Langit Minggu Ini 8-14 April 2019

Fenomena

Bulan sabit muda semakin membesar menandakan semakin hampir kita dengan Ramadhan! Bulan hijab kluster Hyades dan bintang Wasat. Zuhrah dan Utarid berdansa di pagi hari.


8 April (Isnin)

Screenshot 2019-04-07 at 3.29.07 PM
Bulan sabit muda yang kelihatan rendah di ufuk barat sebaik sahaja selepas Maghrib.

Subuh ini, perhatikan planet Zuhrah. Di sebelah bawahnya, akan kelihatan planet Utarid. Kedua-duanya dipisahkan sekitar 6 darjah.

Pada waktu Maghrib, Bulan sabit muda semakin menebal, menandakan semakin hampirnya kita ke bulan Ramadhan, tak sampai sebulan lagi pun!

Saat-saat ini kita dapat lihat sekali lagi fenomena Earthshine, disebabkan bahagian bulan yang bercahaya masih lagi nipis dan tidak begitu menyilau.

Jika anda lihat kedudukan buruj Orion sekarang ini pun, ia sudah semakin rendah setiap hari. Tidak lama lagi ia akan hilang daripada pandangan.

Bye bye..


9 April (Selasa)

Pada Maghrib hari ini, Bulan akan melintasi sekitar 3 darjah dari bintang merah bernama Aldebaran. Sementara itu planet Marikh akan berada 4 darjah ke sebelah kanan Bulan.

Screenshot 2019-04-07 at 9.36.00 PM.jpg
Bulan melintasi hadapan gugusan Hyades. Jangan lupa Marikh yang berada berdekatan.

Cuba lihat kecerahan planet Marikh sekarang agak malap dan tidak sehebat seperti tahun lepas.

Selain itu, malam ini juga Bulan akan melintasi betul-betul di hadapan gugusan bintang Hyades. Beberapa siri penghijaban bintang akan berlaku, bergantung kepada lokasi cerapan kita.


10 April (Rabu)

Bulan semakin tinggi. Ia berada di bahagian timur buruj Taurus. Di sebelah kanannya, ia melintas sebutir bintang putih bernama Elnath.

Screenshot 2019-04-07 at 9.37.14 PM.jpg
Bintang Elnath berada di sebelah kanan Bulan.

Bintang Elnath menandakan hujung salah satu tanduk buruj Taurus, yang menggambarkan seekor kerbau.  Ia merupakan bintang ke-25 paling cerah di langit. Kedudukannya juga di dalam sempadan 2 buah buruj, iaitu Taurus dan Auriga.

Kebetulan pula Elnath terletak di kawasan langit yang bersetentang dengan pusat Bima Sakti (yang terletak di buruj Sagittarius). Maknanya, kalau kita tengok ke arah Elnath, kita sedang melihat kawasan langit yang tidak banyak bintang. Bukannya bermaksud tiada bintang-bintang di sini, tetapi di sekitar kawasan ini penuh dengan nebula-nebula gelap yang di dalamnya terkandung banyak bintang-bintang muda yang sedang terbentuk.


11 April (Khamis)

Screenshot 2019-04-07 at 9.38.17 PM.jpg
Zuhrah dan Utarid, pasangan planet rendah di ufuk timur, sepanjang minggu ini.

Pada waktu Subuh, Zuhrah dan Utarid semakin hampir. Jaraknya sekarang kurang dari 5 darjah sahaja. Zuhrah juga kelihatan semakin rendah setiap hari.


12 April (Jumaat)

Pada malam ini, Bulan akan menghijab sebutir lagi bintang, bernama Wasat. Ia merupakan sebuah bintang magnitud 3.5

wasat_moon.gif
Penghijaban Bulan dengan bintang Wasat. Simulasi yang dipercepatkan supaya tak boring tengok…

Dari Kuala Lumpur, bintang ini akan mula terhijab sekitar jam 8:53 malam, dan akan muncul semula pada jam 10:10 malam. Kawasan lain, waktunya sedikit berbeza berbanding Kuala Lumpur. Cuba guna aplikasi peta bintang seperti Stellarium atau Sky Safari, untuk menentukan waktu di lokasi anda.


13 April (Sabtu)

Subuh ini, Zuhrah dan Utarid hanya dipisahkan 4.5 darjah sahaja. Bulan pula memasuki Fasa Sukuan Pertama pada jam 3:06 AM.


14 April (Ahad)

Subuh ini. Zuhrah dan Utarid berada hanya 4º 25′ sahaja. Kedua-dua semakin rendah, tetapi masih boleh dilihat mudah 10-15 minit selepas Subuh.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments