
Malam nanti, 4 Julai 2014, bagi anda yang mempunyai teleskop berkomputer dan berkemampuan untuk menggunakan sistem kordinat langit (Right Ascension and Declination), sila halakan teleskop anda ke koordinat di bawah:
R.A. 13h 29m 58.9s
DEC -01d 41′ 16.7″
Kita akan berpeluang melihat conjunction 2 buah objek kecil, Vesta dan Ceres, yang berada pada kedudukan begitu hampir antara satu sama lain. Berdasarkan kiraan Sky Safari 4 Pro, ia akan berada pada jarak 11 arc minit sahaja! Ini hanya 1/3 daripada saiz bulan di langit.

Ceres merupakan asteroid terbesar, sebelum ia dinaik-taraf dan dimasukkan ke dalam kumpulan Planet Kerdil.
Vesta sebelum ini merupakan asteroid ke-2 terbesar, tetapi kini ia mengambil alih tugas Ceres, dan memegang tampuk asteroid terbesar.
Kecerahan kedua-dua objek ini di luar kemampuan mata kasar. Kita memerlukan sekurang-kurangnya binocular untuk cuba mencarinya. Tetapi saya rasakan adalah lebih mudah jika kita menggunakan teleskop berkomputer untuk membantu mengarahkan ke lokasi langit yang betul.
Namun, jika anda mempunyai kamera, boleh juga cuba merakamnya. Rakan astronomi tempatan, Dr.Ridzuan atau lebih dikenali sebagai Astromas, pernah merakamnya pada tahun 2010 lepas.

Perhatikan (foto atas), kecerahan asteroid Vesta dengan bintang-bintang di langit. Walaupun tak begitu cerah, tetapi masih boleh merakamnya!
Namun, adalah mustahil untuk melihat bentuk kedua-dua objek ini, kerana ianya terlalu kecil dan jauh dari Bumi. Kita hanya akan nampaknya seperti bintang sahaja.

Rajah di atas menunjukkan lokasi secara kasar, kedua buah objek ini. Ia berada hampir dengan planet Marikh dan Spica. Paparan ini menunjukkan kawasan langit arah Barat, pada lebih kurang 1 1/2 jam selepas waktu Isya’. (atau 10 pm di Kuala Lumpur, 9 pm di Sabah).
Menariknya, ketika ini, misi angkasa Dawn, yang baru-baru ini melawat asteroid Vesta, kini dalam perjalanan menuju ke planet kerdil Ceres.
Selamat memburu!