Beberapa bulan lepas, langit kita dihiasi dengan sebuah komet bernama C/2020 F8 (SWAN) yang bergerak merentasi langit pagi, sekitar waktu Subuh.
Kehadiran komet SWAN ini menjadi penawar kepada kekecewaan ramai peminat astronomi terhadap sebuah lagi komet bernama C/2019 Y4 (ATLAS), yang telah hancur apabila ia melintasi hampir dengan Matahari.

Jangkaan ramai ialah Komet ATLAS ini bakal menjadi terang dan mudah dilihat dengan mata kasar. Namun, ia tidak jadi demikian.
Sementara itu, Komet SWAN yang boleh dikatakan agak terang ketika ia melintasi dari kawasan langit selatan ke utara, turut ‘mengecewakan’ sedikit kerana kecerahannya yang dijangka mencapai magnitud 4 tidak tercapai.

Itulah cabaran peminat-peminat astronomi, khususnya penggemat komet. Jasad komet ini sungguh volatile dan susah kita nak agak apa akan terjadi setiap kali ia melintasi Matahari.

Namun, rezeki yang tidak disangka-sangka telah muncul di langit senja. Sebuah lagi komet, didapati bersinar agak terang dan mudah dirakam menerusi kamera.
Komet C/2019 U6 (Lemmon)
Komet C/2019 U6 (Lemmon) kini sedang berada di langit senja di sekitar buruj Hydra, dan boleh dilihat selepas Maghrib, hinggalah 1 jam selepas Isya’.
Saya dapati perjalanan komet ini amat menarik, kerana ia semakin tinggi setiap hari. Tarikh perihelion (tarikh ketika ia berada paling hampir dengan Matahari) ialah pada 18 Jun 2020 lepas. Maknanya, komet ini sedang dalam perjalanan keluar.
Laporan terkini daripada COBS menunjukkan Komet Lemmon sedang bersinar pada magnitud 7 atau 8, sedikit kelam berbading minggu lepas, tetapi masih cukup terang untuk dirakam menerusi kamera.

Saya melakukan beberapa siri rakaman terhadap komet ini pada 14 Jun 2020 lepas, ketika sedang melakukan cerapan live di FB.

Alhamdulillah dapat juga merakam formasi ekor komet ini.
Di manakah laluan Komet Lemmon selepas ini?
Dalam masa sebulan akan datang, iaitu hingga ke hujung bulan Julai, Komet Lemmon akan bergerak dari buruj Hydra menuju ke sempadan selatan buruj Leo dan naik ke atas merentasi buruj Virgo dan Coma Berenices.

Pada tarikh-tarikh antara 19 hingga 22 Julai 2020 nanti, komet ini akan melintasi kawasan langit yang popular yang dikenali sebagai Markarian’s Chain, yang mana di situ bersepah galaksi-galaksi yang boleh dirakam bersama-sama dengan komet ini!

Mark your calendar!
Maklumat tambahan mengenai laluan pergerakan Komet Lemmon boleh juga didapati di laman web SkyLive
Komet C/2020 F3 (NEOWISE)
Sementara itu, sebuah lagi komet bernama Komet C/2020 F3 (NEOWISE) juga sedang melintasi Matahari.
Komet NEOWISE ini bergerak di dalam orbit parabolik mengelilingi Matahari. Ia baru sahaja ditemui pada 27 Mac 2020 lepas oleh teleskop angkasa NEOWISE. Kiraan menunjukkan ia akan berada paling hampir dengan Matahari pada 3 Julai 2020 ini pada jarak hanya 43 juta km sahaja daripada Matahari.
Jika ia selamat dan tidak hancur, komet ini dijangka akan bersinar terang pada tahap kecerahan yang boleh dilihat dengan mata kasar pada bulan Julai nanti.
Di langit sekarang ini, Komet NEOWISE tidak kelihatan kerana berada terlalu hampir dengan Matahari. Namun, kita bernasib baik kerana ada sebuah satelit bernama SOHO (The Solar and Heliospheric Observatory) yang sedang mengkaji Matahari ketika ini dapat merakam lintasan komet ini menerusi kamera LASCO C3.

Kita boleh ikut sendiri lintasan Komet NEOWISE secara hampir real-time menerusi pautan kamera LASCO C3 ini.
Kalau sesiapa ingat, Komet ISON pada tahun 2013 dulu juga kelihatan menerusi kamera ini. Saya ada tulis beberapa siri artikel, mengikut perkembangan komet ISON itu.
Di manakah Komet NEOWISE akan kelihatan?
Setelah saya lakukan beberapa siri simulasi laluan komet ini dari langit Malaysia, didapati ia hanya akan muncul beberapa hari sahaja pada awal Julai, dan amat rendah di ufuk timur. Ia juga hanya mudah kelihatan sekitar 50 minit SELEPAS Subuh!
Paling tinggi pun, kalau kita konsisten mencerap setiap hari pada waktu tersebut ialah hanya 6 darjah sahaja!
Mencabar tu!
Di bawah ialah kedudukan komet ini daripada simulasi aplikasi SkySafari.
Tetapi seperti saya katakan awal-awal tadi, kita janganlah letak harapan terlalu tinggi, sebab untuk menjangka apakah akan terjadi dengan komet adalah amat susah.
Kita hanya perlu terus konsisten mencerap dan mengamati perubahannya dari hari ke hari.
Selamat mencerap!
Sidenote. Saya akan lakukan striming live cerapan langit malam daripada balai cerap saya, ShahGazer Observatory, pada malam-malam ketika langit baik. Saya akan poskan sesi LiveSGO ini di wall FB saya dan juga Page FalakOnline dari semasa ke semasa.
Jika anda dapati sesi LiveSGO ini memberi manfaat, sudilah hulurkan sedikit donation bagi kelangsungan sesi ini di masa hadapan. Ada beberapa rancangan untuk menambahbaik sesi ini dari segi peralatan yang lebih sesuai. Segala sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Maybank saya, Shahrin Ahmad di 164397996699. Segala bantuan walaupun sedikit saya amat hargai dan mengucapkan ribuan terima kasih dan Jazakallah Khairan
Sesiapa yang dah cuba jejaki komet ini?