Perkataan Nova bererti ‘bintang baru’. Ia diberi nama demikian kerana ketika zaman pra-teleskop, manusia yang memerhati langit ketika itu ternampak seolah-olah sebuah bintang baru yang muncul secara tiba-tiba.
(Atas: gambaran sebuah fenoman Nova yang sedang berlaku)
Namun, apabila teknologi moden mula digunakan di dalam kajian alam semesta, ahli astronomi telah dapat tahu dengan lebih jelas apakah sebenarnya Nova ini.
Secara amnya, Nova ini berlaku kepada pasangan bintang yang mengorbit di antara satu sama lain. Prosesnya adalah seperti berikut:
1. Pasangan bintang ini terdiri daripada sebuah bintang yang masih berfungsi seperti bintang biasa, dan sebuah lagi bintang itu berada di dalam fasa Kerdil Putih (white dwarf).
2. Bintang Kerdil Putih ialah bintang yang berada di penghujung riwayatnya. Ia telahpun menghamburkan hampir kesemua gas-gas asalnya (ketika ia berada di fasa gergasi merah), dan yang tinggal hanyalah pusat atau core bintang asal yang kecil, yang digelar bintang kerdil putih.
3. Ketika kedua-dua bintang ini sedang mengorbit antara satu sama lain, graviti bintang Kerdil Putih ini mula menarik bahan-bahan gas dari bintang jirannya.
4. Gas-gas yang berkumpul di permukaan bintang kerdil putih ini kebanyakkannya gas hidrogen
5. Kadangkala, gas-gas hydrogen ini menjadi teramat panas sehingga meletusnya reaksi nuclear (nuclear reaction). Proses ini berlaku secara tiba-tiba.
6. Apabila ini berlaku, gas hydrogen di permukaan bintang Kerdil Putih tersebut akan bertukar menjadi gas helium (ini proses biasa yang berlaku di semua bintang).
7. Perubahan dari hidrogen ke helium ini akan meletuskan tenaga yang amat kuat lalu menjadikan bintang ini bersinar berkali-kali ganda dari kecerahan asal.
8. Proses cerah secara tiba-tiba ini akan berterusan sehinggalah bintang jiran itu kehabisan gas untuk ‘didermakan’ kepada bintang kerdil putih tadi. Ia mungkin berlangsung selama beberapa hari atau beberapa ribu tahun!
9. Kecerahan bintang asalnya mungkin amat kelam untuk dilihat dengan mata. Namun apabila ia meletus, kecerahannya akan meningkat mendadak sehingga boleh dilihat dengan mata kasar. Inilah yang digelar sebagai ‘bintang baru’ atau Nova.
9. Nova tidak ada kena mengena dengan Supernova. Kedua-dua ini merupakan proses kejadian yang berlainan.
(Bawah: Foto yang saya rakam semalam, menunjukkan Nova Del 2013 yang muncul baru-baru ini, terletak di tengah-tengah frame seperti sebuah bintang yang bersinar terang)