Musim juraian meteor Perseids sudah kembali. Ia merupakan salah satu daripada dua buah juraian meteor yang amat aktif dan menghasilkan bilangan meteor yang banyak.
Setiap tahun dalam bulan Julai dan Ogos, Bumi memasuki ke dalam kawasan debu dan habuk peninggalan sebuah komet bernama 109P/Swift-Tuttle. Komet ini mengelilingi Matahari setiap 133 tahun, dan kali terakhir ia masuk ke kawasan pendalaman sistem suria ialah pada tahun 1992. Namun begitu, walaupun sekarang komet ini berada jauh daripada Matahari, habuk dan debu yang ditinggalkannya masih wujud di sepanjang laluan komet itu. Habuk dan debu inilah yang dilanggar oleh Bumi dan dikenali sebagai meteor-meteor Perseids.

Prospek penampakan meteor Perseids tahun 2021 ini amat baik. Ini adalah kerana tiada cahaya Bulan yang akan mengganggu dan menerangkan langit malam.
Bulan masih berada di dalam fasa sabit yang kecil dan terbenam awal, iaitu sekitar 1 atau 2 jam selepas Isya’. Maka itu, kondisi langit yang gelap pada waktu tengah malam hingga ke Subuh membolehkan kita melihat lebih banyak meteor.
Menurut laporan International Meteor Organization (IMO), meteor Perseids ini sudah pun mulai aktif pada 17 Julai yang lalu dan akan berterusan hingga 24 Ogos.
Kemuncaknya akan berlaku di antara jam 3 pagi hingga 6 pagi, 13 Ogos 2021 waktu Malaysia.
Nota: Saya ada tersilap tulis tarikh di dalam Almanak Astronomi 2021, di mana sebelum ini saya letakkan 12 Ogos 3-6 pagi. Tarikh puncak sebenar waktu Malaysia ialah 13 Ogos 3-6 pagi. Saya dah verify kembali dengan maklumat di laman web IMO. Harap maklum.
Kadar ZHR ialah 110 meteor setiap jam.
Seperti biasa, bilangan 110 meteor sejam ini hanya akan dapat dicapai jika kita melihatnya dari kawasan yang 100% gelap tanpa gangguan cahaya, dan titik muncul (radian) berada di atas kepala.
Titik muncul atau radian meteor Perseids ini ialah di sekitar buruj Perseus, sebuah buruj yang terang di langit utara.
Buruj ini mula terbit sekitar 2 pagi di Semenanjung, dan 1 pagi di Sabah, di kawasan ufuk sebelah timur laut.

Menjelang Subuh ia akan berada tinggi di langit utara.
Oleh itu, berdasarkan kedudukan waktu terbit buruj ini, dan juga waktu kemuncak meteor ini muncul, saya boleh katakan untuk tahun 2021 ini kita di Malaysia dan Asia Tenggara berpeluang cerah menyaksikan kemunculan meteor-meteor yang banyak.
Untuk meningkatkan peluang melihat kemunculan meteor ini, pastikan anda lakukan cerapan di kawasan lapang dan tiada halangan seperti bangunan, pokok atau rumah. Jangan duduk tepi tingkap rumah dan berharap dapat lihat meteor. Kena rajin dan cari kawasan lapang.
Langit perlukan gelap dan persekitaran harus jauh dari silau cahaya yang terang.
Lakukan cerapan bermula tengah malam hingga ke Subuh. Itulah waktu mula munculnya meteor-meteor Perseids.
Anda tidak perlu melihat ke arah utara di buruj Perseus untuk melihat meteor-meteor ini. Ia akan muncul di mana-mana dan pada bila-bila masa.
Tips saya ialah:
- Pandang ke kawasan langit paling gelap di kawasan anda.
- Baring dan pandang serta fokus di satu kawasan langit sahaja.
- Cuba kira bilangan meteor yang dapat dilihat. Catatkan juga waktu ia muncul. Rekod ini amat berharga nanti.
- Minum kopi banyak-banyak.
- Jangan buka handphone ketika lakukan cerapan. Cahaya dari telefon itu amat silau dan boleh mengganggu penglihatan anda.
- Jika nak guna lampu juga, gunalah lampu torch light yang dibalut dengan plastik merah.
- Jangan nak mengada-ngada tembak laser pointer hijau ke langit. Cahaya laser hijau itu amat terang dan menyilaukan.

Agak malang kita masih di dalam musim pandemik, maka tiada cerapan awam yang dapat dilakukan.
Walau bagaimanapun, rakan kita di Dark Sky Malaysia akan lakukan cerapan meteor Perseids secara online nanti. Anda dipersilakan bersama-sama dengan team DSM di Sabah.
Tidak semestinya anda lakukan cerapan pada tengah malam hingga ke Subuh 13 Ogos itu. Anda sebenarnya boleh mencuba pada 1 atau 2 hari sebelum dan selepas tarikh itu.
Anda boleh rujuk artikel-artikel meteor di FalakOnline mengenai cara untuk merakam gambar meteor-meteor ini.
Selamat mencerap!