalam memberi ceramah astronomi (sekitar tahun 2000), Stellarium merupakan satu kemestian dan amat-amat membantu saya menceritakan kisah-kisah langit kepada orang awam. 18 tahun kemudian saya dapati developer aplikasi ini masih aktif mengemaskini versi-versi terbaru.

Siri Tutorial Stellarium ini bertujuan memberi panduan ringkas cara penggunaannya. Saya cuba mengelak daripada menulis  artikel yang panjang lebar, dan hanya akan fokus memberikan maklumat yang short but concise  bak kata omputeh. Gunakan hashtag #tutorialstellarium untuk mencapai tajuk-tajuk yang berkaitan dengan siri ini.


Langkah 1: Muat turun

Syarat utama::

Anda perlukan komputer yang menggunakan salah satu  sistem operasi berikut:

  • WIndows
  • Mac
  • Linux

Sebagai permulaan, Stellarium boleh dimuat-turun di mana webnya di stellarium,org. Ada banyak versi Stellarium yang boleh digunakan. Klik pada pautan di bahagian atas laman uatam web tersebut.

Contoh di dalam artikel ini menggunakan Stellarium versi Windows. Walau bagaimanapun, tidak banyak beza di antara versi-versi OS yang ada.

Nota: Walaupun ada versi Stellarium versi apps telefon pintar, tetapi saya dapat ia tidak begitu bagus serta fungsi-fungsinya amat terhad berbanding versi PC ini. Ia juga berbayar! Saya tak syorkan anda menggunakan versi tersebut. Muat turun versi PC yang lebih bagus dan ianya percuma!

Klik pada versi pilihan dan tunggu sehingga ia habis di muat-turun. Kemudian, lakukan proses installation seperti biasa.


Langkah 2: Tetapan yang wajib dilakukan.

Setelah anda selesai install, mulakan aplikasi tersebut dengan klik pada ikon yang telah disediakan. Selalunya ikon itu ada diletak di atas desktop.

Apabila aplikasi telah dilancarkan, ia akan menunjukkan satu pemandangan yang inda dan aman, damai,  penuh menghijau dihiasi langit membiru dengan pokok-pokok rendang memenuhi kaki langit. Ini ialah pemandangan default yang akan selalu keluar.

Satu perkara yang anda akan perasan juga ialah skrin Stellarium ini akan MEMENUHKAN KESELURUHAN windows anda! Habis semua butang START dan lain-lain hilang dari pandangan. (Lihat rajah di bawah). Mode ini dipanggil sebagai Full Screen.

Bagi saya, walaupun view ini bagus, tetapi ada kalanya kita mahu access kepada fail-fail lain di dalam komputer kita tu!  Ada beberapa cara yang boleh dilakukan, tetapi suka saya syorkan di sini, kita terus tetapkan view yang ada ini kepada bentuk yang mempunyai ‘sempadan’  atau juga dikenali sebagai windowed-version , supaya ia tidak memenuhkan 100% desktop kita tu.

Caranya ialah berikut:

Gerakkan tetikus anda secara perlahan-lahan  ke sisi bawah skrin yang mempunyai tulisan berikut (rajah bawah).

Gerakkan tetikus anda ke atas tulis tersebut. Ia akan ‘mengembang’ dan menunjukkan lebih banyak maklumat.

Kemudian klik pada sebuah butang empat segi berwarna putih dan mempunyai 4 anak panah disekelilingnya (seperti rajah di bawah)

Anda akan dapati window Stellarium ini akan mengecil sedikit dan mempunyai sempadan seperti window biasa (rajah bawah).

Dalam mode  ini sekurang-kurangnya anda mempunyai pilihan untuk mengubah saiz window aplikasi ini.

Kemudian, perkara kedua yang perlu diperhatikan ialah di manakah letaknya menu-menu utama.

Gerakkan tetikus anda samada di sisi BAWAH atau di sisi KIRI skrin Stellarium. Sebaik sahaja sampai di kawasan itu, akan keluarkan menu-menu pentingnya. Anda akan dapati menu di sisi kiri akan hilang sepenuhnya apabila anda menggerakkan tetikus ke ruang lain. Manakala, menu di sisi bawah, apabila ia ‘mengecil’, ia akan meninggalkan beberapa maklumat seperti nama bandar, FOV dan waktu.

Untuk menjadikan menu-menu tadi KEKAL dan tidak hilang sesuka hati, perhatikan di sudut kiri bawah window Stellarium ini. Kelihatan 2 buah bentuk segitiga berwarna hitam.

Jika anda klik pada segi tiga tersebut, ia akan berubah menjadi bentuk segi empat hitam pula. Ketika ini, menu yang berkaitan akan KEKAL NAMPAK dan tidak hilang. Ini merupakan satu cara untuk pastikan anda sentiasa dapat melihat pilihan-pilihan menu yang sedia ada. Jika anda rasa menu-menu ini mengganggu penglihatan dan nampak serabut je.. klik semula pada segi empat hitam tadi, dan ia akan berubah kembali menjadi segi tiga hitam.


Apa yang dipelajari hari ini.

  1. Laman web untuk memuat turun aplikasi Stellarium
  2. Mengubah saiz window Stellarium daripada Full Screen menjadi berbentuk window yang ada sempadan.
  3. Set perangai menu-menu di dalam Stellarium, samada untuk kekal kelihatan atau biarkan ia sekejap timbul sekejap hilang.

Di dalam artikel akan datang, kita akan lihat satu per satu fungsi-fungsi penting di dalam menu yang sedia ada.


Wallahua’lam

 

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments