Ok maaf terlambat nak beritau. Tapi jika anda yang telah pun subscribe ke Google Calendar AA2022, pasti tau sekarang sedang berlaku juraian meteor Orionids.
Mengikut laporan International Meteor Organisation (IMO), meteor Orionids akan memuncak pada awal pagi ke Subuh 21 Okt 2022 waktu Malaysia.
Namun jika anda terlepas tarikh itu, dan memang terlepas pun sebab artikel ini saya baru tulis pagi ini (Jumaat, 21 Okt 2022) , janganlah terlalu risau. Meteor ini adalah jenis meteor yang memuncak dalam selang beberapa hari sebelum dan selepas tarikh di atas.
Dalam erti kata lain, hujung minggu ni pun masih ada peluang nak tengok.
Orionids adalah jenis meteor yang sederhana sahaja. Secara purata kadar kenampakan bilangan meteor ini adalah di antara 15-20 meteor setiap jam. Ini pun jika dicerap dalam keadaan langit yang betul-betul sempurna gelap.
Radian meteor ini ialah di dalam kawasan buruj Orion. Buruj ini pun akan terbit sekitar tengah malam. Maka itu, waktu terbaik untuk memulakan cerapan ialah selepas tengah malam hinggalah ke waktu Subuh, kerana pada waktu itu radian Orionids semakin tinggi di langit.

Alhamdulillah tahun ini cahaya Bulan tidak akan mengganggu sangat. Bulan hanya akan terbit menjelang Subuh, maka kita memperolehi waktu langit gelap yang agak lama.
Cara terbaik untuk mencerap meteor ini ialah berada di kawasan jauh dari sebarang gangguan cahaya dan jauh dari bandar-bandar besar yang mana di sana langitnya cerah! Selain itu anda perlu baring atau paling tidak pun menggunakan kerusi malas untuk cerapan. Halakan pandangan ke kawasan langit yang paling gelap. Kalau anda mencerap di tepi pantai, halakan pandangan ke arah laut.
Saya dah tulis banyak artikel panduan cerapan serta cara merakam meteor menerusi artikel-artikel berkaitan meteor. Sila KLIK SINI.
Jika langit anda berawan atau hujan, atau tak ada peluang untuk ke tempat gelap, sila ke FB atau YouTube DarkSkyMalaysia untuk menonton siaran live meteor secara atas talian!
Selamat mengundi mencerap semua!