Kita bakal berpeluang menyaksikan sekali lagi fenomena penghijaban (occultation) planet Zuhrah dengan Bulan pada awal bulan Ramadhan nanti!
Jika anda memerhatikan Almanak Astronomi 2023, saya ada menandakan pada waktu Maghrib hari Jumaat, 24 Mac 2023 nanti “Lintasan Bulan dengan Zuhrah”. Di dalam kalendar itu saya menyatakan jarak kedua objek ini dipisahkan sejauh 21 arc minit sahaja. Dalam skala lain lebih kurang 0.3 darjah sahaja!

Ini amat dekat! Pada petang tersebut menerusi mata kasar kita akan dapat lihat sebutir ‘bintang’ yang amat terang betul-betul berada di sisi kiri Bulan sabit yang masih lagi halus.
Kali terakhir fenomena ini berlaku di Malaysia ialah pada 27 Mei 2022 lepas. Namun ia berlaku pada waktu siang dan tak ramai dapat menyaksikan sendiri. Video di bawah ialah rakaman yang saya dapat buat pada waktu itu.
Setelah penelitian yang lebih dibuat menggunakan aplikasi Occult 4, didapati ada beberapa lokasi tertentu di Malaysia berpeluang melihat Zuhrah terhijab sepenuhnya oleh Bulan!

Di atas ialah peta janaan Occult 4.0 yang menunjukkan kawasan di mana yang dapat menyaksikan penghijaban ini.
Garisan merah putus-putus menunjukkan fenomena ini berlaku pada waktu siang.
Garisan putih menunjukkan ia berlaku pada waktu malam.
Di sini kita di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena ini setelah terbenamnya Matahari.
Zon Penghijaban (Zuhrah hilang secara total)

Peta 1 di atas pula, saya zoom ke Malaysia.
- Mana-mana kawasan DI ATAS garisan HIJAU akan berada di dalam zon penghijaban dan dapat menyaksikan Zuhrah dilindungi oleh Bulan.
- Mana-mana kawasan DI BAWAH garisan HIJAU akan dapat melihat Zuhrah berada amat hampir di sudut selatan Bulan, atau lebih mudah di sisi ‘kiri’ Bulan, tetapi tidak terhijab. Ini saya panggil zon lintasan.
Simulasi di bawah menunjukkan apa yang boleh dilihat oleh pencerap di kawasan zon-zon seperti yang diterangkan di atas:

Peta 2 di atas menunjukkan sebahagian daripada Kelantan, Kedah dan Perak, serta keseluruhan Perlis berada di dalam zon penghijaban.

