Ia datang dan terus menghilang. Semalam (11/11) planet Utarid sekali lagi melintas di hadapan Matahari menerusi suatu fenomena yang dikenali sebagai transit.
Kali terakhir perkara sama berlaku ialah pada tahun 2016.
Kita di Malaysia tidak bernasib baik kerana ia berlaku pada waktu malam (dan ketika ramai sibuk shopping online..;-) ) . Hanya negara-negara hemisfera barat dan sebahagian Eropah, Asia dan Afrika dapat menyaksikannya.
Jika anda terlepas peluang semalam, kenalah tunggu hingga tahun 2032 untuk ulangan fenomena ini sekali lagi!
Fenomena transit ini hanya akan berlaku terhadap 2 buah planet sahaja, iaitu Utarid dan Zuhrah. Ini disebabkan kedua-dua planet ini berada di dalam orbit di antara Bumi dan Matahari. Maka, pada saat-saat tertentu ia akan kelihatan melintasi di hadapan Matahari.
Ini umpama ‘gerhana’ lah. Cumanya kedua-dua planet ini terlalu jauh dan kelihatan jauh lebih kecil berbanding Matahari. Ia akan kelihatan seperti satu bulatan kecil.
Fenomena transit Utarid ini amat jarang berlaku. Menurut kiraan falak, Utarid hanya akan melintasi Matahari sebanyak 14 kali sahaja di dalam abad ke-21 ini.
Kejadian semalam ialah yang keempat.
Bayangan jasad planet Utarid mula kelihatan jam 8:35 malam waktu Malaysia semalam dan ia mengambil masa hampir 5.5 jam untuk merentasi cakera Matahari dari sisi ke sisi.
Disebabkan planet ini kecil, ia kelihatan seperti satu titik bulat yang amat kecil sahaja. Ramai pencerap agak bernasib baik semalam kerana ketika ini Matahari tidak ada tompok-tompok Matahari (sunspot) yang akan mengelirukan pencerap yang kurang berpengalaman.
Maknanya kalau kita lihat foto-foto yang dirakam, satu-satunya titik hitam di ‘atas’ permukaan Matahari.. itulah Utarid.
Namun bagi pencerap yang tahu sifat keadaan sesebuah objek langit, mereka akan mudah nak menentukan samada titik kecil itu planet atau benda lain.
Berikut merupakan antara foto-foto yang dimuat naik di laman web spaceweather.com
Ada banyak lagi foto-foto menarik yang boleh dilihat di galeri Spaceweather.com ini.
Jika anda sudah mula merancang untuk melihat fenomena ini pada tahun 2032 nanti saya ada berita baik. Ketika itu, fenomena ini boleh dilihat di Malaysia pada waktu petang!
Tapi ialah…lambat lagi kan!. Mudah-mudahan dipanjang umur untuk melihatnya nanti!