Dalam diam-diam, sebuah lagi prob angkasa sedang menghampiri destinasinya. Parker Solar Probe kini merupakan objek buatan manusia yang paling hampir pernah dihantar ke arah Matahari.
Matahari tu!
Menurut tweet di atas, pada 29 Okt 2018, 1:04 am EDT, prob ini telah memecahkan rekod lama yang dipegang oleh prob buatan Jerman-US Helios 2 pada 1976. Jarak Parker kini ialah 42.73 JUTA km daripada Matahari dan akan terus menghampiri bintang ini selepas ini.
Bagi yang baru tahu kewujudan misi angkasa ini, ia telah dilancarkan pada 12 Ogos, 2018 di dalam misi 6 tahun untuk mempelajari lebih mendalam mengenai Matahari, terutama di dalam kes bagaimana tenaga dan haba yang melampau bergerak merentasi kawasan lapisan yang dikenali sebagai Korona.
Di dalam usaha untuk menjawab soalan itu, kita tidak ada pilihan melainkan masuk terus ke dalam kawasan Korona. Inilah apa yang sedang cuba dibuat oleh Parker, di mana prob ini akan masuk di dalam lapisan tersebut, dan berada pada jarak yang paling dekat, iaitu hanya 6.9 JUTA km sahaja daripada permukaan Matahari!

Nombor tu nampak besar dan jauh, tetapi kita kena ingat Matahari amat panas. Bayangkan kita di Bumi ini yang berada amat jauh pun dapat merasai bahang yang melampau. Bagi prob ini, ia akan ‘menderita’ dengan merasai suhu mencecah 1377 darjah Celsius!
Supaya ia dapat bertahan lama dalam suasana kepanasan sebegitu, prob ini akan dilindungi oleh satu lapisan komposit karbon setebal 11.43 cm.
Parker tidak akan sentiasa berada hampir dengan Matahari. Orbitnya berbentuk elips, seperti orbit sebuah komet. Ada waktu-waktu tertentu sahaja ia akan berada pada titik paling hampir dengan Matahari. Menurut NASA, prob ini akan melakukan 24 buat lintasan hampir dengan bintang kita ini, sepanjang 6 tahun misinya.
Bagi yang meminati pengiraan orbit dan nak tahu lokasi terkini Parker, boleh layari di sini.
Seperkara yang menarik mengenai Parker ini ialah, ia baru sahaja dilancar, iaitu lebih kurang 78 hari sahaja. Namun, disebabkan ia bergerak menghampiri matahari, tarikan graviti yang kuat menyebabkan ia meluncur laju. Malah, ia sekarang merupakan prob angkasa yang paling laju pernah dilancarkan, iaitu mencecah kelajuan 246,961 km sejam!
Kalau nak bayangkan betapa lajunya Parker, ia umpama kita boleh ulang-alik memandu dari Padang Besar ke Johor Bharu, sebanyak ~5 kali dalam masa SEMINIT!
Jarang-jarang ada misi yang mempelajari mengenai Matahari dari jarak dekat. Harapnya kali ini lebih banyak misteri akan terbongkar dan dapat dikaji mengenai bintang kita ini.