Peta 3 di atas pula menunjukkan utara Sarawak di sekitar Miri, keseluruhan Sabah dan juga keseluruhan negara Brunei berada di dalam zon penghijaban. Utara Kalimantan juga berada di dalam zon ini.
Waktu bermula dan berakhirnya penghijaban ini berbeza dari satu lokasi ke lokasi lain. Anda boleh melakukan kiraan sendiri dengan menggunakan aplikasi seperti SkySafari atau Celestron SkyPortal, dan seumpamanya.
Di bawah ialah waktu-waktu yang saya telah kirakan menggunakan Occult 4.0 bagi bandar-bandar terpilih di dalam zon penghijaban. Semua waktu ialah mengikut waktu piawai Malaysia. (GMT+8).
- Waktu Hijab ialah waktu apabila Zuhrah mula hilang dari pandangan dan hilang di belakang Bulan.
- Waktu Muncul ialah waktu apabila Zuhrah mula muncul dari belakang Bulan.
- Alt Bulan ialah ketinggian Bulan di atas ufuk di dalam skala darjah.
Bandar | Waktu Hijab | Alt Bulan | Waktu Muncul | Alt Bulan | |
Kuah, Langkawi | 19:57:06 | 26 | 20:15:38 | 22 | |
Kangar | 19:56:21 | 26 | 20:17:28 | 21 | |
Alor Setar | 19:59:33 | 25 | 20:14:25 | 22 | |
Kota Bharu | 20:00:10 | 23 | 20:18:35 | 19 | |
Machang | 20:04:41 | 22 | 20:13:39 | 20 | |
Pasir Puteh | 20:03:25 | 22 | 20:15:25 | 19 | |
Jerteh | 20:05:01 | 22 | 20:13:58 | 20 | |
Miri | 20:08:05 | 10 | 20:28:31 | 5 | |
Bandar Seri Begawan | 20:04:57 | 10 | 20:32:50 | 3 | |
Labuan | 20:03:23 | 10 | 20:34:53 | 2 | |
Kota Kinabalu | 20:01:03 | 10 | 20:38:17 | 1 | |
Kudat | 19:58:51 | 10 | Bulan bawah ufuk | – | |
Sandakan | 20:01:01 | 8 | Bulan bawah ufuk | – | |
Tawau | 20:05:56 | 6 | Bulan bawah ufuk | – |
Zon Penghijaban Kegelinciran (Grazing occultation)
Zon penghijaban gelincir atau dalam istilah astronomi grazing occultation ialah kawasan di mana sebahagian daripada cakera planet Zuhrah akan terlindung oleh sisi Bulan.
Zuhrah apabila dilihat menerusi teleskop akan kelihatan mempunyai bentuk (bukan titik seperti bintang). Kadangkala ia berbentuk bulat seperti bulan purnama, ada ketika seperti bulan separuh dan ada juga seperti bulan sabit.
Pada 24 Mac 2023 nanti, bentuk Zuhrah ialah seperti fasa Gibbous Moon atau Bulan menggemuk(?).
Oleh itu, akan ada kawasan-kawasan tertentu yang akan dapat lihat bahagian ‘atas’ Zuhrah terpotong sedikit. Ada juga akan dapat lihat Zuhrah seperti terpotong separuh, dan ada yang dapat lihat hampir kesemua Zuhrah hilang kecuali sedikit sahaja.
Simulasi di bawah menunjukkan apa yang bakal dilihat di kawasan zon ini.
Fenomena ‘kegelinciran’ ini amat menarik untuk dicerap kerana ia dapat menunjukkan momen-momen cahaya dari Zuhrah akan hilang, muncul dan pudar sedikit akibat daripada kesan ia bergerak di celah-celah gunung-ganang dan lurah-lurah di ufuk permukaan Bulan!
Bagi anda peminat gerhana matahari penuh, fenomena ini sama seperti terbentuknya kesan Baily’s Beads.
Jika anda berminat untuk memerhatikan dari sudut ini, di bawah ialah peta lebih terperinci kawasan di mana fenomena kegelinciran ini dapat dilihat.
- Mana-mana kawasan di ANTARA garisan biru dan merah ini akan dapat menyaksikan SEBAHAGIAN daripada cakera Zuhrah ‘terpotong’ sedikit oleh Bulan.
- Semakin hampir ke garisan biru, lagi BANYAK cakera Zuhrah akan ‘terpotong’ dan terhijab oleh Bulan.
- Di ATAS garisan biru, KESELURUHAN cakera Zuhrah akan terhijab.
- Semakin hampir ke garisan merah, semakin SEDIKIT cakera Zuhrah akan ‘terpotong’ dan terhijab oleh Bulan.
- Di BAWAH garisan merah, keseluruhan cakera Zuhrah akan sentiasa kelihatan dan TIDAK TERHIJAB oleh Bulan.



Lokasi terbaik?
Fenomena ini akan berlaku pada waktu Maghrib, selepas kita selesai berbuka puasa dan menuju ke waktu Isya’, iaitu sekitar 8 malam. Ini bagi kawasan Semenanjung. Bagi di sebelah Miri, Brunei dan Sabah, ia dah pun masuk Isya’ dan Terawih.
Cuba cari kawasan di mana tiada halangan di sebelah ufuk barat. Ini adalah kerana Bulan dan Zuhrah semakin rendah sepanjang fenomena ini berlaku.
Anda tak perlu mencari kawasan langit gelap kerana kedua-dua objek ini amat terang.
Peralatan
- Jika anda menggunakan kamera handphone, masih boleh merakamnya dan kelihatan seperti pasangan 2 objek terang yang cantik
- Jika menggunakan kamera DSLR atau mirrorless dengan kit lens, kenampakan kedua objek ini akan lebih jelas tetapi masih tak akan nampak cakera planet Zuhrah.
- Jika menggunakan teleskop berkuasa tinggi dan boleh zoom seperti simulasi di atas, barulah boleh lihat kesan ‘terpotong’ cakera Zuhrah yang berlaku sedikit demi sedikit sehinggalah ia hilang (atau muncul) dari pandangan.
Di bawah ialah peta asal Google Map yang mempunyai layer tandaan sempadan utara dan selatan.
https://www.google.com/maps/d/u/0/edit?mid=12l-7n62L1sO6_NcdOCtXyGiHp-zTptk&usp=sharing
Jika anda membaca artikel ini menerusi versi PDF, anda perlu artikel asal ini di laman web falakonline.net untuk peta interaktif ini.
Di bawah ialah beberapa contoh fenomena penghijaban Zuhrah yang pernah di rakam.
Saya akan kemaskini artikel ini dari semasa ke semasa.
Selamat mencerap!
Wallahua’lam

You must log in to post a comment.