Komet C/2022 E3 (ZTF) bakal menyinari langit utara kita (Jan-Feb 2023)

Berita Fenomena Meteor, Komet dan Asteroid

Dah lama kita tak disajikan dengan komet yang ‘terang’. Mungkin kali ini ada peluang lagi. Pada bulan Februari nanti, sebuah komet bernama Komet C/2022 E3 (ZTF) akan melintasi Bumi dan memberi peluang untuk kita mencerapnya dengan lebih mudah.

Komet ZTF ini ditemui pada bulan Mac 2022 lepas menerusi kamera peninjau wide-field di balai cerap Zwicky Transient Facility. Asalnya ia dipercayai sebuah asteroid tetapi setelah didapati ia semakin cerah pada kadar yang mendadak apabila ia berada di dalam orbit lebih dekat dari Musytari, barulah sifat komet-nya dikenalpasti.

Komet C/2022 E3 ZTF dirakam pada 26 Disember 2022 dari Payson, Arizona oleh Chris Schur. (Kredit: Chris Schur)

Menurut maklumat oleh Jet Propulsion Laboratory NASA, durasi komet ini mengorbit Matahari ialah selama 50,000 tahun. Ini bnermakna kali terakhir Komet ZTF melewati Bumi ialah pada pada Zaman Ais dahulu.

Perihelion

Komet ZTF akan berada paling hampir dengan Matahari (juga dikenali sebagai perihelion) pada hari esok, 12 Januari 2023. Ketika itu ia berada sejauh 160 juta km daripada Matahari.

Selepas itu, ia akan mula bergerak menghampiri Bumi (juga dikenali sebagai perigee) pada 2 Feb 2023 nanti dan akan melintasi planet kita pada jarak 42 juta km.

Kita mungkin tak dapat melihat komet ini dengan mata kasar ketika perihelion disebabkan kedudukannya agak hampir dengan Matahari. Mungkin binokular akan dapat melihatnya.

Namun, tarikh perigee 2 Feb itu yang ditunggu-tunggu oleh peminat astronomi dunia. Jika kadar kecerahan komet ini konsisten, ia dikatakan boleh dilihat dengan mata kasar pada tarikh tersebut.

(Rajah menunjukkan graf lengkungan cahaya Komet C/2022 E3 (ZTF). Kredit COBS)

Berdasarkan laporan pencerap di COBS, magnitud komet ini ketika artikel ini ditulis ialah sekitar mag 10. Masih jauh dibawah keupayaan mata kasar, dan agak kelam untuk binokular. Namun jika anda merakamnya menerusi kamera dan lens, atau kamera menerusi teleskop, ia sudah cukup cerah untuk dijejaki.

(Foto di atas dirakam oleh Puan Roslina Hussain pada 2 Januari 2023 dari Kota Bharu. Sumber asal.)

Kedudukan di langit Malaysia.

Di manakah kedudukan Komet ZTF ini sekarang dari langit Malaysia?

Secara amnya, komet ini muncul di langit sebelah Timur Laut (NE) menjelang waktu Subuh. Ketinggiannya ketika itu ialah sekitar 45 darjah, agak tinggi dan selesa untuk dicerap. Di bawah ialah ringkasan kedudukan komet ini untuk setiap 10 hari.

12 hingga 21 Jan 2023

Komet ZTF berada di antara buruj Ursa Major (Biduk) dan Herculer, serta di bawah kedudukan bintang cerah Arcturus. Ketinggian komet ini semakin rendah setiap hari dan mula ‘menjunam’ ke arah ufuk utara.

(Rajah menunjukkan kedudukan Komet ZTF pada waktu Subuh di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian besar Indonesia bermula 12-21 Jan 2023)

21 hingga 31 Jan 2023

Komet ZTF semakin rendah menuju ke ufuk Utara. Anda perlukan kawasan mengadap utara yang bebas dari halangan fizikal dan gangguan cahaya. Komet ini pun mula terbit lebih awal. Anda dah boleh mencerap sekitar jam 3-4 pagi.

(Rajah menunjukkan kedudukan Komet ZTF pada waktu Subuh di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian besar Indonesia bermula 21-31 Jan 2023)

1 hingga 11 Feb 2023.

Komet ZTF berada hampir dengan Bumi ketika ini. Ia mula boleh dicerap seawal 8 malam!! Ia akan mula muncul dari kawasan utara dan mula naik menegak menuju ke kawasan buruj Auriga, Taurus dan Orion!

(Rajah menunjukkan kedudukan Komet ZTF pada waktu 1 jam selepas Maghrib di seluruh Malaysia, Singapura, Brunei dan sebahagian besar Indonesia bermula 1-11 Feb 2023)

11 Feb 2023 – Malam meriah!

Malam 11 Feb 2023 nanti boleh dikatakan meriah juga. Komet ZTF akan melintas kurang 1 darjah dari planet Marikh! Dan kawasan di situ pun penuh bersepah dengan bintang-bintang serta kluster bintang yang terang seperti Seven Sisters, Hyades dan Aldebaran!

(Rajah kedudukan Komet ZTF di kawasan buruj Taurus dan planet Marikh pada 11 Feb 2023.

Boleh cuba rakam suasana ini dengan kamera dan lens.

Selamat mencerap!

0 0 votes
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments