Sebuah lagi teleskop angkasa akan dilancar pada hari awal pagi esok (waktu Malaysia) dari pusat perlancaran Cape Canaveral. The Transiting Exoplanet Survey Satellite (TESS) bakal termasuk di dalam kumpulan elit teleskop-teleskop angkasa lepas yang mengkaji eksoplanet, iaitu planet-planet yang mengelilingi bintang selain daripada matahari.
Jom bincangkan di Forum FalakOnline!
Misi TESS ini akan cuba memerhatikan lebih 200,000 buah bintang tercerah di langit, dengan harapan dapat menemui lebih banyak eksoplanet bersaiz seperti Bumi, sehinggalah sebesar Musytari.
Kaedah pencarian yang dilakukan oleh TESS serupa dengan apa yang sedang dilakukan oleh misi angkasa Kepler, iaitu dengan memerhatikan perubahan kecerahan yang akan menurun, bintang-bintang yang berpotensi dikelilingi oleh eksoplanet. Perubahan kecerahan ini berlaku apabila eksoplanet itu bergerak di hadapan bintang tersebut (transit), lalu menyebabkan sebahagian daripada cahaya bintang itu akan terlindung dari pandangan kita di Bumi.
Menurut NASA, misi TESS ini bukan sahaja bertujuan untuk menambahkan bilangan eksoplanet yang ditemui sehingga hari ini (lebih 3700 buah eksoplanet kesemuanya). Sebarang penemuan misi ini akan dikaji dengan lebih mendalam menerusi instrumen-instrumen yang akan datang, seperti teleskop angkasa James Webb, yang dijadualkan akan dilancarkan pada tahun 2020.
Perlancaran TESS ini akan dilakukan oleh syarikat swasta SpaceX. Jika anda sering mengikuti perlancaran yang dibuat oleh syarikat ini, pasti akan ternanti-nanti adakah ia akan berjaya mendaratkan roket-roket yang membawa TESS dengan selamatnya. Kali ini, SpaceX akan sekali lagi cuba mendaratkannya di atas kapal dron yang diletakkan di tengah-tengah lautan Atlantik!
Laman web Space.com akan menyiarkan perlancaran ini secara live di sini. Siaran ini akan bermula pada jam 6 pagi, 17 April 2018 waktu Malaysia!
Rujuk video penerangan mengenai TESS menerusi video di bawah: