Sedikit rangkuman berkenaan Komet Lovejoy
Sedikit bingkisan berkenaan dengan Komet Lovejoy, memandangkan ia satu-satunya harapan peminat astronomi dunia untuk dapat melihat sebuah komet yang cerah dan cantik, setelah Komet ISON hancur lebur dan tinggal debu sahaja baru-baru ini. Komet Lovejoy ini merupakan yang ke-4 ditemui oleh peminat astronomi amatur, Terry Lovejoy dari Australia.
Atas: Terry Lovejoy Kita jangan terkeliru dengan sebuah lagi Komet Lovejoy (yang turut ditemui oleh beliau) pada tahun 2011. Komet kali ini, yang mempunyai nama rasmi C/2013 R1 (Lovejoy) ditemui pada 7 September 2013 lepas. Ia merupakan sebuah komet yang mempunyai orbit yang besar (juga dikenali sebagai long-period comet) dan mengambil masa lebih kurang 7600 tahun untuk melengkapi satu orbit mengelilingi matahari.
Kemunculan di langit
Pada 1 Nov lepas, ia mula dapat dilihat dengan mata kasar (seperti sebutir bintang yang kelam dan pudar) berhampiran dengan gugusan bintang Beehive (M44). Ia juga semakin mudah dilihat menerusi binokular dan warna kehijauannya begitu jelas kelihatan. Saya dapat merakamnya pada 6 Nov lepas, di dalam keadaan langit yang tidak begitu baik dari balai cerap saya. Menerusi foto yang dirakam, amat jelas warna hijau komet ini. [](/semesta/assets/wp-content/uploads/2013/12/PI_neb_Lovejoy_6nov2013_5dmkii.jpg) _Atas: Komet Lovejoy dari Sri Damansara pada 6 Nov 2013 Pada 19 November 2013, ia melintasi bumi pada kedudukan 59,350,000 km sahaja. “Sahaja” tu maksudnya dekat atau jauh? Cuba kita bandingkan dengan jarak (purata) Bulan dari Bumi ialah 384,400km. Maknanya Komet Lovejoy berada 154 kali ganda LEBIH JAUH dari Bulan. Kebetulan pada awal pagi 19 Nov 2013 itu, langit di kawasan saya agak baik pada waktu Subuh, membolehkah saya merakamnya sekali lagi (bersama-sama juga dengan Komet ISON)
Atas: Komet Lovejoy di celah-celah awan, di kawasan mengadap arah utara Pada 22 Disember 2013, ia akan berada pada posisi perihelion (paling hampir dengan matahari), iaitu 0.81 AU dari matahari (sebagai perbandingan 1 AU bersamaan jarak purata Bumi ke Matahari). Di bawah merupakan simulasi laluan Komet Lovejoy ketika ia melintasi kawasan Bumi dan Matahari. Saya menggunakan perisian SkySafari Pro. [youtube]http://www.youtube.com/watch?v=1sQB0MYxRBw[/youtube]
Kedudukan Komet Lovejoy di langit
Komet ini kini (ketika artikel ini ditulis) berada amat rendah di ufuk timur. Ia hanya terbit pada jam 6 pagi (di Kuala Lumpur), dan jika hendak menunggu ia berkedudukan lebih tinggi, langit pun semakin cerah kerana matahari semakin hampir untuk terbit.
Atas: Peta menunjukkan kedudukan Komet Lovejoy yang rendah, sekitar 17 darjah sahaja dari atas ufuk, lebih kurang 20 minit sebelum matahari terbit dari langit Malaysia. Menjelang hujung Disember, ia akan bergerak semakin jauh dan semakin tinggi di langit timur. Namun, kecerahannya semakin berkurangan kerana ia sudah mula beredar menjauhi matahari dan bumi. Maka, peluang untuk merakamnya semakin sukar setiap hari. Anda boleh mendapatkan maklumat terkini kecerahan Komet Lovejoy (dan juga komet-komet lain) menerusi laman web kendalian Seiichi Yoshida ini. Bagi yang berada di hemisfera utara, peluang untuk mereka melihat komet ini lebih mudah kerana ia berada agak tinggi di langit. Foto di bawah menunjukkan contoh rupa bentuk Komet Lovejoy yang cukup indah sekali. Boleh juga klik link INI untuk mendapatkan foto-foto terbaru Komet Lovejoy dari penggemar komet seluruh dunia.
Baru-baru ini, pada 4-5 Disember lepas, ekor Komet Lovejoy kelihatan terputus seketika. Ia digelar disconnection event oleh para pemerhati komet. Antara teori fenomena ini ialah komet ini mungkin dihentam oleh satu angin suria yang kuat, atau mungkin ia telah melepaskan lebihan gas buat beberapa seketika. :-D Foto di bawah menunjukkan kesan fenomena ini menyebabkan bentuk ekornya menjadi tidak konsisten
Apa yang saya dapati, Komet Lovejoy ini telah dianak-tirikan kerana semua asyik menantikan kehebatan Komet ISON. Ia sebenarnya antara komet yang sungguh indah yang telah muncul di langit sejak kebelakangan ini. Alangkah ruginya jika kita tidak mengambil peluang menikmatinya dengan penuh rasa insaf dan kagum terhadap ciptaan Ilahi yang serba sempurna ini.