Anak Bulan Ramadhan dan Syawal 1435H
[caption id=”attachment_1557” align=”alignnone” width=”550”]
Bulan berumur 22 jam dari Croatia. Anak bulan akan kelihatan seperti ini, dan selalunya lebih halus! Sumber[/caption] Ok, jom kita kira mengikut kaedah hisab kedudukan anak bulan (atau hilal) bagi bulan Ramadhan tahun ini. Oppss.. dan juga Syawal (kalau tak kira ni, mesti ramai tak puas hati! ngeeee )
RAMADHAN 1435H
Berdasarkan jadual tarikh-tarikh cerapan hilal bagi kalendar Hijrah, yang dilakukan oleh pihak Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka, kita boleh dapati bahawa
- Tarikh cerapan Hilal Ramadhan, jatuh pada 29 Sya’ban, Maghrib 27 Jun 2014 (Jumaat)
Ok, selain itu, kita kena tahu tarikh & waktu ijtimak Bulan dengan Matahari. Ijtimak bulan kalau dalam bahasa Inggerisnya ialah lunar conjunction, secara ringkasnya ialah ketika Bumi, Bulan dan Matahari berada pada satu garisan lurus, dan menandakan Bulan sedang melintasi berhampiran matahari dan mula memasuki pusingan kalendar bulan yang baru. [caption id=”” align=”alignnone” width=”550”]
Rajah kedudukan bulan dan fasa-fasa yang berkaitan. Sumber[/caption] Waktu fasa bulan ‘New Moon’ atau bulan baru itu tadi, pada tarikh 27 Jun 2014 nanti, berdasarkan maklumat dari perisian Sky Safari Pro 4 adalah seperti berikut: New Moon = 27 Jun 2014, 4:08 PM (Petang) Maklumat yang sama, turut dikira menerusi utili di CalSky.com Oleh itu, jika kita ukur umur Bulan ketika waktu Maghrib, kita akan dapati seperti berikut:
- Kuala Lumpur - Umur Bulan ketika Maghrib, 27 Jun 2014 = 3 jam 19 minit
- Kota Kinabalu - Umur Bulan ketika Maghrib, 27 Jun 2014 = 2 jam 25 minit
Kiraan diatas menggunakan waktu maghrib yang disediakan diSINI, dan kiraan perbezaan waktu menggunakan utiliti INI. Merujuk kepada penerangan syarat IMKANUR RUKYAH yang disediakan oleh JAKIM , umur minimum Bulan untuk layak digelar Hilal, ialah 8 jam. Oleh itu, pada Maghrib 27 Jun 2014, samada di barat Semenangjung Malaysia atau di timur Malaysia seperti Sabah, Bulan masih berumurKURANG dari 8 jam , maka ia TIDAK MEMENUHI SYARAT IMKANUR RUKYAH. Maka, 1 Ramadhan jatuh pada Ahad, 29 Jun 2014.
SYAWAL 1435H
Sekali lagi merujuk kepada jadual tarikh-tarikh cerapan hilal bagi kalendar Hijrah, yang dilakukan oleh pihak Balai Cerap Al-Khawarizmi, Melaka, kita dapati bahawa:
- Tarikh cerapan Hilal Syawal, jatuh pada 29 Ramadhan, Maghrib 27 Julai 2014 (Ahad)
Dan tarikh ijtimak Bulan pada ketika itu ialah: New Moon = 27 Julai 2014 = 6:41 AM (Pagi) Dan sekali lagi menggunakan utiliti kiraan dan maklumat JAKIM sebelum ini, kita akan dapati:
- Kuala Lumpur - Umur Bulan ketika Maghrib, 27 Julai 2014 = 12 jam 50 minit
- Kota Kinabalu - Umur Bulan ketika Maghrib, 27 Julai 2014 = 11 jam 54 minit
Oleh itu sekali lagi merujuk kepada penerangan syarat IMKANUR RUKYAH yang disediakan oleh JAKIM , kita akan dapati pada Maghrib 27 Julai 2014, samada di barat Semenangjung Malaysia atau di timur Malaysia seperti Sabah, Bulan sudah berumurLEBIH dari 8 jam , maka ia MEMENUHI SYARAT IMKANUR RUKYAH. Maka, 1 Syawal jatuh pada Isnin, 28 Julai 2014!
TIDAK RASMI
Sebelum saya ditembak tak tentu pasal, suka dimaklumkan kiraan di atas dibuat atas kapasiti peribadi dan bertujuan untuk memberi maklumat asas kiraan Falak, serta laman-laman rujukan kepada anda semua. Sesiapa sahaja boleh mencubanya sendiri, dengan syarat kena FAHAM dulu apa yang dibuat sebelum buat apa-apa kesimpulan. Yang RASMINYA, masih tertakluk sepenuhnya kepada perisytiharan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja kelak. Rilex bro! :-)
Selamat Menjalankan Ibadah di Bulan Ramadhan!
Ingin mendapatkan aktiviti cerapan terkini bos FO? Sila follow di akaun peribadi beliau@shahgazer atau akaun rasmi Falak Online di @falakonline .