Hentaman asteroid ke Bulan bakal menghasilkan ribut meteor.. tapi lambat lagi..
#
Hentaman asteroid ke Bulan bakal menghasilkan ribut meteor.. tapi lambat lagi..
The current impact corridor for 2024 YR4 (yellow) projected on a map of the Moon’s near side from Lunar Reconnaissance Orbiter (E. J. Speyerer et al. 2011).
Alam semesta terutama sekali di sekitar sistem suria kita ini sungguh dinamik dan berubah-ubah. Saban hari ada sahaja penemuan baru atau teori baru yang dikemukakan oleh para pengkaji langit.
Di antara topik hangat ketika ini ialah kehadiran asteroid-asteroid yang melintasi dekat dengan Bumi, yang mana ada yang berpotensi akan ‘berlanggar’ dengan kita.
Salah sebuah asteroid yang menjadi tumpuan hangat ketika ini ialah asteroid 2024 YR4. Menurut kiraan orbit terbaru, asteroid ini mempunyai 4% kebarangkalian akan berlanggar dengan BULAN , pada 22 Disember, 2032.
lambat lagi tu…
Namun, yang lebih menarik di sini ialah debu dan batu yang melantun keluar ke angkasa, dari permukaan Bulan kesan perlanggaran tadi bakal menghasilkan ribut meteor yang baru, yang terdiri daripada debu-debu Bulan!
Ok, ok sebelum antum influencer semua viral tak tentu arah, jom faham sikit ni…
Perlanggaran ini tidak menghancurkan Bulan. Berdasarkan saiz asteroid ini yang sekitar 60 meter, hentaman ini boleh menghasilkan tenaga sebanyak 6.5 megaton TNT, dan mewujudkan sebuah kawah baru sebesar 1 km, dan menghamburkan sebanyak 100 juta kg habuk dan debu Bulan ke angkasa lepas.
Menurut saintis planetari, Paul Wiegert, yang menghasikan kertas kajian ini, 10% daripada debu yang terlepas ke angkasa lepas ini akan jatuh ke Bumi dalam masa beberapa hari sahaja selepas hentaman itu berlaku.
Apabila ia jatuh ke Bumi, masuk ke dalam atmosfera Bumi, ia akan menghasilkan banyak meteor!
Kena faham betul-betul ye, Bumi kita ini sentiasa dihujani oleh debu dan habuk dari angkasa lepas setiap masa. Habuk dan debu ini, yang juga dikenali sebagai meteoroid, akan masuk ke dalam atmosfera Bumi pada kelajuan 20+ km/sesaat.
Di dalam kes habuk dan debu Bulan ini, ia akan masuk di dalam kelajuan yang lebih perlahan, iaitu 2-3 km sesaat je. Ini bermakna, meteor ‘Bulan’ yang akan terhasil akan kelihatan lebih perlahan, tidak terang dan akan nampak lebih lama.
Adakah asteroid 2024 YR4 ini benar-benar akan berlanggar dengan Bulan, hanya akan dapat ditentukan dengan lebih tepat pada tahun 2028 nanti, apabila asteroid ini mula keluar dari silau cahaya Matahari dan membolehkan pencerap di Bumi mengira dengan lebih tepat orbitnya nanti.
Jika ia berlaku, hentaman ini bakal menjadi yang paling besar di dalam sejarah Bulan kita sejak 5000 tahun.
Jom kita sama-sama nantikan hasil cerapan yang terbaru nanti.
Sumber:
https://spaceweather.com/archive.php?view=1&day=27&month=07&year=2025
https://en.wikipedia.org/wiki/2024_YR4
https://arxiv.org/pdf/2506.11217