Jika anda keluar melihat ke langit sekitar jam 1 pagi, cuba pandang ke arah ufuk Timur.
Di sana akan kelihatan 2 buah bintang yang hampir sama cerah, berada sebelah menyebelah. Menariknya ialah ‘bintang’ di sebelah kiri pasangan itu, warnanya jelas kemerah-merahan.
Rupa-rupanya itulah planet Marikh!
Ketika ini, Bumi yang bergerak di dalam orbit yang lebih kecil, akan mula ‘mengejar’ planet Marikh ini. Kesannnya ialah, Marikh akan kelihatan semakin terang setiap hari. Selain itu, jika anda mempunyai teleskop, saiz rupa bentuk Marikh ini juga akan kelihatan semakin ‘membesar’.
Planet Marikh ini sebenarnya kecil. Ia sebenarnya hanya separuh sahaja daripada saiz Bumi. Itulah sebabnya ia sentiasa kelihatan kecil menerusi teleskop.
Namun begitu, setiap 2 tahun 2 bulan, pergerakan Bumi akan melintasikan Marikh. Maka, pada ketika itu, kita akan berada pada kedudukan yang paling dekat dengannya, lalu memberi peluang untuk kita menjengok keadaan rupa bentuk Marikh ini dalam suasana lebih mudah.
Tahun ini, Marikh akan berada di kedudukan istiqbal (opposition) pada 8 April, di mana ia akan bersinar secerah bintang paling terang di langit, iaitu Sirius.
6 hari kemudian, pada 14 April, ia akan berada paling hampir dengan Bumi, iaitu pada jarak 92.4 juta km. Ia akan kelihatan 120 kali ganda LEBIH KECIL daripada Bulan. Maknanya, jika anda terima emel berantai yang menyatakan Marikh akan jadi sebesar Bulan, itu semua bohong belaka, dan tidak bersandarkan fakta langsung. Hoax yang saya sudah komen pada tahun 2005 dulu!
Walaupun Marikh dan Bumi akan saling melintasi setiap 2 tahun 2 bulan, tidak semua keadaan jaraknya sama. Ada ketikanya ia akan berada jauh lebih dekat berbanding apa yang akan berlaku bulan April nanti (seperti mana berlaku pada tahun 2003). Kali ini ia tidaklah berada hampir sangat dengan Bumi, justeru menyebabkan ia kekal kelihatan kecil sahaja menerusi teleskop.
Namun, bagi anda yang mempunyai mata tajam, anda berpeluang melihat kutub utara Marikh, atau dikenali sebagai North Polar Cap. Ia akan kelihatan seperti ponjot berwarna putih di dalam satu bahagian tepi Marikh.
Marikh ini, walaupun cukup popular di kalangan orang ramai yang mahu melihatnya di langit, tetap menjadi antara planet-planet yang cukup mencabar kesabaran mereka yang mencerapnya. Ramai akan mengeluh dan complain apabila melihat saiznya yang kecil menerusi teleskop.
Walau apapun, itulah hakikat yang terpaksa di terima. Walaupun kecil, di sinilah lokasi seterusnya manusia mahu menjejakkan kaki dan mendarat. Ia merupakan sebuah planet yang telah menangkap imaginasi tamadun manusia sejak sekian lama. Saintis seperti Percival Lowell telah membayangkan ‘garisan-garisan’ yang kelihatan di permukaan Marikh, merupakan terusan-terusan air yang dibina oleh penduduk Marikh untuk bercucuk tanam!
Rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Martian_canal
Rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Percival_Lowell
Malah, cereka fiksyen seperti War of The Worlds, turut menjadikan Marikh sebagai sumber inspirasi karya penulis H.G. Wells pada tahun 1897!
Jom kita sama-sama tunggu kehadiran kembali Marikh di ‘perkarangan kawasan perumahan’ kita bulan April nanti. Cubalah cari teleskop atau pergi ke balai cerap berhampiran untuk menyaksikan dengan mata sendiri, keindahan yang penuh misteri planet ‘merah’ ini.!