Rangkuman fenomena gerhana sepanjang tahun 2023

Fenomena Gerhana, Transit & Penghijaban

Pada tahun 2023 nanti, kita akan dapat menyaksikan 4 kali fenomena gerhana (samada gerhana matahari atau bulan). Di antara 4 fenomena ini, 3 daripadanya dapat dilihat di langit Malaysia dan Asia Tenggara.

Berikut merupakan ringkasan setiap fenomena ini.

Gerhana Matahari Hibrid – 20 April 2023

Lokasi yang akan mengalami fenomena Gerhana Matahari Hibrid ini ialah:

  • Gerhana Separa: Asia Tenggara, Australia, Filipina dan New Zealand
  • Gerhana Hibrid: Australia, Timur Leste, Indonesia (Papua)
Kredit Fred Espenak.

Gerhana Matahari Hibrid ini agak jarang berlaku. Di dalam kes ini, laluan bayang-bayang gerhana bermula di dalam bentuk gerhana cincin atau anulus. Kemudian apabila bayang-bayang ini semakin hampir ke kawasan pertengahan laluan, ia berubah menjadi gerhana penuh, dan kemudiannya kembali menjadi gerhana cincin di hujung laluan bayang-bayang.

Dalam erti kata lain, ada kawasan di Bumi yang akan menyaksikan gerhana cincin, dan ada yang akan menyaksikannya sebagai gernaha penuh.

Di Malaysia, kita hanya akan dapat menyaksikan gerhana ini sebagai Gerhana Matahari Separa. Hanya sebahagian kecil cakera Matahari sahaja yang akan ditutupi oleh jasad Bulan.

Maka itu, bagi kita di sini adalah lebih tepat merujuk fenomena ini sebagai Gerhana Matahari Separa.

Berikut ialah peratusan Matahari yang akan ditutupi oleh Bulan serta waktu puncak di lokasi paling timur, paling barat, paling utara dan selatan serta di ibu negara.

Kuala Lumpur
Peratusan gerhana = 8.4 %
Waktu mula: 11:05 am MYT
Waktu puncak: 11:55 am MYT
Waktu tamat: 12:47 pm MYT

Tanjung Atiam, Lahad Datu, Sabah. (Timur)
Peratusan gerhana = 43.6 %
Waktu mula: 11:10 am MYT
Waktu puncak: 12:34 pm MYT
Waktu tamat: 1:57 pm MYT

Kuah, Langkawai, Kedah (Barat)
Peratusan gerhana = 1.8 %
Waktu mula: 11:27 am MYT
Waktu puncak: 11:58 am MYT
Waktu tamat: 12:29 pm MYT

Tanjung Piai, Kukup, Johor (Selatan)
Peratusan gerhana = 14.9 %
Waktu mula: 10:55 am MYT
Waktu puncak: 11:54 am MYT
Waktu tamat: 12:57 pm MYT

Padang Besar, Perlis (Utara)
Peratusan gerhana = 1.9 %
Waktu mula: 11:28 am MYT
Waktu puncak: 11:59 am MYT
Waktu tamat: 12:32 pm MYT

Di manakah lokasi yang akan dapt menyaksikan fenomena Gerhana Matahari Penuh?

Di atas merupakan tangkap layar daripada aplikasi web Xavier Jubier.

Secara kasarnya, kita dapati hanya beberapa lokasi sahaja (selain daripada naik kapal di tengah laut!) yang akan dapat menyaksikan fasa gerhana penuh, iaitu Exmouth, Australia Barat, Timur Leste dan Papua Barat.

Kesemua lokasi ini saya jangkakan agak mencabar untuk pergi kerana berada agak jauh dari bandar besar atau juga akses kepada pengangkutan udara agak terhad (saya mungkin salah di sini).

Lebih mencabar lagi ialah fenomena Gerhana Matahari ini akan berlaku pada hujung Ramadan 1444H !! Esok atau lusanya Raya bro!!

InsyaAllah artikel lebih mendalam akan saya sediakan menjelang tarikh ini.

Gerhana Bulan Penumbra – 6 Mei 2023

Gerhana Bulan Penumbra 6 Mei 2023 – Kredit Fred Espenak

Bulan akan memasuki kawasan bayang-bayang penumbra Bumi. Menurut catatan oleh Fred Espenak, nilai magnitud penumbra kali ini ialah 0.96551. Dalam erti kata lain, Bulan amat hampir dengan sempadan bayang-bayang umbra.

Dijangkakan, kita mungkin akan dapat melihat sedikit shading gelap di sisi utara cakera Bulan. Ia akan lebih jelas jika dirakam menerusi kamera dan diproses sedikit menggunakan aplikasi grafik.

Secara amnya, Bulan akan mula masuk ke sempadan bayang-bayang penumbra pada 11:13 PM MYT (5 Mei). Pada waktu ini adalah mustahil untuk kita dapat bezakan sempadan bayang-bayang penumbra ini kerana bayang-bayang ini amat pudar.

Kemuncak gerhana penumbra ialah pada pukul 1:22 AM MYT (6 Mei). Saya jangkakan kita akan dapat lihat kawasan sisi utara Bulan ‘sedikit’ gelap berbanding kawasan lain. Jika anda menggunakan kamera, kesan gelap ini mungkin lebih jelas apabila diproses menggunakan aplikasi kamera.

Bulan akan keluar daripada bayang-bayang penumbra pada 3:31 AM MYT.

Fasa GerhanaWaktu Malaysia
Bulan memasuki sempadan penumbra11:13 PM (5 Mei)
Kemuncak Gerhana Bulan Penumbra1:22 AM (6 Mei)
Bulan keluar dari sempadan penumbra3:31 AM (6 Mei)

Gerhana Matahari Cincin – 15 Oktober 2023 (Tidak kelihatan di Malaysia)

Pada 15 Oktober 2023 1:59 AM waktu Malaysia, akan berlakunya fenomena Gerhana Matahari Cincin (Annular) di benua Amerika. Kita di Malaysia dan kebanyakan Asia Timur tidak dapat melihat fenomena ini kerana ia berlaku pada waktu malam kita di sini.

Kawasan yang berpeluang untuk melihat fenomena ini ialah hampir keseluruhan benua Amerika.

Kredit Fred Espenak

Durasi gerhana cincin ini ialah selama 5 minit 17 saat (di lokasi optimum). Selalunya akan ada banyak strim secara langsung di internet ketika fenomena seperti ini.

Cuma cabaranya ialah ia berlaku jam 2 pagi waktu Malaysia! :-}

Gerhana Bulan Separa – 29 Oktober 2023

Pada awal pagi 20 Oktober 2023, akan berlaku fenomena Gerhana Bulan Separa.

Fenomena ini akan dapat disaksikan oleh penduduk di Asia Tengah, Afrika dan Eropah serta sebahagian daripada Asia Tenggara.

Kredit Fred Espenak

Durasi gerhana ini ialah selama 77 minit. Bulan mula memasuki bayang-bayang umbra pada jam 3:34 am. Kemuncak gerhana pada jam 4:14 am, dan keluar dari umbra pada jam 4:52 am.

Bagi penduduk di Malaysia dan sebahagian besar Asia Tenggara, keseluruhan fasa gerhana akan dapat dilihat, iaitu daripada awal masuk bayang-bayang umbra hingga tamat gerhana (keluar dari sempadan bayang-bayang umbra)

Wallahua’lam.

5 1 vote
Article Rating

Leave a Reply

0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments