Asteroid Bennu baling batu!

Berita Misi Angkasa Penemuan Terkini

Dah agak lama tak menulis berita prob angkasa yang sedang bersepah meneroka angkasa raya. Di antara yang paling kurang saya menulis ialah mengenai prob bernama OSIRIS-REx. Ia merupakan prob angkasa kepunyaan sebuah agensi angkasa bernama NASA.

Screenshot 2019-03-21 at 5.52.59 PM.jpg
Prob OSIRIS-REx.

Misinya ialah untuk mendarat di sebuah asteroid bernama Bennu, mengambil sampel tanahnya dan membawa pulang ke Bumi untuk kajian selanjutnya.

Lebih kurang sama dengan misi Hayabusa2 kepunyaan JAXA, yang kini sedang meneroka asteroid Ryugu.

Semalam, berita penemuan terbaru dari OSIRIS-REx ni sungguh best! Semasa prob ini tengah kusyuk dok memerhatikan keadaan sekeliling astroid Bennu ni, tiba-tiba ia ternampak serpihan batu-batu kecil melayang-layang keluar daripada permukaan Bennu!

3_lauretta_bennu_particle_jets_0.jpg
Serpihan batu (titik-titik halus) yang dilihat tercampak keluar dari Bennu. Foto ini ialah gabungan2 foto berlainan waktu dedahan. Ia dirakam pada 19 Januari 2019. Sumber.

Siapa pulak baling tu!?

Batu-batu ini agak besar, sekitar beberapa cm hingga beberapa dozen cm. Ia tidak berkelakuan seperti hemburan debu dan ais daripada sebuah komet. Kadang-kadang sebutir batu je terpelanting keluar, dan waktu yang lain berbelas-belas butir sekali gus tercampak keluar!

Kelajuan batu-batu ini tercampak adalah sekitar di antara beberapa cm hinggalah 3 meter sesaat. Pada kelajuan ini, dan digabungkan dengan graviti Bennu yang lemah, mana-mana serpihan batu yang memecut melebihi 1 km/jam, dipercayai akan terus hilang di angkasa lepas.

Manakala yang lebih perlahan, dipercayai akan mengorbit Bennu buat beberapa ketika, mungkin dalam masa beberapa hari hinggalah beberapa bulan, sehinggalah ia jatuh kembali ke permukaan asteroid ini!

Screenshot 2019-03-21 at 5.49.42 PM.jpg
Trajektori batu-bata yang terpelanting keluar daripada permukaan Bennu. Rakaman daripada kamera NAVCAM 1. Anak panah hijau menunjukkan arah batu-bata, manakala tandaan kuning ialah bintang-bintang. Sumber

Disebabkan inilah kali pertama saintis melihat fenomena ‘lambungan batu’ seumpama ini, tiada jawapan yang pasti mengenai mengapa ia boleh berlaku demikian.

Ada saintis yang mengatakan stres haba yang diterima oleh asteroid ini daripada Matahari ketika ia berputar di atas paksi, menyebabkan batu-batu di permukaannya lama kelamaan hancur berderai. Ini ditambahkan lagi tarikan graviti Bennu yang lemah.

Alang-alang bercakap mengenai permukaan Bennu ini, lagi kajian terbaru menunjukkan permukaan asteroid ini jauh lebih kasar daripada yang dijangkakan. Pada asalnya, pemerhatian daripada Bumi menunjukkan permukaannya mungkin licin, tetapi foto terbaru jarak dekat oleh OSIRIS-REx menunjukkan sebaliknya!

Screenshot 2019-03-21 at 5.24.58 PM.jpg
Permukaan Bennu yang penuh dengan batu-batu besar berterabur sana-sini. Sumber.

Permukaan Bennu, bukan sahaja berterabur dengan batu-batu kecil tetapi terdapat 200 buah batu yang lebih besar dari 10 meter. Paling besar bersaiz 58 meter!. Jumlah ini dikira banyak dan tidak dijangka oleh pengkaji sebelum ini!

Ketika ini saintis masih tidak tahu mengapa permukaan Bennu sungguh kasar. Lebih serius ialah ia mungkin menjejaskan misi OSIRIS-REx untuk mendarat nanti!

Pengendali prob ini memerlukan kawasan ‘lapang’ bersaiz 25 meter untuk membolehkan prob ini mendarat dengan selamat. Jika banyak sangat batu-batu besar di sana-sini, risiko OSIRIS-REx tersangkut atau mendarat senget dan terjatuh pada sisinya, adalah amat tinggi.

Selain itu, ada di antara komposisi permukaan asteroid ini terdiri daripada bahan yang bernama phyllosicates atau dalam bahasa mudahnya, tanah liat! Selain itu ada juga yang terdiri daripada oksida besi, atau dalam bahasa mudah, karat!

Tanah liat dan karat terbentuk kerana wujudnya air. Walaupun permukaan Bennu sekarang ini tidak banyak kesan air (dalam bentuk ais) yang boleh menghasilkan tanah liat dan karat dalam komposisi yang banyak, tetapi mungkin pada awal terbentuknya sistem suria ini, Bennu mungkin adalah sebahagian daripada jasad sebuah asteroid yang lebih besar yang kaya dengan ais. Ia mungkin terpisah akibat hentaman yang kuat.

Satu lagi yang menarik ialah ketumpatan Bennu telah dapat dikira dengan tepat hasil daripada kesan tarikan gravitinya terhadap OSIRIS-REx. Hasilnya amat menakjubkan!

Bennu hanya mempunyai ketumpatan 1.19 gram cm padu! Ia sikit je lebih tumpat berbanding air (1 gram cm padu). Dan jika dibandingkan dengan batu (2-3 gram cm padu), asteroid ini sebenarnya amat ‘kosong’ di dalamnya, atau dalam perkataan lain, ia ada banyak liang-liang kosong seperti sebuah span!

span.jpg
Bahagian dalam Bennu umpama sebuah span…berliang dan berlubang!

Bahagian dalamnya mungkin hanya terdiri daripada kumpulan batu-batu besar yang ditempek-tempekkan antara satu sama lain!

guano tu!?

Walaupun bentuk ini unik, malangnya ia tidak akan bertahan lama. Asteroid ini akan mengalami satu efek yang dipanggil YORP effect, di mana cahaya matahari yang jatuh di atas permukaannya akan menghasilkan haba dalam bentuk infra merah.

Haba ini lama kelamaan akan memberi tujahan tambahan dan menambahkan kelajuan pusingan paksinya. Disebabkan ia hanya ‘dipegang’ oleh graviti yang lemah, pusingan yang laju ini akan menyebabkan Bennu akan hancur berderai tak lama lagi… lebih kurang jutaan tahun lagi.!

Ok stop sini dulu. Kita tunggu lagi pengumuman hasil kajian terbaru dari pasukan pengkaji misi OSIRIS-REx.

 

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments