Lagi sekali Zuhrah melintas Musytari hujung Ramadan ini! Joms!

Blog Fenomena Himpunan Samawi

Antara fenomena yang menarik untuk dilihat dengan mata kasar ialah fenomena conjunction, iaitu dua atau lebih objek cerah di langit melintas dekat antara satu sama lain.

Paling menarik apabila ia melibatkan 2 planet cerah seperi Zuhrah (Venus) dan Musytari (Jupiter).

Hujung-hujung Ramadan nanti kita berpeluang melihatnya sekali lagi!

Pada Subuh, 1 Mei 2022 ini, Zuhrah akan melintasi planet Musytari pada jarak 14 arc minit sahaja! Dalam istilah mudah, kedua planet ini dipisahkan pada jarak SEPARUH diameter bulan purnama!

Kalau dengan mata kasar kita akan dapat lihat seperti bintang kembar!

Kali terakhir ia berlaku sedekat ini ialah pada 12 Feb 2021, tetapi masa tu pun kedua-dua planet ini terlalu rendah di ufuk dengan dekat dengan Matahari. Mungkin tak ramai nampak masa tu.

Lagi ke belakang dari tarikh tu ialah pada 24 Disember 2019, tetapi pada waktu itu kedua-dua planet ini hanya dipisah pada jarak 3 kali ganda diameter bulan, tak sedekat macam hujung minggu ini.

Foto di atas menunjukkan lintasan Zuhrah dan Mustari yang berlaku pada 23 Jan 2019.

Berbalik kepada apa yang bakal kita lihat hujung Ramadan tahun ini…

Ketika ini kalau anda sering perhatikan langit sekitar Subuh, pasti akan terlihat 2 buah objek terang yang menyinari ufuk timur. Paling terang ialah planet Zuhrah, manakala di bawahnya ialah planet Musytari.

Dan jika anda sudah mula perhatikan kedua-dua planet ini sejak beberapa hari atau minggu yang lepas, pasti akan terperasan kedua-duanya sudah mula nampak seperti semakin dekat antara satu sama lain.

Kemuncaknya ialah pada Subuh, hari Ahad ini 1 Mei 2022, bersamaan 29 Ramadan 1443 Hijrah.

Pada hari tersebut, jarak kedua-dua planet ini di langit akan berada amat dekat, iaitu lebih kurang separuh saiz bulan purnama sahaja!

Ini bermakna, menerusi teleskop berkuasa rendah, anda akan dapat memuatkan kedua-dua planet ini serentak di dalam medan pandangan yang sama!

Selain itu, anda juga akan dapat lihat deretan bulan-bulan planet Musytari dan jika mata anda tajam, boleh lihat bentuk fasa planet Zuhrah seperti bulan separuh yang dah gemuk sikit.

Bulatan hijau di dalam rajah di atas menunjukkan saiz Bulan Purnama sebagai perbandingan.

Jika anda memerhatikan kedua planet ini menerusi binokular, bermula esok 26 April hingga 6 Mei, Zuhrah dan Musytari boleh dimuatkan di dalam medan pandangan yang sama juga!

Jika anda terlepas nak tengok yang ini, ulangan yang ‘hampir’ sama dekat akan berlaku pada 2 Mac 2023 nanti pada waktu Maghrib pulak.

Subuh, 26 April 2022
Subuh, 1 Mei 2022
Subuh, 7 Mei 2022

Jom teropong!

0 0 votes
Article Rating
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments