Meteor Southern Delta Aquariid memuncak hujung bulan ini!
Radiant atau titik muncul meteor Southern Delta Aquariid sekitar 1 pagi, 30 Julai 2025. Simulasi SkySafari
Hujung bulan Julai 2025 ini, peminat meteor berpeluang menyaksikan satu juraian meteor yang akan memuncak, iaitu meteor Southern Delta Aquariid (SDA).
Meteor-meteor SDA ini akan kelihatan muncul (radiant) dari kawasan buruj Aquarius, sebuah buruj yang besar tetapi agak kelam, di kawasan langit berhampiran (ke sebelah timur) dengan buruj Sagittarius dan Capricorn.
Menurut maklumat dari International Meteor Orgnization (IMO), meteor ini mempunyai nilai ZHR=25. Ini bermaksud di dalam keadaan langit yang ideal gelap gelita serta kedudukan radiant tegak di atas kepala, sebanyak 25 buah meteor boleh dilihat.
Namun nilai ini akan berkurangan dengan drastik jika kawasan cerapan ada gangguan cahaya.
Meteor SDA ini berasal dari komet 96P/Machholz, sebuah komet yang mengorbit Matahari setiap 5.3 tahun.
Tarikh sesuai?
Meteor-meteor SDA akan mula muncul dari 12 Julai hingga 23 Ogos 2025. Kemuncak paling banyak meteor ialah pada malam 29/30 Julai 2025.
Nak senang faham, masuk tengah malam ke tarikh 30 Julai sehingga ke Subuh.
Namun, seperti meteor-meteor lain, kita masih berpeluang menyaksikannya hampir dengan waktu puncak, sehari sebelum atau selepas tarikh tersebut.
Ada gangguan cahaya Bulan tak?
Syukur Alhamdulillah, pada malam 29/30 Julai tu, Bulan masih di dalam fasa kecil dan terbenam awal sekitar 11 malam.
Oleh itu langit kita akan gelap dan membolehkan lebih banyak meteor SDA dapat dilihat.
Selamat mencerap semua!
Rujukan
https://cometography.com/pcomets/096p.html
https://www.imo.net/resources/calendar/#Southern+delta+Aquariids
https://www.skyatnightmagazine.com/advice/southern-delta-aquariid-meteor-shower