Pada 15 Julai lepas, genaplah setahun lagi untuk misi angkasa New Horizon sampai ke Pluto. Kalau anda yang mengikuti perkembangan ini, pasti akan teruja kerana setelah hampir 10 tahun, kapal angkasa ini merentasi sistem solar yang amat luas ini, kini sudah sampai masa dan saat-saat terakhir perjalanannya untuk melawati planet kerdil Pluto.
Planet kerdil! Itulah kategori objek bagi Pluto sekarang. Bayangkan, ketika misi New Horizon ini dilancarkan pada tahun 2005, Pluto masih digelar planet!. Kini, gelarannya sahaja sudah bertukar namun Pluto tetap Pluto.

Sebuah planet yang terletak begitu jauh dari matahari, sehinggakan jika mana-mana angkasawan yang berada di permukaannya, hanya akan melihat matahari seperti sebuah ‘bintang’ yang cerah sahaja. Maklumat menerusi perisian Sky Safari Pro 4 menunjukkan jaraknya sekarang dari Bumi ialah 4.7 BILION km!
Pada jarak tersebut, cahayanya terpaksa mengambil masa 4.3 JAM untuk sampai ke Bumi! Subhanallah.
Apakah yang akan ditemui nanti? Adakah kita akan dapat melihat julangan gunung yang tinggi? Pancutan geyser ais? Gelang di sekelilingnya? Bulan-bulan baru?

Buat masa ini, kita hanya mampu membuat spekulasi. Pluto ini terlampau jauh, hinggakan walaupun kita meneropongnya menerusi Teleskop Angkasa Hubble, ia masih hanya kelihatan seperti sebuah objek bulat, dan berwarna kemerahan. Namun, apabila menjelang April 2015 nanti, dijangkakan kapal angkasa New Horizon akan berada cukup dekat dengannya, dan kita akan mula berpeluang melihat permukaannya lebih jelas.
Menurut pengkaji prinsipal misi ini, Alan Stern dari Southwest Research Institute, beliau menyamakan penemuan baru oleh New Horizon ini, sama suasananya sepertimana misi angkasa Mariner 4, yang melintasi planet Marikh pada tahun 1965 dahulu. Ketika itu, ramai penduduk di Bumi menyangkakan planet Marikh ialah sebuah planet yang subur dan dipenuhi tumbuh-tumbuhan dan air. Tetapi apabila Mariner 4 melintasi Marikh, lain pula dilihatnya!

Perkara yang sama bakal berlaku dengan New Horizon ini. Pengetahuan sedikit kita mengenai Pluto, bakal akan bertambah. Malah persepsi kita terhadap jasad-jasad kecil ‘di luar sana’, seperti Pluto, Eris, Makemake dan Huamea, mungkin akan berubah.
Keadaan di kawasan hujung sistem solar ini amat berlainan dengan kawasan di planet-planet sedia ada sekarang. Begitu banyak rahsia yang belum dapat difahami, dan semoga misi New Horizon ini, kurang dari 1 tahun lagi, bakal memberi gambaran lebih jelas bukan sekadar Pluto sahaja, malah rahsia pembentukan sistem solar kita ini.
