Tak pernah tengok Uranus? Jom kita ambil peluang menjejaki planet ke-7 ini …. dengan bantuan Zuhrah!
Planet Uranus merupakan planet ke-7 dan berada nun jauh di belakang orbit planet Zuhal. Disebabkan kedudukanya jauh, ia tidaklah secerah planet-planet lain. Di dalam skala magnitud, ia berada di dalam lingkungan magnitud 5.9 … betul-betul berada di sempadan kecerahan yang mampu dilihat oleh mata kasar dari kawasan langit yang gelap dan bebas dari gangguan cahaya.
Jika kita berada di Kuala Lumpur atau kawasan yang ada lampu di sana-sini.. tak payah lah nak cari dengan mata kasar.. memang tak boleh nampak.
Tapi… jika anda mempunyai sebuah binokular, planet ini memang senang untuk dijejak.
Video lama panduan ringkas mengenai sebuah binokular.
Cabarannya ialah nak kenal mana satu Uranus dan mana satu bintang…sebab kalau sekali imbas kita tengok dalam binokular tu. semua nampak sama je…
Nasib baik lah planet Zuhrah datang membantu!
Dalam masa seminggu ini, bermula hari ini 5 Mac 2020… planet Zuhrah yang terang benderang tu akan melintasi hampir dengan planet Uranus. Jika anda menggunakan binokular yang mempunyai spesifikasi 7×50 atau 10×50, anda berpeluang melihat planet ini.
Berdasarkan apa yang saya pernah lihat sebelum ini, planet Uranus akan kelihatan biru kehijauan sedikit. Warnanya akan nampak lain sikit dengan bintang-bintang lain sebab di langit amat sedikit bintang yang berwarna biru kehijauan.
Bagaimana cara nak mencari planet Uranus ini? Amat mudah… Lakukan cerapan anda selepas Maghrib, sekitar jam 8 malam pun dah ok dah. Kemudian halakan binokular anda ke arah planet Zuhrah. Kemudian perlahan-lahan alihkan kedudukan Zuhrah yang dilihat menerusi alat itu kepada kedudukan yang sama seperti rajah di bawah. Setelah itu, dalam keadaan tenang… cuba cari titik biru kehijauan planet Uranus tersebut.
Nota: Bulatan di dalam rajah di bawah menunjukkan ruang penglihatan yang dilihat menerusi sebuah binokular. Saya memang amat recommend menggunakan binokular berbanding teleskop kerana ia lebih mudah untuk digunakan.
Satu lagi perlu kita faham, menerusi binokular, planet Uranus dan Zuhrah akan kelihatan seperti titik sahaja..sama seperti bintang. Anda perlu menggunakan sebuah teleskop berkuasa tinggi, barulah dapat lihat keadaan bentuk sebenar planet-planet ini.
Selamat memburu!