Kaboom! Supernova terbaru di Galaksi Cerut, M82

Berita Fenomena Penemuan Terkini

 

Foto sebelum dan selepas kemunculan supernova di galaksi M82. Credit: E.Guido, N.Howes, M.Nicolini

Dunia astronomi lewat malam semalam dihujani dengan berita penemuan sebuah supernova terbaru di langit utara. Letusan supernova ini terletak di dalam galaksi M82, sebuah galaksi berbentuk cerut (cigar) yang terletak di dalam buruj Ursa Major (atau Biduk dalam budaya Malaysia).

Saya telah mengikuti perkembangan berita terkini menerusi twitter, mendapati begitu ramai ahli astronomi teruja dengan penemuan ini kerana “ia merupakan supernova yang paling hampir dengan bumi sejak tahun 1987”. Jarak yang dekat ini membolehkan ahli astronomi membuat kajian lebih terperinci terhadap fenomena supernova ini.

Jarak ‘dekat’ ini pun sebenarnya sejauh 12 juta Tahun Cahaya!

Kalau difikirkan kembali, bintang yang meletup semalam ni, sebenarnya dah lama dah meletup, iaitu 12 juta tahun dahulu. Cahayanya baru saja sampai ke Bumi semalam!

Paling menarik ialah, laporan-laporan terkini menunjukkan ramai ahli astronomi amatur telah pun merakam kemunculan supernova ini seawal 15 Januari yang lalu, cuma masing-masing tak perasan titik putih yang baru wujud tu sebenarnya sebuah supernova!

Nak dijadikan cerita lagi, pada hari Isnin lepas (20 Jan) , ketika Virtual Star Party sedang berlangsung (yang mana saya turut ada bersama-sama), galaksi M82 ini adalah antara target cerapan pada sesi tersebut, dan tidak seorang pun yang perasan supernova itu telah ada depan mata! Lihat video dibawah.

Supernova ini berada pada kecerahan magnitud 11 dan 12, jauh di bawah kemampuan mata, dan memerlukan teleskop sekurang-kurangnya 4 inci untuk melihatnya.

Rujuk sini untuk artikel berkenaan skala magnitud

Teruja dengan berita ini, saya berazam untuk merakamnya awal tengah malam semalam. Alhamdulillah cuaca di sekitar lokasi balai cerap saya baik dan tiada awan, namun agak berjerebu teruk. Malah, saya tidak boleh nampak langsung bintang-bintang di buruj Biduk (lokasi di mana galaksi M82 ini berada).

Namun, dengan bantuan perisian dan kamera rakaman CCD, dapat juga merakamnya dalam suasana amat terhad, sekitar jam 2 pagi.

supernovaM82-23jan2014-215amMYT
Tandaan merah menunjukkan supernova yang ‘sedang’ meletup di galaksi M82. © Shahrin Ahmad

Supernova ini dikatakan jenis Type 1A,  yang mana sebuah bintang kerdil putih dalam sebuah sistem berkembar, telah mencuri sebahagian jisim dari jirannya, dan kemudian akibat ‘tamak haloba’ sangat, ia tak dapat menanggung lebihan jisim yang ‘dicurinya’ lalu runtuh (collapse) ke atas dirinya sendiri!

Tak faham? Tak apa … baca slow-slow! 🙂

Evolusi supernova jenis Type 1a. Sebuah bintang kerdil putih yang amat padat menarik bahan-bahan daripada bintang pasangannya. Apabila ia mencapai tahap kritikal, ia pun meletup menjadi supernova. Evolution of a Type Ia supernova. A superdense white dwarf star. Credit: NASA/CXC/M. Weiss

Boleh rujuk artikel Cosmoquest ini, yang ada menerangkannya juga.

Ramalan saintis mengatakan kecerahan supernova ini akan menjadi lebih cerah selepas ini, dan mungkin akan mencecah magnitud 8 (masih di bawah kemampuan mata, tetapi mudah dilihat dengan teleskop).

Begitu banyak berita terbaru mengenainya sekarang, sehinggakan tak sempat-sempat saya nak tulis. Apa pun kita tunggu sehingga malam nanti, dan lihat ulasan saintis-saintis yang majoritinya, saya yakin, sedang merakam dan mengkajinya di saat ini.

Anda juga boleh ikuti saya di twitter @shahgazer , untuk mendapat berita-berita terbaru mengenai Supernova M82 ini.

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

1 Comment
Oldest
Newest Most Voted
Inline Feedbacks
View all comments
nisa

menarik….