2 minute read

uranus2013 Pada 3 Oktober nanti, planet Uranus akan berada di posisi Iqtiqbal (atau Opposition). Ketika ini ia akan berada sebaris bersama-sama dengan Bumi dan Matahari. Ia akan terbit di langit sebelah timur, sebaik sahaja matahari terbenam di barat. (Rajah atas menunjukkan kedudukan Uranus, yang berada sebaris dengan matahari dan bumi) Bagi anda yang berminat dengan precision, waktu dan saat ketika Istiqbal ini berlaku ialah pada jam 10 malam 3 Oktober 2013. Uranus akan berada pada jarak 19.04 Astronomical Unit dari Matahari. Ini bermaksud ia berada 19.04 kali ganda jarak bumi-matahari. 1 Astronomical Unit (AU) = Jarak purata Bumi dan Matahari. Pada tahun ini, ia akan berada di dalam kawasan buruj Pisces, iaitu sebuah buruj yang agak besar, tetapi kurang menyerlah kerana tidak mengandungi banyak bintang-bintang yang cerah. Ia akan bersinar pada skala magnitude 5.8 Jika pada kecerahan ini, ia hanya boleh dilihat dengan mata kasar seumpama bintang yang malap sahaja. Itupun dari kawasan yang gelap, dan jauh dari sebarang pencemaran cahaya. Oleh itu, satu-satunya cara untuk mencari planet ini ialah dengan menggunakan sebuah Binocular. Jika anda mempunyai teleskop, peluang lebih besar untuk melihatnya dengan lebih jelas. Ia tidak akan kelihatan besar seperti planet Musytari atau Zuhal, kerana kedudukannya yang amat jauh dari bumi, serta saiznya yang lebih kecil berbanding kedua planet tadi. Oleh itu jangan harap untuk melihat bentuknya dengan jelas dan mudah. Selain itu, mencari planet Uranus tidaklah semudah mencari Musytari, Zuhal, Zuhrah dan Marikh serta Utarid. Anda perlukan pengetahuan yang agak mendalam membaca peta bintang, ataupun menggunakan teleskop GoTo untuk membantu mencarinya. Planet Uranus ditemui pada tahun 1781 oleh Sir William Herschel. Ia mengambil masa 84.3 tahun untuk melengkapi satu pusingan orbit di sekeliling matahari. Ia memiliki 27 buah bulan atau satelit semulajadi. Kesemuanya kecil dan memerlukan sebuah teleskop bersaiz agak besar (aperture 10 inci ke atas) untuk dapat melihatnya. Peta-peta di bawah menunjukkan lokasi planet Uranus ini. Bagi yang berminat, koordinat planet Uranus ialah di Right Ascension: 0h 40’ dan Declination: +3° 25’ Tarikh 3 Oktober ini bukanlah satu-satu waktunya anda boleh melihat Uranus. Ia tetap akan berada di langit berbulan-bulan selepas ini. Jadi, tidaklah perlu risau jika anda terlepas peluang melihatnya nanti. Selamat mencuba! (Bawah: Peta kedudukan Uranus dengan menggunakan mata kasar, pandangan ke arah timut, pada jam 10 malam 3 Oktober 2013. Bulatan biru di tengah-tengah rajah ini menunjukkan medan penglihatan sebuah Binokular. Simulasi dari perisian SkySafari Pro) screen 2013-10-02 at 10.03.16 AM (Bawah: Peta ini menunjukkan kawasan persekitaran planet Uranus yang akan dilihat menerusi sebuah Binokular._Simulasi dari perisian SkySafari Pro)_ screen 2013-10-02 at 10.06.10 AM